Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, March 23, 2022

MESYUARAT PEMILIHAN AHLI JAWATANKUASA KOKURIKULUM SESI 2022/2023

 


WAKTU AKTIVITI KOKURIKULUM SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022/2023

Makluman kepada semua ibu bapa dan penjaga murid SK Bukit Tampoi (A). Aktiviti kokurikulum bagi sesi persekolahan 2022/2023 akan dijalankan seperti ketetapan berikut : -

Tarikh : 11 Mei 2022 (Rabu)
Masa : 1.00 - 3.00 petang
Hari : Setiap hari Rabu

Diharapkan agar ibu bapa dan penjaga dapat mengatur pengangkutan anak masing-masing untuk mengikuti aktiviti kokurikulum pada tahun ini. Sekian, harap maklum.

Saya yang menjalankan amanah,

Guru Besar
SK Bukit Tampoi (A)

Monday, March 21, 2022

PROGRAM ZIARAH CAKNA 2022


Program Ziarah Cakna merupakan aktiviti guru sekolah menjejaki murid-murid yang tidak hadir ke sekolah dalam masa yang lama. Sudah hampir dua tahun program ini ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah dengan sokongan daripada JPN Selangor dan PPD Sepang program ini dapat diteruskan kembali pada tahun ini.

Fokus ziarah cakna pada kali ini adalah ke KOA Bukit Baja khususnya murid Tahun 5 dan Tahun 6. Seramai 8 orang murid Tahun 5 dan 2 orang murid Tahun 6 yang terlibat. Murid-murid ini telah dikenalpasti sebagai murid yang tidak hadir tegar pada tahun 2021. Walau bagaimanapun pada hari pertama persekolahan ini 4 orang daripada 10 orang murid telah hadir ke sekolah. Mereka telah didampingi pegawai-pegawai JPN Selangor untuk memberikan nasihat dan motivasi agar mereka terus hadir ke sekolah seperti murid-murid lain. Selebihnya akan diziarahi oleh rombongan ziarah cakna ke tempat tinggal mereka.

SK Bukit Tampoi (A) sangat berbesar hati untuk menerima kunjungan Pn. Hjh. Marpuaton binti Sastero (Timb. Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah) serta pegawai-pegawai daripada Sektor Pembelajaran & Sekolah Jenis Khas dan pegawai-pegawai PPD Sepang. Mereka bersama-sama pihak sekolah dan YDP PIBG. Rombongan ziarah cakna telah disambut oleh Tok Batin Jalil bin Long selaku Batin KOA Bukit Baja. Hasil ziarah cakna, kami berjaya berjumpa dengan 5 orang murid daripada 6 orang murid yang tidak ke sekolah. Tok Batin telah mengesahkan bahawa murid yang seorang lagi telah berpindah ke Port Dickson tanpa memberikan maklumat perpindahan kepada pihak sekolah.

Terlebih dahulu rombongan ini telah singgah di sekolah untuk menyampaikan hadiah kehadiran cemerlang kepada murid-murid yang mencatatkan kehadiran cemerlang sepanjang tahun 2021. Selain daripada itu, puan Timbalan Pengarah turut melawat projek pertanian yang diusahakan oleh murid-murid sebelum ini. Projek ini dijalankan bagi menarik kehadiran murid-murid ke sekolah selain beberapa program jalinan dan jaringan daripada komuniti setempat. Terima kasih kami ucapkan kepada JPN Selangor, PPD Sepang, YDP PIBG dan Tok Batin KOA Bukit Baja kerana telah sudi turun padang melihat sendiri usaha sekolah dalam menangani masalah kehadiran murid ke sekolah. Semoga lawati ke kampung dapat membuka mata murid-murid dan ibu bapa bahawa pendidikan sangat penting untuk masa depan yang cemerlang.


PEMANTAUAN PEMBUKAAN SEKOLAH PPS DAN PPD SEPANG TAHUN 2022


Sesi persekolahan tahun 2022/2023 telah bermula pada 21 Mac 2022 (Isnin). Semua murid SK Bukit Tampoi (A) perlu hadir ke sekolah seperti biasa kerana tiada penggiliran bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 600 orang.

