Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, June 29, 2019

PERTANDINGAN SENAM SIHAT 2019


Pertandingan Senam Sihat adalah pertandingan yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang kepada Kelab Doktor Muda sekolah-sekolah di daerah Sepang. Pertandingan ini telah diadakan di SAM Bandar Baru Salak Tinggi pada 27 Jun 2019 (Khamis). Pertandingan dibahagikan kepada 2 kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.

Acara yang dipertandingkan bagi sekolah rendah adalah pertandingan senamrobik manakala bagi acara bagi sekolah menengah adalah pertandingan lompat tali. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar sepasukan atlet senamrobik yang dianggotai oleh tujuh orang murid campuran untuk menyertai pertandingan tersebut. Mereka diiringi oleh Pn. Norshazzira dan Pn. Hamizan sebagai guru pengiring dan jurulatih.

Kebanyakan sekolah rendah yang mempunyai Kelab Doktor Muda telah menghantar atlet masing-masing untuk turut serta. Keputusan akhir yang diperoleh adalah SK Bukit Tampoi (A) telah mendapat tempat ketiga. Ini merupakan pencapaian yang amat cemerlang kerana kami merupakan satu-satunya sekolah Orang Asli yang menyertai pertandingan tersebut.

Tahniah diucapkan kepada pasukan senamrobik SK Bukit Tampoi (A) kerana telah memenangi pertandingan Senam Sihat pada tahun ini. Semoga kemenangan ini dapat menjadikan inspirasi kepada murid-murid lain untuk mengikut jejak langkah kalian. Teruskan usaha untuk pertandingan pada tahun hadapan.



MAJLIS PERASMIAN MAKMAL KOMPUTER & KAD DEBIT MYKASIH 2019


Makmal Komputer SK Bukit Tampoi (A) telah dinaiktaraf oleh Yayasan MyKasih. Beberapa peralatan dan perabot Makmal Komputer telah digantikan dengan yang baharu. Di antara peralatan yang diganti adalah komputer guru, LCD projektor, skrin projektor, pencetak laser dan modem wifi.

Pihak sekolah juga mendapat tajaan penggunaan kad debit untuk kegunaan murid berbelanja tanpa tunai di kantin sekolah. Seramai 50 orang murid telah dipilih untuk projek perintis ini. Murid boleh membeli makanan dan minuman di kantin sekolah menggunakan kad debit.

Maka satu majlis perasmian telah diadakan bagi merasmikan kedua-dua projek daripada MyKasih ini. Majlis ini telah dihadiri oleh para penyumbang dana, Timbalan Pengerusi MyKasih dan beberapa orang kakitangan MyKasih.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan MyKasih kerana sudi memberikan sumbangan dan menjaga kebajikan murid-murid kami di sini. Semoga segala sumbangan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.











Wednesday, June 26, 2019

PROGRAM SLAMAT AIK JADIK 2019


Program Slamat Aik Jadik merupakan satu program untuk meraikan sambutan hari jadik murid di sekolah. Selain daripada itu, program ini juga menggalakkan kehadiran murid ke sekolah seterusnya meningkatkan kehadiran mereka. Program ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. 

Ini merupakan program yang kedua diadakan bagi murid-murid yang lahir dari bulan Mac hingga Ogos. Mereka terdiri daripada murid-murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. 

Selamat hari jadi kepada semua murid yang menyambutnya. Semoga kalian bergembira dengan kek yang disediakan oleh pihak sekolah. Harapan pihak sekolah agar kehadiran murid-murid ini dapat ditingkatkan pada masa akan datang.











Monday, June 24, 2019

JEMPUTAN MY SINGGAH RAYA IRM 2019


Program My Singgah Raya adalah satu majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia. Ia diadakan di pejabat IRM yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Program ini telah diadakan pada 22 Jun 2019 (Sabtu) bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Semua tetamu yang terlibat secara langsung dengan projek yang dijalankan oleh IRM dijemput hadir. Mereka terdiri daripada para penyumbang dana dan penerima manfaat daripada projek yang telah dijalankan. SK Bukit Tampoi (A) adalah penerima manfaat tersebut melalui projek untuk murid sekolah dan projek tanaman cendawan.

Seramai 28 orang murid, 3 orang guru dan 4 orang peserta tanaman cendawan telah dijemput hadir menggunakan bas sekolah yang disewa oleh IRM. Di sana kami diraikan dengan hidangan hari raya di samping hiburan daripada pengacara majlis dan persembahan nyanyian.

Pada akhir program, murid-murid dan peserta projek tanaman cendawan telah menerima buah tangan dan duit raya. Terima kasih diucapkan kepada IRM kerana telah menjemput kami menghadiri majlis rumah terbuka My Singgah Raya 2019.