Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, January 26, 2022

PEMANTAUAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT CAWANGAN KLIA

 


Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Cawangan KLIA telah datang ke SK Bukit Tampoi (A). Mereka diketuai oleh En. Mohd Ismadi bin Abd Rahman yang telah meninjau keselamatan kawasan sekolah. Tugas mereka adalah untuk memastikan keselamatan sekolah ini berada pada tahap yang terbaik.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan KLIA kerana sudi datang ke sekolah ini. Segala cadangan dan penambahbaikan yang diberikan akan kami usahakan sebaik mungkin demi kesejahteraan dan keselamatan anak murid kami terjamin.

Kami juga turut berharap agar PIBG dan ibu bapa atau penjaga dapat membantu pihak sekolah memastikan keselamatan anak masing-masing sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard pada setiap masa. Anak-anak murid juga dinasihatkan agar peka dengan keadaan persekitaran semasa supaya sebarang kemalangan dapat dicegah seawal mungkin. 

CUTI PERAYAAN SEMPENA TAHUN BARU CINA 2022

Friday, January 14, 2022

PEMANTAUAN KPM PERKASAKU 2021

 


Pemantauan KPM Perkasaku telah dilakukan secara mengejut oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Kedatangan mereka adalah untuk memastikan KPM Perkasaku dijalankan di sekolah-sekolah negeri Selangor.

Perkara yang diberi fokus berkaitan KPM Perkasaku adalah Catch Up Plan. Pemantauan dijalankan secara learning walk di sekitar kawasan sekolah. Mereka juga turut masuk ke dalam kelas untuk bertanya khabar murid-murid dan menggalakkan murid-murid untuk mengajak rakan-rakan agar hadir ke sekolah.

Pegawai JPN juga telah memanggil beberapa orang guru untuk soal selidik tentang pelaksanaan Catch Up Plan yang telah dirancang dan dilaksanakan di dalam kelas. Sejurus selesai, mereka sekali lagi di bawa melawat kawasan pertanian urban SK Bukit Tampoi (A). Mereka sangat kagum dengan hasil pertanian yang telah diusahakan di sekolah ini melalui Program TS25.

Terima kasih diucapkan kepada pegawai-pegawai JPN yang hadir untuk membantu sekolah memastikan pelaksanaan Catch Up Plan dilaksanakan dengan cara yang betul. Semoga bimbingan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Wednesday, January 12, 2022

PELAKSANAAN UJIAN SARINGAN COVID-19 BAGI MURID SEKOLAH RENDAH BAWAH STRATEGI PENGUJIAN COVID-19 KEBANGSAAN


Kit Ujian Kendiri COVID-19

Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa/penjaga.

Khusus bagi pelaksanaan ujian saringan COVID-19 pada minggu ini, pihak sekolah telah mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri COVID-19 untuk dibawa pulang oleh murid pada 12 Januari 2022. Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari 2022.

Sekiranya keputusan negatif, murid boleh hadir ke sekolah. Jika keputusan positif, ibu bapa/penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut dan memaklumkan kepada pihak sekolah. Namun, jika keputusan ujian tidak sah (invalid), ibu bapa/penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah.

Ibu bapa/penjaga juga boleh merujuk dengan guru kelas anak masing-masing untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan penggunaan kit ujian tersebut. Guru kelas juga telah melampirkan video cara penggunaan kit ujian dalam media sosial kelas masing-masing. Sekian, harap maklum.

Tuesday, January 11, 2022

PERTANDINGAN SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (PSSMOA) PERINGKAT NEGERI SELANGOR TAHUN 2021

Tahniah kepada para atlet SK Bukit Tampoi (A) kerana telah berjaya mengharumkan nama sekolah di Pertandingan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (PSSMOA) Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2021.


KHYRIL SAHKIR BIN KAMARUDIN
(Johan Sepak Takraw PSSMOA)
 

FARIZ HAIKAL BIN AZRI
(Tempat Kelima Sepak Takraw PSSMOA)


SARLIENESA ANAK ZUL
(Sijil Penyertaan Bola Baling PSSMOA)

Monday, January 10, 2022

SUMBANGAN ALAT TULIS DARIPADA ALFA PETS

 


Selamat datang diucapkan kepada semua murid SK Bukit Tampoi (A) kerana berjaya hadir ke sekolah pada hari pertama persekolahan penggal 3 tahun 2021/2022. Walau bagaimanapun, peratus kehadiran murid pada hari pertama kurang memberangsangkan kerana hanya berjaya mencapai 43% daripada keseluruhan 132 orang murid. 

Namun begitu, bagi murid yang hadir ke sekolah pada hari ini, mereka dihadiahkan satu set alat tulis yang terdiri daripada peralatan menulis dan buku latihan. Set tersebut telah disumbangkan oleh Alfa Pets kepada semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

Terima kasih diucapkan kepada Alfa Pets kerana sudi memberikan sumbangan keperluan sekolah yang amat diperlukan oleh murid-murid anak Orang Asli suku Temuan. Sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban ibu bapa/penjaga yang terdiri daripada kumpulan B40. Semoga lebih ramai lagi individu, syarikat dan NGO dapat menghulurkan bantuan kepada kami.





