Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, May 17, 2024

HARI GURU 2024

Sambutan Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Pada tahun ini, SK Bukit Tampoi (A) telah meraikan guru-guru di sekolah pada tarikh tersebut. Sambutan yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan (KKGK) telah diadakan dengan sederhana di sekolah. Turut dijemput adalah Naib Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) yang mewakili YDP PIBG.

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah dimulai dengan majlis perasmian Hari Guru yang dirasmikan oleh En. Yusoh a/l Alip selaku NYDP PIBG SK Bukit Tampoi (A). Sebelum dari itu, dibacakan ucapan daripada Menteri Pendidikan Malaysia dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Teks ucapan dibacakan oleh Pn. Noresah binti Sapari (GPK Pentadbiran) dan Pn. Siti Zahara binti Hayat (GPK Hal Ehwal Murid). Diikuti pula dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar.

Sejurus selepas ucapan perasmian, semua guru menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" dan melafazkan ikrar guru. Lafaz ikrar guru diketuai oleh En. Muhamad Yazie bin Rosli. Selepas selesai majlis perasmian, guru-guru bersiap sedia untuk menyertai aktiviti sukaneka yang telah disediakan oleh KKGK. Di antara aktiviti sukaneka yang dijalankan adalah seperti "Rantai Cikgu Putus", "Alamak...Panjangnya", "Baling-baling Sayang" dan "Derasnya Air".

Kemudian, guru-guru dijemput ke jamuan makan di kantin sekolah yang ditaja sepenuhnya oleh KKGK. Selepas makan, guru-guru didendangkan pula dengan persembahan nyanyian oleh murid-murid mengikut kelas masing-masing. Pelbagai gaya persembahan dipersembahkan oleh murid-murid. Persembahan yang paling menarik perhatian guru-guru adalah persembahan dikir barat yang disampaikan oleh murid-murid tahun 5 Dahlia. Persembahan ini mendapat bimbingan daripada guru kelas mereka iaitu Pn. Sanihah binti Sulaiman.

Pada penghujung sambutan, murid-murid berpusu-pusu untuk menyampaikan hadiah kepada guru-guru mereka. Penyampaian hadiah ini adalah sumbangan ikhlas ibu bapa buat guru-guru yang telah mengajar anak-anak mereka selama ini. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa yang menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh guru-guru di sini. Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia, "Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara MADANI".

KEM BAKAT SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (KBSSMOA) TAHUN 2024

Kem Bakat Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KBSSMOA) yang dahulu dikenali sebagai Kejohanan Sukan Murid Orang Asli (KSSMOA) telah diadakan pada 14 dan 15 Mei 2024 bertempat di Bandar Baru Salak Tinggi. Kem yang dianjurkan oleh Unit Bakat dan Sukan PPD Sepang telah disertai oleh 11 buah sekolah Orang Asli daripada 4 buah daerah di negeri Selangor.

Pada tahun ini, sebanyak 4 acara berpasukan dan 6 acara olahraga telah dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, bola baling dan sepak takraw. Manakala bagi acara olahraga terdiri daripada acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, 100m, 200m, 4 x 100m dan 4 x 200m. Unit Kokurikulum telah menghantar atlet untuk menyertai hampir ke semua acara kecuali bola sepak.

Hasil daripada penyertaan tersebut, atlet kita telah berjaya membawa pulang 1 perak dan 3 gangsa iaitu pingat perak daripada acara lompat tinggi perempuan dan gangsa daripada acara bola baling lelaki dan perempuan serta sepak takraw. Pencapaian keseluruahan SK Bukit Tampoi dalam KBSSMOA pada tahun ini adalah pada tempat kelima keseluruhan.

Tahniah diucapkan kepada semua Unit Kokurikulum, guru-guru dan atlet-atlet yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat dan seterusnya menaikkan nama sekolah di peringkat negeri Selangor. Walaupun pencapaian tahun ini sedikit menurun, namun kesemua atlet kita berjaya mendapat sekurang-kurangnya sijil penyertaan yang boleh dimasukkan ke dalam sistem PAJSK sekolah.

