Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, October 31, 2018

PROGRAM TRANSFORMASI PENINGKATAN MINDA MURID ORANG ASAL (ASLI) 2018


Program Transformasi Peningkatan Minda Murid Orang Asal (Asli) ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sepang ke beberapa sekolah di negeri Perak.  Sekolah-sekolah yang terlibat di dalam lawatan ini adalah SK Bukit Tampoi (A), SK Bukit Dugang (A), SK Sungai Melut (A), SMK Dengkil dan SMK Sungai Rawang dengan masing-masing membawa 12 orang murid dan 2 orang guru pengiring.

Sekolah-sekolah yang dilawati adalah SMK Sri Tapah, SK Jernang dan SK Pos Musuh. Program 2 hari 1 malam telah dimulakan dengan lawatan ke SMK Sri Tapah. Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah yang mempunyai seramai 600 orang daripada 800 orang yang terdiri daripada murid Orang Asli kaum Semai.

Kemudian, lawatan diteruskan ke SK Jernang, Sungkai. Sekolah ini merupakan Johan Kelas Kedap Peringkat Kebangsaan di Pertandingan Amalan Terbaik Sekolah-sekolah Orang Asli yang diadakan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Sekolah ini dikategorikan sebagai P1 iaitu sekolah yang tiada kemudahan bekalan air terawat bermeter. Oleh itu, ahli rombongan terpaksa menaiki lori yang disediakan oleh pihak JAKOA negeri Perak untuk ke sekolah tersebut.

Pada hari kedua, lawatan diteruskan dengan pergi ke SK Pos Musuh, Tapah. Sebelum ke sana, kami telah singgah di Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Tapah. Di sana kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam, En. Azman dan beberapa orang pegawai PPD Batang Padang. Seterusnya kami diperkenalkan dengan En. Hasnol (GPK Pentadbiran) dan En. Mustakim (GPK HEM) dari SK Pos Musuh.

Dengan bantuan 2 orang guru ini yang menjadi penunjuk arah kepada kami untuk perjalanan ke SK Pos Musuh. Perjalanan yang mengambil masa 1 jam perjalanan terpaksa dihentikan kepada pengangkutan yang digunakan tidak dapat melalui jalan yang berliku lagi sempit. Kenderaan yang kami gunakan ialah sebuah van. Menurut guru pengiring kami, kenderaan yang sesuai untuk ke sekolah mereka ialah dengan menggunakan pacuan empat roda (4W).

Dipertengahan jalan tersebut, kami terpaksa menyerahkan Perjanjian Persefahaman (MOU) kepada wakil daripada sekolah tersebut. Kami berasa amat hampa dan terkilan kerana tidak dapat sampai ke destinasi yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, atas faktor keselamatan kami terpaksa membatalkan lawatan tersebut.

Semasa perjalanan kami ke SK Pos Musuh, murid-murid yang mengikuti rombongan telah beriadah di Felda Regensi Hot Springs dengan bermandi-manda di sana dengan diawasi oleh beberapa orang guru pengiring. Ini adalah peluang kepada mereka untuk merasai kehangatan air panas semula jadi. Selepas makan tengah hari. kami bertolak pulang pada pukul 2.30 petang.





































Sunday, October 28, 2018

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT UNIVERSITI TUN ABDUL RAZAK 2018


Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) melalui Khidmat Masyarakat telah sudi menghasilkan lukisan mural di dinding-dinding SK Bukit Tampoi (A). Aktiviti ini telah dihasilkan pada 27 Oktober 2018 (Sabtu) dari pukul 7.40 pagi hingga 4.00 petang. Program Khidmat Masyarakat ini dihadiri oleh 33 orang pelajar dengan diiringi oleh 1 orang pensyarah. Para guru dan kakitangan sekolah juga hadir untuk memberi sokongan kepada usaha murni ini. Turut hadir pada program ini ialah En. Pen iaitu Naib Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A).

Mereka telah berjaya menghasilkan sebanyak 4 mural bersaiz kecil, 2 mural bersaiz sederhana dan 1 mural bersaiz besar. Mural bersaiz kecil dihasilkan di belakang Bilik Akses manakala mural bersaiz sederhana dihasilkan di dinding luar pagar utama. Mural bersaiz paling besar adalah di dinding Bilik Muzik.

Pihak sekolah telah sudi menyediakan cat mural bagi menghasilkan mural tersebut. Selain daripada itu, pihak sekolah juga turut menyediakan makanan dan minuman untuk dijamu oleh para pelajar. Pihak UNITAR pula telah bersetuju untuk membawa peralatan mengecat dan sumbangan tenaga dan idea untuk melukis mural untuk pihak sekolah.

Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan, pensyarah dan para pelajar UNITAR kerana telah memilih sekolah kami untuk khidmat masyarakat oada tahun ini. Pihak sekolah juga dimaklumkan bahawa khidmat masyarakat pada tahun ini memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah Orang Asli di negeri Selangor. Dengan sumbangan mural yang cantik dapat menceriakan suasana sekolah seterusnya dapat menarik minat murid untuk hadir ke sekolah.








Friday, October 26, 2018

TAKLIMAT KEMASUKAN KE TINGKATAN 1 SMK DENGKIL TAHUN 2019


Taklimat Kemasukan Ke Tingkatan 1 SMK Dengkil bagi kemasukan tahun 2019 telah diadakan pada 26 Oktober 2018 (Jumaat) kepada murid-murid Tahun 6 Siantan di Bilik Komputer. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Guru Kaunselor SMK Dengkil. Turut hadir pada sesi taklimat tersebut adalah Guru Besar dan Penyelaras Tahun 6.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memberi garis panduan kepada murid-murid yang akan melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan agar tidak terlepas wakttu pendaftaran yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah menangah.Ini merupakan langkah proaktif yang dilakukan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Dengkil terhadap sekolah-sekolah "feeder". 

Semoga taklimat seperti ini dapat diteruskan kerana ia memudahkan murid-murid akan prosedur yang betul sebelum dan semasa pendaftaran ke sekolah menengah. Terima kasih diucapkan kepad Guru Kaunselor kerana sudi datang dan menyampaikan taklimat tersebut kepada murid-murid sekolah kami.