Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, May 28, 2017

PROGRAM THE CHAMPION


Program The Champion merupakan satu program yang telah diilhamkan oleh mantan Pengarah JPN Selangor dalam usaha untuk membantu meningkatkan pencapaian sekolah dalam bidang akademik dengan melakukan lonjakan saujana dalam peperiksaan UPSR dan bermatlamatkan negeri Selangor berada pada kedudukan satu pertiga teratas berbanding negeri-negeri lain dapat direalisasikan.

Sehubungan dengan itu, SK Bukit Tampoi (A) tidak ketinggalan dengan turut sama mengambil pendekatan proaktif dengan melaksanakan program seperti yang telah diamanatkan. Memandangkan Program The Champion  JPN Selangor adalah seiring dengan Program Anjakan Terbilang Akademik Sepang (PANTAS) maka Unit Kurikulum sekolah mengambil keputusan untuk menggabungkan kedua-dua program tersebut.

Aktiviti program The Champion ini menumpukan kepada peningkatan kualiti (semua A). Murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan kecil. Mereka dikehendaki untuk membuat ulangkaji mengikut masa yang ditetapkan iaitu semasa cuti sekolah dan cuti hujung minggu di rumah ahli secara berkumpulan secara bergilir-gilir. Proses pembelajaran ini diteruskan sehingga hampir waktu peperiksaan UPSR.

PROGRAM KELAS DEWASA ASLI DAN PRIBUMI (KEDAP)


Program KEDAP anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui peruntukan khas yang disalurkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Program ini memberi fokus kepada masyarakat Orang Asli dan Pribumi yang mempunyai kadar buta huruf yang tinggi.


Prinsip KEDAP berasaskan Modul Andragogi dari KPM yang bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran dengan cara mengurangkan kadar buta huruf. Tempoh kelas KEDAP adalah selama 70 hari dan wajaran 1 kelas adalah seramai 25 orang pelajar dengan 4 orang guru. Pelaksanaan pembelajaran berdasarkan 5 modul program iaitu Kekeluargaan, Kesedaran Sivik, Ekonomi, Kesihatan dan Keselamatan.


Objektif utama kelas KEDAP adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat Orang Asli, mengurangkan kadar keciciran pelajar Orang Asli, memupuk kesedaran tentang kepentingan pendidikan semasa sesi pembelajaran kepada pelajar dewasa terutama golongan dewasa yang terdiri daripada ibu bapa, ketua isi rumah dan ahli isi rumah.

CUTI PERTENGAHAN PENGGAL 1 TAHUN 2017 & CUTI NUZUL AL-QURAN

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa, Cuti Pertengahan Penggal 1 Tahun 2017 akan bermula seperti ketetapan berikut : -

Tarikh : 27 Mei 2017 - 11 Jun 2017
Tempoh : 14 hari
Jenis Cuti : Cuti Sekolah

Selain daripada itu, SK Bukit Tampoi (A) juga akan mengambil cuti sempena Nuzul Al-Quran seperti ketetapan berikut : -

Tarikh : 12 Jun 2017 (Isnin)
Tempoh : 1 hari
Jenis Cuti : Cuti Umum

Oleh itu, operasi pejabat akan ditutup pada hari berkenaan. Sekolah akan dibuka seperti biasa pada 13 Jun 2017 (Selasa). Sekian , harap maklum.

Saturday, May 27, 2017

PROGRAM SLAMAT AIK JADIK & KEHADIRAN PENUH 100% BIL.1/2017


Kehadiran murid ke sekolah merupakan satu isu penting bagi sekolah Orang Asli. Justeru itu, pihak sekolah telah memperkasa Program Jom Ke Sekolah dengan memberi Anugerah Kehadiran Penuh 100% kepada mana-mana murid yang hadir ke sekolah setiap hari tanpa cuti.

Ini merupakan inisiatif pihak sekolah bagi menarik minat murid untuk terus datang ke sekolah. Mereka digalakkan ke sekolah untuk menuntut ilmu dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang menarik yang disediakan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah juga telah bertungkus-lumus memastikan semua murid hadir ke sekolah dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan program yang menarik.

Majlis ini telah dihadiri oleh En. Ilam bin Senin (YDP PIBG), para pentadbir, guru-guru dan semua murid. YDP PIBG telah berbesar hati untuk merasmikan majlis tersebut. Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada murid-murid yang hadir 100% ke sekolah.

Selain daripada itu, dalam majlis yang sama turut diadakan Majlis Slamat Aik Jadik yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling bagi meraikan murid-murid yang dilahirkan dalam tempoh bulan Januari hingga Mei. Mereka diraikan dengan memotong kek yang disediakan oleh Unit Hal Ehwal Murid. Sebanyak 15 biji kek telah disediakan untuk dirasai oleh semua murid yang diraikan serta murid-murid lain. 

Guru Besar telah sudi untuk bermain gitar sambil memainkan lagu Slamat Aik Jadik sambil para hadirin menyanyikan lagu tersebut. Di akhir majlis, semua hadirin dijemput menjamu selera dengan kek yang telah dipotong. Semoga dengan adanya anugerah dan aktiviti seperti ini akan meningkatkan kehadiran murid sekolah.


