Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, December 21, 2020

PENYERAHAN SUMBANGAN PAKAIAN SEKOLAH NESTLE CARE DAN EMPIRE PROJECT 2020


Sesi persekolahan telah berakhir pada 18 Disember 2020 (Jumaat) dengan penuh cabaran dan dugaan. Pada tahun ini, Malaysia telah dilanda pandemik Covid-19 yang sangat berbahaya kepada semua terutamanya kanak-kanak. Justeru itu, sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali agar penyakit ini tidak merebak di dalam kawasan sekolah.

Nestle dengan kerjasama Empire Project iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program Nestle Care telah memberikan sumbangan kepada beberapa buah sekolah terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk menerima bantuan berupa peralatan dan pakaian sekolah bagi golongan keluarga murid kategori B40.

SK Bukit Tampoi (A) adalah salah sebuah sekolah yang telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut. Maka, satu majlis penyerahan bantuan telah diadakan oleh Nestle Product Sdn. Bhd. bertempat di Surian Tower, Mutiara Damansara sebagai simbolik penyerahan kepada semua sekolah yang terpilih. Seramai 50 orang murid telah disenaraipendek sebagai penerima bantuan tersebut.

Pihak SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Empire Project dan Nestle Product Sdn. Bhd. kerana sudi memilih sekolah kami sebagai salah satu penerima bantuan tersebut. Kami amat mengalu-alukan sumbangan seperti ini untuk membantu golongan B40 terutama sekali bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal di bandar seperti sekolah kami. Sumbangan ini adalah amat bermakna bagi sekolah kami yang amat memerlukan ini.

MAJLIS GRADUASI PRASEKOLAH TUNAS MURNI SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2020


Sesi persekolahan kini sudah sampai ke penghujungnya. Begitu juga dengan murid-murid Prasekolah SK Bukit Tampoi (A). Mereka telah berjaya mengharungi perjuangan belajar semasa pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara Malaysia kini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua murid prasekolah yang akan memasuki Tahun 1 pada tahun 2021 nanti. Justeru itu, pihak pengurusan prasekolah telah mengadakan majlis graduasi secara pandu lalu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis tersebut telah diadakan di dalam prasekolah, di mana ibu bapa dihadkan kepada seorang bagi setiap murid. Murid-murid telah diberikan jambangan bunga, goodies bag dan fail peribadi murid untuk dibawa pulang. Selain daripada itu, murid-murid diberi peluang untuk memakai jubah dan bergambar untuk dijadikan kenangan semasa berada di Prasekolah SK Bukit Tampoi (A).

Tokoh Murid Cemerlang 6 Tahun pada tahun 2020 telah diberikan kepada adik M. Afif Adam dan M. Aniq Haziq manakala Tokoh Murid Cemerlang 5 Tahun pula telah diberikan kepada adik Chrishanaira Shuneesa. Tahniah diucapkan kepada mereka semua.

Terima kasih diucapkan kepada pengurusan Prasekolah SK Bukit Tampoi (A) kerana telah berjaya mengadakan majlis graduasi dengan mematuhi SOP yang ketat. Kejayaan mengadakan majlis tersebut menjadi pendorong kepada murid-murid untuk meneruskan sesi persekolahan mereka di Tahun 1 pada tahun hadapan.



Thursday, December 10, 2020

PENGUATKUASAAN PEMAKAIAN KASUT SEKOLAH MURID TAHUN 2021

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin akan keperluan ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu. Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, Mesyuarat Profesional KPM Bil.39/2020 bertarikh 17 Disember 2020 telah memutuskan bahawa, mulai tahun 2021, semua murid dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam atau berwarna putih serta stoking mengikut warna kasut yang dipakai. 

