Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, February 20, 2017

PELANCARAN PROGRAM NILAM 2017

Program NILAM merupakan suatu program galakkan murid membaca. Program ini terbuka kepada semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Mereka cuma perlu menulis laporan bahan bacaan yang telah dibaca dan disahkan oleh guru.


Pelancaran program ini telah dibuat semasa perhimpunan rasmi pada hari ini. En. Azman Shah bin Mohd. Yunus (PK Pentadbiran) telah merasmikan pelancaran program NILAM tersebut. Dengan perasmian program tersebut, maka semua murid boleh mula membaca apa-apa bahan bacaan seperti buku cerita, majalah, jurnal, artikel dan sebagainya.


Unit Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang merupakan penyelaras program telah menyediakan hadiah yang menarik bagi menggalakkan murid untuk membaca. Hadiah akan disampaikan pada akhir tahun semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Semoga semua murid SK Bukit Tampoi (A) mengambil peluang ini untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan minat membaca murid.

PEMANTAUAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Pagi ini SK Bukit Tampoi (A) telah dikunjungi oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Sepang yang diketuai oleh En. Alias bin Awang (Ketua Penolong PPD Pengurusan Akademik) . Beliau dan beberapa orang pegawai-pegawainya telah datang ke sekolah bertujuan untuk memantau pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21). Semua pegawai diminta untuk membuat pemantauan ke dalam semua kelas untuk melihat persiapan kelas dan murid dalam merealisasikan PAK 21. 

Setelah selesai pemantauan ke kelas, mereka telah mengadakan taklimat kepada semua guru di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Terima kasih di atas kunjungan En. Alias dan semua pegawai PPD Sepang ke sekolah kami demi kemajuan sekolah amnya dan murid-murid khususnya.