Sunday, January 9, 2022

PENGOPERASIAN SEKOLAH BAGI PENGGAL 3 SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2021/2022

Merujuk kepada kenyataan media KPM pada 1 Januari 2022 berkaitan penjelasan mengenai Pengoperasian Institusi Pendidikan Bawah KPM bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 di Negeri Kelantan dan Sarawak dengan ini menjelaskan bahawa ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 adalah melibatkan institusi pendidikan bawah KPM seluruh negara, termasuklah di negeri Kelantan dan Sarawak.

Oleh yang demikian, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri Kumpulan A, manakala 10 Januari 2022 bagi Kumpulan B. Justeru itu, SK Bukit Tampoi (A) akan mula beroperasi pada 10 Januari 2022 (Isnin). Berikut adalah pengoperasian semula SK Bukit Tampoi (A) : -

1. Tiada penggiliran sekolah. Semua murid boleh datang ke sekolah seperti biasa.

2. Murid perlu sentiasa memakai pelitup separuh muka semasa berada di kawasan sekolah.

3. Murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan sekiranya pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

4. Sekiranya  ibu bapa/penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Namun ibu bapa/penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.

5. Murid masih belum dibenarkan untuk rehat di kantin sekolah. Murid hanya dibenarkan makan dan minum di dalam kelas masing-masing pada waktu rehat.

6. Bagi murid yang terlibat dengan banjir, sila maklumkan kepada guru kelas atau guru SPBT berkaitan kehilangan atau kerosakan buku teks dengan kadar segera.

Berikutan dengan pengoperasian semula sekolah, ibu bapa/penjaga serta murid-murid diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah digariskan oleh KPM dan MKN. Murid-murid TIDAK DIBENARKAN hadir ke sekolah sekiranya : -

1. Murid atau ahli keluarga sedang atau akan melalui tempoh kuarantin kerana kes Covid-19.

2. Murid adalah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

3. Murid demam, batuk, selsema, lelah/asma atau bergejala.

4. Murid tinggal dalam kelompok kontak rapat pesakit Covid-19.

5. Suhu badan murid kurang 35 darjah Celcius atau lebih daripada 37.5 darjah Celcius.

Diharapkan agar sesi pengoperasian semula sekolah dapat berjalan dengan lancar agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan seperti biasa. Sekian, terima kasih.

Thursday, January 6, 2022

SUMBANGAN ALAT TULIS DARIPADA ALFA PETS DAN RAKAN-RAKAN 2022

 



Pada hari ini, sepasukan sukarelawan daripada Alfa Pets telah hadir ke sekolah untuk menyampaikan sumbangan berupa peralatan alat tulis kepada murid-murid SK Bukit Tampoi (A). Pasukan yang diketuai oleh En. Muhammad Nishan ini telah menyumbangkan sebanyak 132 set alat tulis dan buku latihan untuk kegunaan murid-murid.

Sumbangan ini telah diterima oleh En. Mohd. Fadzli bin Mansor (Guru Besar) serta turut disaksikan oleh En. Farid Anwar bin Shaari (PK Kokurikulum). Pihak sekolah amat mengalu-alukan sumbangan dan bantuan seperti ini untuk menjaga kebajikan anak-anak Orang Asli suku Temuan di Dengkil ini.

Sumbangan ini akan diberikan kepada semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6 setelah sesi persekolahan dibuka semula. Sumbangan ini amat bermakna buat semua murid di SK Bukit Tampoi (A) yang kebanyakkannya dalam kategori B40. Terima kasih sekali lagi kepada Alfa Pets dan rakan-rakan NGO lain yang turut sama menjayakan sumbangan ini.

JASAMU DIKENANG PN. SITI SAADAH BINTI MUKRIM

 


Jasamu dikenang Pn. Siti Saadah binti Mukrim mantan Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) yang telah berpindah ke SK Bandar Baru Salak Tinggi pada 4 Januari 2022. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini lebih kurang 5 tahun. Banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang telah beliau buat semasa di sekolah ini. 

Di antara jasa beliau adalah mengubahsuai lanskap sekolah menjadi lebih ceria dan kondusif untuk murid. Di samping itu, beliau turut memperkenalkan dasar terbuka dengan menerima masuk banyak bantuan dan sumbangan keperluan persekolahan murid-murid di sekolah ini.

Beliau juga turut menyumbang kepada peningkatan pencapaian kokurikulum terutamanya pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Orang Asli sehingga pernah menjadi johan keseluruhan. Selain daripada itu, beberapa orang murid sekolah ini turut terpilih untuk mewakili negeri Selangor ke kejohanan KSSMOA Peringkat Kebangsaan.

Terima kasih di atas segala usaha yang telah diberikan untuk menjadikan SK Bukit Tampoi (A) sebagai sekolah yang dikenali dan cemerlang terutamanya dalam bidang sukan. Kami doakan agar puan sihat sejahtera selalu dan dapat meneruskan kecemerlangan di sekolah baharu nanti. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sampai kita berjumpa lagi.