Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, March 21, 2022

PROGRAM ZIARAH CAKNA 2022


Program Ziarah Cakna merupakan aktiviti guru sekolah menjejaki murid-murid yang tidak hadir ke sekolah dalam masa yang lama. Sudah hampir dua tahun program ini ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah dengan sokongan daripada JPN Selangor dan PPD Sepang program ini dapat diteruskan kembali pada tahun ini.

Fokus ziarah cakna pada kali ini adalah ke KOA Bukit Baja khususnya murid Tahun 5 dan Tahun 6. Seramai 8 orang murid Tahun 5 dan 2 orang murid Tahun 6 yang terlibat. Murid-murid ini telah dikenalpasti sebagai murid yang tidak hadir tegar pada tahun 2021. Walau bagaimanapun pada hari pertama persekolahan ini 4 orang daripada 10 orang murid telah hadir ke sekolah. Mereka telah didampingi pegawai-pegawai JPN Selangor untuk memberikan nasihat dan motivasi agar mereka terus hadir ke sekolah seperti murid-murid lain. Selebihnya akan diziarahi oleh rombongan ziarah cakna ke tempat tinggal mereka.

SK Bukit Tampoi (A) sangat berbesar hati untuk menerima kunjungan Pn. Hjh. Marpuaton binti Sastero (Timb. Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah) serta pegawai-pegawai daripada Sektor Pembelajaran & Sekolah Jenis Khas dan pegawai-pegawai PPD Sepang. Mereka bersama-sama pihak sekolah dan YDP PIBG. Rombongan ziarah cakna telah disambut oleh Tok Batin Jalil bin Long selaku Batin KOA Bukit Baja. Hasil ziarah cakna, kami berjaya berjumpa dengan 5 orang murid daripada 6 orang murid yang tidak ke sekolah. Tok Batin telah mengesahkan bahawa murid yang seorang lagi telah berpindah ke Port Dickson tanpa memberikan maklumat perpindahan kepada pihak sekolah.

Terlebih dahulu rombongan ini telah singgah di sekolah untuk menyampaikan hadiah kehadiran cemerlang kepada murid-murid yang mencatatkan kehadiran cemerlang sepanjang tahun 2021. Selain daripada itu, puan Timbalan Pengarah turut melawat projek pertanian yang diusahakan oleh murid-murid sebelum ini. Projek ini dijalankan bagi menarik kehadiran murid-murid ke sekolah selain beberapa program jalinan dan jaringan daripada komuniti setempat. Terima kasih kami ucapkan kepada JPN Selangor, PPD Sepang, YDP PIBG dan Tok Batin KOA Bukit Baja kerana telah sudi turun padang melihat sendiri usaha sekolah dalam menangani masalah kehadiran murid ke sekolah. Semoga lawati ke kampung dapat membuka mata murid-murid dan ibu bapa bahawa pendidikan sangat penting untuk masa depan yang cemerlang.


No comments:

Post a Comment