 Kehadiran Para Jemputan



Pengacara Majlis & Pembaca Doa


Guru Besar
Ucapan Pentadbir


YDP PIBG
Ucapan Perasmian


Anugerah Kehadiran Penuh 100%


 

Tahun 6


Tahun 5


Tahun 3


Tahun 2


Tahun 1

Friday, May 26, 2017

PROGRAM IKATAN KASIH RAMADHAN : SUMBANGAN FOOD BASKET DARIPADA PERTUBUHAN BAROKAH JUMAAT







Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa menjelang tiba. SK Bukit Tampoi (A) dengan kerjasama Pertubuhan Barokah Jumaat dari Cyberjaya telah menganjurkan Program Ikatan Kasih Ramadhan bertujuan untuk menyantuni saudara baharu yang terdiri daripada kalangan masyarakat Orang Asli di sekitar Dengkil, Sepang.  Seramai 30 buah keluarga telah dipilih untuk menyertai program ini yang berlangsung pada 25 Mei 2017 (Khamis) bersamaan 28 Syaaban 1438 Hijrah.

Tumpuan utama program ini diberikan kepada saudara baharu yang beragama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan syiar Islam. Inisiatif ini sejajar dengan hasrat Pertubuhan Barokah Jumaat untuk melihat golongan sasaran merasai keprihatinan dan menghayati keindahan syiar Islam.

Majlis ini dihadiri oleh beberapa orang wakil dari pertubuhan tersebut dangan dirasmikan oleh Batin Ongen Anak Chinak @ Osman bin Abdullah. Beliau ialah Tok Batin bagi masyarakat Orang Asli di KOA Kolam Air Bangkong yang turut dihadiri oleh para pentadbir sekolah dan para ibu bapa.

Dalam ucapan perasmian, Tok Batin telah melahirkan perasaan syukur dan terharu kerana kemurnian persaudaraan Islam yang sering mengambil berat bahkan tidak pernah mengabaikan aspek kebajikan, keagamaan dan pembangunan rohani terhadap masyarakat Orang Asli. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhinggga kepada semua pihak yang sudi memberi sumbangan dan menjayakan program ini.

Sumbangan berupaya barangan keperluan harian  seperti beras, minyak masak, gula tepung dan kurma telah disampaikan oleh beliau kepada golongan sasar. Dengan pemberian sumbangan ini diharap dapat menceriakan dan memeriahkan sambutan bulan Ramdhan yang bakal tiba tidak berapa lama lagi.

Pertubuhan Barokah Jumaat merupakan sebuah NGO Muslim yang berorientasikan kebajikan sesama saudara Islam dan berpusat di Cyberjaya. Melalui program Ikatan Kasih Ramdhan kali ini, pemberian Food Basket di SK Bukit Tampoi (A) diwakili oleh beberapa orang sukarelawan yang terdiri daripada Zolidiayanti binti Abdul Razak, Nurulasyikin binti Mansor, Muhd Khairul bin Musa, Noraidah binti Abdul Ghaffar dan Nor Fadzilah binti Jamain.








PROGRAM KEMBARA PENDIDIKAN NASIONAL 2017


Program Kembara Pendidikan Nasional 2017 telah singgah di daerah Sepang pada 23 Mei 2017 (Selasa) di SMK Dato' Abu Bakar Baginda (SMK DABB). Program yang dianjurkan oleh PPD Sepang ini telah dihadiri oleh guru-guru daerah Sepang. Enam orang guru telah dipilih oleh pihak sekolah masing-masing untuk memeriahkan program tersebut. 

Program ini merupakan satu platform untuk guru-guru sama ada Guru Muda 1Malaysia (GM1M) atau Guru Aktif 1Malaysia (GA1M) di bawah Jabatan Pendidikan Selangor untuk mengutarakan pandangan dan pendapat bagi mengenal pasti hala tuju pendidikan bagi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sebuah forum telah diadakan untuk tujuan itu. Antara panel yang dijemput adalah Tn. Hj. Zamri bin Mohd Isa (Presiden GPMS Kebangsaan) dan Senator Tan Sri Professor Dr Ibrahim Shah bin Abu Shah (Pengerusi Yayasan Minda) bagi membincangkan topik dunia pendidikan yang semakin mencabar kini. Mereka dipengerusikan oleh seorang moderator iaitu Tn. Hj. Arbain bin Pinni (YDP Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Selangor).

Turut hadir dalam program ini adalah En. Shashim Shah bin Harun (Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor), Tn. Hj. Khairi bin Bidin (Pegawai Pendidikan Daerah Sepang), pegawai-pegawai dari KPM, PPD Sepang dan Ketua-ketua Belia 4B. Progran ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah JPN Selangor. SK Bukit Tampoi (A) telah diwakili oleh En. Mohd. Rahman bin Rabingan (Guru Besar), En. Azman Shah bin Mohd. Yunus ( GPK Pentadbiran), En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK HEM), En. Farid Anwar (GPK Kokurikulum), Pn. Rozima binti Sman@Osman dan Pn. Nurul Husna binti Abdul Mutalib. 



Moderator
 Tuan Haji Arbain bin Pinni
( YDP Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Selangor )


Panel 1
Senator Tan Sri Professor Dr Ibrahim Shah bin Abu Shah
( Pengerusi Yayasan Minda )



Panel 2
Tuan Haji Zamri bin Mohd Isa
( Presiden GPMS Malaysia )





PROGRAM OUTREACH BIL. 2 TAHUN 2017


Program Outreach Bil. 2 Tahun 2017 adalah kesinambungan kepada Program Outreach Bil. 1 Tahun 2017 yang diadakan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Seramai dua orang murid yang terpilih untuk mengikuti pemeriksaan di Klinik Dengkil. Turut hadir adalah guru besar, GPK HEM, guru pemulihan dan ibu bapa murid. Tujuan murid dihantar ke klinik adalah untuk membuat pemeriksaan tahap kesihatan murid sama ada dikategorikan sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). Murid diuji dari segi pendengaran dan penglihatan. Keputusannya dua orang murid kita disahkan bukan murid MBK.