Pada hari pertama ini, sekolah ini telah dipantau oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada 2 orang pegawai polis dari Balai Polis Dengkil iaitu Kpl Hairul dan Kpl Andalus. Tugas PPS adalah untuk memastikan pihak sekolah mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Turut sama melakukan pemantauan adalah Pegawai PPD Sepang iaitu En. Rosli bin Ahmad. Beliau ditugaskan untuk memantau perjalanan pembukaan sesi persekolahan bagi pihak PPD Sepang. Pihak sekolah amat mengalu-alukan pemantauan daripada PPS dan PPD Sepang sebagai sebahagian daripada jalinan dan jaringan sekolah dengan pemegang taruh dan agensi kerajaan lain.

Friday, March 18, 2022

SUMBANGAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH TAHUN 2022


Syukur kepada Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya 10 orang murid SK Bukit Tampoi (A) yang terdiri daripada murid Orang Asli yang beragama Islam terpilih untuk menerima sumbangan pakaian seragam sekolah. Sumbangan yang diterima oleh murid-murid tersebut adalah sepasang pakaian seragam sekolah.

Pakaian seragam sekolah ini disumbangkan oleh En. Samsul yang merupakan seorang pekerja swasta yang dermawan. Beliau bermurah hati untuk menyumbangkan sepasang pakaian seragam sekolah kepada murid-murid yang beragama Islam kerana sumbangan ini merupakan sumbangan zakat.

Terima kasih kepada En. Samsul kerana telah sudi untuk memberi sumbangan kepada 10 orang murid SK Bukit Tampoi (A). Sumbangan ini sungguh bermakna kepada murid-murid sekolah ini kerana mereka terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40).

Sejurus selepas membeli pakaian seragam sekolah, murid-murid dibawa pula untuk menjamu selera di restoran makanan segera di pekan Dengkil. 

Wednesday, March 16, 2022

GOTONG-ROYONG PEMBUKAAN SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2022

PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP) SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) SK Bukit Tampoi (A) telah dijalankan pada 15 Mac 2022 (Selasa). Penyerahan dibuat di tempat terbuka iaitu di luar bilik darjah Tahap 2 bagi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM. Semua ibu bapa perlu melalui tapisan ketat sebelum dibenarkan masuk untuk mengambil bantuan tersebut.

BAP bagi tahun 2022 berjumlah RM 150 bagi seorang murid. Murid yang layak menerima bantuan ini adalah seramai 123 orang daripada 143 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Kelayakan penerima bantuan BAP ini adalah sama seperti tahun sebelum ini iaitu pendapatan keluarga mestilah kurang daripada RM 3000.

Para ibu bapa dan penjaga berasa amat bersyukur kerana telah menerima bantuan tersebut. Dengan bantuan ini dapatlah ibu bapa dan penjaga membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak yang akan dibuka beberapa hari sahaja lagi.

Thursday, March 3, 2022

PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 SESI PERSEKOLAHAN 2023/2024

Pendaftaran Murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2023/2024 telah dibuka dari 1 Mac 2022 hingga 30 April 2022. Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Dalam Talian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di laman sesawang https://public.moe.gov.my dalam tempoh tersebut.

Pendaftaran secara dalam talian selepas tarikh tersebut sehingga 15 Disember 2022 adalah dikira sebagai pendaftaran lewat. Selepas 15 Disember 2022, pendaftaran adalah secara manual di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) / Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk kanak-kanak yang akan bersekolah bagi sesi persekolahan 2023/2024.

Kanak-kanak yang layak memohon pendaftaran tahun 1 bagi sesi persekolahan 2023/2024 adalah seperti berikut : -

1. Kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2016 sehingga 1 Januari 2017 untuk kemasukan sesi persekolahan 2023/2024.

2. Kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2017 sehingga 1 Januari 2018 untuk kemasukan sesi persekolahan 2024/2025.

Pendaftaran Tahun 1 Sesi Persekolahan 2023/2024 (Sila klik pautan di bawah ini)

https://public.moe.gov.my/

CUTI AKHIR PENGGAL 3 TAHUN 2021/2022

 Adalah dimaklumkan bahawa, sesi persekolahan tahun 2021/2022 telah berakhir pada 25 Februari 2022 (Jumaat). Murid-murid akan bercuti dari 26 Februari 2022 sehingga 20 Mac 2022 (Ahad).

Sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 (Isnin). Selamat bercuti kepada semua murid SK Bukit Tampoi (A). Sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga.

Semoga kita dapat berjumpa semula pada sesi persekolahan 2022/2023.