Keputusan yang dibuat oleh KPM ini boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2020 berkenaan Penguatkuasaan Pemakaian Kasut dan Stoking Hitam Atau Putih Oleh Murid Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2021. Sila klik pada pautan di bawah ini.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2020

Tuesday, December 8, 2020

PERTANDINGAN KEBUN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 2020


Pada hari ini, 8 Disember 2020 (Selasa), beberapa kakitangan daripada Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah hadir untuk membuat penilaian dan pemarkahan bagi Pertandingan Kebun Komuniti yang dianjurkan oleh MP Sepang. Pertandingan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu komuniti, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk memupuk semangat pertanian dalam diri individu untuk kegunaan seharian. Dengan menggunakan pelbagai kaedah pertanian dari tradisional sehingga moden. Di peringkat sekolah, murid-murid diberikan pendedahan tentang teknik penanaman yang betul agar dapat diaplikasikan di rumah.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh Yayasan MyKasih, Manulife Insurance Holding Berhad, Universiti Putra Malaysia, PIBG, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang telah terlibat secara langsung di dalam menjayakan projek pertanian ini. Setakat ini, kita telah berjaya menuai hasil tanaman sebanyak 3 kali yang melibatkan sayur-sayuran seperti sawi, bayam, pak choi dan kailan. 

Selain daripada itu, kita juga telah berjaya menanam beberapa jenis sayur berbuah seperti petola, kacang panjang, timun, labu air, bendi dan terung. Semua hasil pertanian dibahagikan kepada semua pihak yang terlibat untuk dinikmati bersama. Semoga pertanian ini dapat diteruskan untuk kelestarian di SK Bukit Tampoi (A) ini.

Friday, November 20, 2020

PENYERAHAN BANTUAN BANJIR SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2020

Penyerahan Bantuan Banjir telah dibuat oleh SK Bukit Tampoi (A) pada 18 dan 19 November 2020 tanpa ada majlis rasmi dengan mematui SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Penyerahan telah dibuat oleh En. Ilam bin Senin (YDP PIBG) yang sudi hadir untuk menyampaikan bantuan tersebut dan turut disaksikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar). Pihak sekolah turut pergi ke rumah murid yang tidak dapat hadir untuk menerima bantuan tersebut.

Bantuan ini diberikan kepada 14 keluarga murid di sekolah ini yang terlibat dengan banjir beberapa bulan yang lalu. Bantuan ini telah disumbangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui Tabung Amanah Bencana. Bantuan yang diserahkan secara tunai ini adalah untuk membantu setiap keluarga meringankan beban yang ditanggung seperti kerosakan harta benda dan sebagainya.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada Kementerian Kewangan Malaysia, guru-guru dan ibu bapa kerana telah memberikan kerjasama yang baik bagi merealisasikan impian sekolah untuk membantu murid-murid sekolah ini yang terlibat dengan musibah banjir. Harapan kami agar kebajikan anak-anak murid SK Bukit Tampoi (A) dapat dijaga dengan baik.

Sunday, November 8, 2020

PENGOPERASIAN SEKOLAH UNTUK BAKI TAHUN 2020


KPM mengambil maklum pengumuman oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan pada 7 November 2020 berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali negeri Kelantan, Pahang dan Perlis. Tempoh PKPB ini adalah selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020. Manakala PKPB di Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.

Mengambil kira pengumuman tersebut serta takwim persekolahan tahun 2020, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 19 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B. Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.

Oleh yang demikian, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B. Langkah ini diambil bagi membantu usaha Kerjaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak COVID-19.

Sepertimana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut. Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama. Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid. Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Monday, November 2, 2020

PELANJUTAN TEMPOH PENUTUPAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI SELURUH NEGERI SELANGOR, WP KUALA LUMPUR DAN WP PUTRAJAYA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kenyataan YB Menteri Kanan Pertahanan berhubung pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya dari 27 Oktober 2020 hingga 9 November 2020.

Selaras dengan pengumuman pelanjutan tempoh PKPB, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolaha harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Koleh Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya akan terus ditutup sehingga 9 November 2020.

Justeru itu, pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dumuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

SK Bukit Tampoi (A) akan dibuka semula pada 10 November 2020 (Selasa). Sekian, harap maklum.

Tuesday, October 13, 2020

PENUTUPAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI SELURUH NEGERI SABAH, SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk pengumuman YB Menteri Kanan Pertahanan pada 12 Oktober 2020 berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuatkuasa pada 13 Oktober 2020 di seluruh negeri Sabah dan pada 14 Oktober 2020 di seluruh negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. 

Selaras dengan pengumuman tersebut, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam negeri Sabah ditutup bermula 13 Oktober 2020 hingga 26 Oktober 2020.

Bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup mulai 14 Oktober 2020 hingga 27 Oktober 2020. 

Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru ini, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

SK Bukit Tampoi (A) akan dibuka semula pada 28 Oktober 2020 (Rabu). Sekian, harap maklum.

