Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, December 31, 2016

CELIK MASYARAKAT : PENDIDIKAN ORANG ASLI



Masyarakat Dengkil merupakan masyarakat majmuk yang istimewa kerana di dalamnya terdapat sekelompok masyarakat Orang Asli. Di daerah Dengkil ini juga terdapat sebuah institusi pendidikan yang tersohor di Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM). SK Bukit Tampoi (A) merupakan sebuah sekolah yang majoriti muridnya terdiri daripada masyarakat Orang Asli telah bekerjasama dengan UiTM untuk mendekatkan penuntutnya dengan masyarakat Orang Asli dalam program Celik Masyarakat.


Justeru itu, sebagai langkah pertama, UiTM di bawah Humanitarian Club telah menjemput Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) untuk menyampaikan ucaptama pada 30 Disember 2016 (Jumaat) di Kampus UiTM Cawangan Dengkil bagi memberikan pendedahan awal kepada para penuntut tentang masyarakat Orang Asli secara terperinci. Turut hadir adalah Pn. Hjh. Norshiha Binti Saidin (Ketua Pusat Pengajian Asasi TESL), para pensyarah, GPK Pentadbiran, GPK Kokurikulum dan para penuntut UiTM.


Sejurus selepas program ini dirasmikan, UiTM akan mengadakan lawatan susulan oleh para penuntut bagi melihat dan mengenali dengan lebih dekat masyarakat Orang Asli yang belajar di SK Bukit Tampoi (A). Kemudian mereka akan datang secara berkala dalam kelompok kecil bagi membantu murid-murid Orang Asli ini menanam minat untuk belajar dan berjaya sehingga ke menara gading. Dengan adanya program seperti ini dapat membuka mata masyarakat agar dapat mengenali budaya masyarakat Orang Asli yang unik ini. 


Terima kasih diucapkan kepada Pusat Asasi UiTM Cawangan Dengkil kerana sudi berkolaborasi dengan SK Bukit Tampoi (A) dalam Program Celik Masyarakat ini. Harapan kami agar program ini berjaya dan dapat memberikan manfaat yang berguna kepada para penuntut UiTM dan murid-murid SK Bukit Tampoi (A) sendiri.

No comments:

Post a Comment