Saturday, May 11, 2024

MESYUARAT AGUNG PIBG SK BUKIT TAMPOI (A) KALI KE-31 TAHUN 2024


Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-31 tahun 2024 telah diadakan pada 11 Mei 2024 (Sabtu) di makmal Sains SK Bukit Tampoi (A). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En. Yusoh a/l Alip selaku Ahli Majlis Zon Arked, Dengkil. Beliau merupakan Ahli Majlis yang berketuruan Orang Asli suku Temuan.Selain daripada itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Tok Batin KOA Bukit Tampoi dan Kolam Air Bangkong, Pengerusi JKKK KOA Kolam Air Bangkong serta wakil daripada Jakoa Daerah Sepang. 

Mesyurat yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu dimulai dengan ucapan daripada En. Mohd Fadzli bin Mansor Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Kemudian diikuti oleh ucapan daripada En. Chairi Ersyad bin Arshad Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) dan diakhiri dengan ucapan perasmian oleh En. Yusoh a/l Alip Ahli Majlis Zon Arked, Dengkil.

Sejurus selepas ucapan perasmian, mesyuarat agung PIBG pun dimulai dengan ucapan pengerusi iaitu YDP PIBG. Seterusnya diikuti oleh pengesahan minit mesyuarat agung tahun lepas dan pembentangan penyata kewangan PIBG. Pada akhir mesyuarat pengerusi telah membaca tiga usul yang telah dicadangkan iaitu mengekalkan ahli jawatankuasa PIBG yang sedia ada, melantik En. Yusoh a/l Alip dan En. Mansor bin Binjen sebagai ahli jawatankuasa PIBG serta menebang pokok mati di sekitar kawasan sekolah. Semua usul telah diterima dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa PIBG untuk tindakan selanjutnya.

Setelah selesai mesyuarat agung, acara yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa iaitu acara cabutan bertuah. Hadiah cabutan bertuah pada kali ini ditaja sepenuhnya oleh PIBG. Sebanyak 28 buah hadiah cabutan bertuah yang  disediakan untuk diberikan kepada ibu bapa yang bertuah. Mesyuarat telah selesai lebih kurang pukul 11.00 pagi.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Majlis Zon Arked kerana sudi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-31 tahun 2024. Selain daripada itu, ucapan terima kasih juga ditujukan buat ahli jawatankuasa PIBG yang telah berjaya mengekalkan jawatan sedia ada dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan telus. Tidak dilupakan juga kepada Tok-tok Batin, Pengerusi JKKK, wakil Jakoa, guru-guru dan ibu bapa yang hadir untuk menjayakan mesyuarat agung pada tahun ini. Semoga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan. 

Thursday, May 9, 2024

PROGRAM CIKGU CILIK 2024


Program Cikgu Cilik ini merupakan satu insiatif Unit Kurikulum untuk menjadikan murid sebagai cikgu cilik (mentor) kepada murid-murid lain (mentee). Program ini diwujudkan bertujuan untuk melahirkan murid yang berjaya dari segi akademik untuk membimbing murid-murid lain dalam mata pelajaran.

Seramai 8 orang murid yang terpilih telah dilantik sebagai mentor untuk membimbing mentee dalam mata pelajaran. Program ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) pada 6 Mei 2024 (Isnin).

Pihak sekolah berharap dengan pelancaran program ini dapat para mentor dapat membantu mentee memberi tunjuk ajar dan bimbingan dalam mata pelajaran. Selain daripada itu, mereka juga diberikan tugas untuk melaporkan murid-murid yang memerlukan bimbingan guru sama ada dalam kelas atau di luar kelas. 

Tahniah diucapakan buat cikgu cilik yang telah diberi tanggungjawab untuk melahirkan rakan-rakan yang berjaya dalam akademik. Teruskan usaha dan tenaga agar program ini dapat berjaya mencapai objektifnya.