Wednesday, September 23, 2020

PROGRAM PENYERAHAN PELITUP MUKA PERCUMA 2020

Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma adalah kerjasama di antara Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku urus setia Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor telah mengedarkan pelitup muka percuma kepada sekolah-sekolah di dalam daerah Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Pelitup muka ini telah diedarkan kepada semua murid dan kakitangan di sekolah yang disenaraikan mengikut daerah masing-masing. Ia merupakan pelitup muka kain yang boleh digunakan oleh semua peringkat usia yang tidak mempunyai gejala penyakit berjangkit.

Walau bagaimanapun, pelitup ini perlu dibasuh selepas digunakan bagi menyelakkan ia daripada kotor dan berbau. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di atas keprihatinan untuk mengelakkan warga sekolah daripada dijangkiti pandemik Covid-19 ini.









Friday, September 4, 2020

SUNTIKAN IMUNISASI TAHUN 1 SESI 2020

Pada 3 Ogos 2020 (Khamis), sepasukan jururawat dari Klinik Kesihatan Dengkil telah hadir ke sekolah untuk memberi suntikan imunisasi kepada murid-murid Tahun 1 yang tidak mengambil suntikan semasa pertengahan tahun di Klinik Komuniti Kosmopleks Banda Baru Salak Tinggi.

Seramai 6 orang dari Tahun 1 telah diberikan suntikan imunisasi tersebut. Terima kasih diucapkan kepada jururawat dari Klinik Kesihatan Dengkil kerana sudi datang ke sekolah untuk memastikan murid-murid di sekolah ini mendapat suntikan imunisasi yang lengkap.

Tuesday, August 25, 2020

PENYERAHAN KWAPM TAHUN 2020

Penyerahan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi tahun 2020 telah dilaksanakan pada 25 Ogos 2020 (Selasa) bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seramai 124 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6 yang terlibat dengan penyerahan tersebut. Setiap murid yang layak dan disenaraikan akan menerima sebanyak RM100.00 seorang yang dimasukkan ke dalam akaun atau diberikan secara tunai.

Murid yang diberi bantuan ini adalah mereka yang terdiri daripada kumpulan B40 yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar. Murid yang menerima bantuan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Bantuan Sukan (BS), Program Pelajar Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh (PKSBP) atau bantuan lain tidak layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan KWAPM.

Selain daripada itu, murid yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) juga tidak layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan KWAPM kerana mereka telah menerima Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) oleh KPM sebanyak RM150.00.

Diharapkan dengan penyerahan bantuan KWAPM ini dapat meringankan beban keluarga untuk membeli peralatan sekolah anak-anak dan menjelaskan sumbangan PIBG yang berjumlah RM20.00 sekeluarga sahaja.

Wednesday, August 19, 2020

PROGRAM LOVE MY SCHOOL (MANULIFE HOLDING BERHAD & YAYASAN MYKASIH) 2020

 

Progam Love My School (Manulife Holding Berhad & Yayasan MyKasih) telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A) dengan kerjasama Manulife Holding Berhad dan Yayasan MyKasih. Tetamu yang hadir terdiri daripada En. Jason Lim (CMO), Pn. Eza Dzul Karnain, dan beberapa orang kakitangan daripada Manulife. Turut hadir bersama ialah Pn. Shafinaz Suhaimi (Senior Manager) dan beberapa orang kakitangan daripada Yayasan MyKasih. 

Kehadiran para tetamu adalah untuk melihat sendiri hasil sumbangan yang diberikan telah dimanfaatkan oleh sekolah untuk kebaikan murid-murid di sekolah ini. Di antara projek yang terlibat dengan sumbangan tersebut meliputi Projek Pertanian Aquaponik, Kad Bursary dan Sumbangan Buku Cerita. Sumbangan ini amat bermakna bagi murid-murid Orang Asli Suku Temuan ini.

En. Jason Lim (CMO Manulife) telah sudi untuk menanam pokok sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada pihak sekolah. Aktiviti tersebut turut disertai oleh En. Azman Shah (GPK Pentadbiran) dan En. Ilam Senin (YDP PIBG). Pihak sekolah amat berterima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan. Sumbangan ini akan kami manfaatkan untuk kegunaan murid-murid sekolah ini di dalam menanam minat bertani dalam diri mereka.