Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label NILAM. Show all posts
Showing posts with label NILAM. Show all posts

Friday, April 26, 2024

PELANCARAN PROGRAM NILAM 2024


Program NILAM adalah akronim bagi Nadi Ilmu Amalan Membaca yang diwujudkan supaya amalan membaca dapat dipupuk sejak dari kecil lagi. Program ini perlu sentiasa dibugarkan semula agar murid-murid sentiasa peka akan program dan amalan membaca dapat diteruskan setiap masa. Amalan membaca bukan sahaja dapat menambahkan ilmu tetapi boleh dijadikan sebagai terapi untuk menenangkan jiwa dan memberi kepuasan kepada pembaca. 

Maka, pada 26 April 2023 (Jumaat), Program NILAM telah dilancarkan semula. Majlis pelancaran semula telah disempurnakan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Program ini akan dijalankan sepanjang tahun 2024 hingga Februari 2025.

Murid perlu membaca sekurang-kurangnya 144 buat buku atau artikel untuk membolehkan mereka mendapat 1 bintang. Jumlah buku atau artikel yang telah dibaca perlu dicatatkan ke dalam buku NILAM yang ada pada setiap orang murid. Semoga dengan pelancaran semula Program NILAM ini dapat menggalakkan murid-murid SK Bukit Tampoi (A) menjadikan amalan membaca suatu rutin harian mereka. 


Tuesday, March 5, 2019

MAJLIS PELANCARAN HARI NILAM SELANGOR (HaNIS) & PROGRAM NILAM 2019


Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan satu program di bawah Pusat Sumber Sekolah (PSS) dijalankan bagi memupuk amalan membaca dari usia muda. Program NILAM telah dilancarkan pada 4 Mac 2019 (Isnin) semasa perhimpunan rasmi SK Bukit Tampoi (A).

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Pn. Siti Saadah Binti Mukrim (Guru Besar). Pada kali ini majlis perasmian dijalankan dengan gimik membuka kotak hadiah yang turut disaksikan oleh En. Azman Shah Bin Mohd. Yunus (GPK Pentadbiran).

Sejurus selepas perasmian beberapa orang murid dijemput untuk membacakan sebuah buku cerita. Semoga dengan perasmian Program NILAM pada tahun ini memberi rangsangan kepada murid untuk membaca dengan penuh minat.









Monday, January 22, 2018

MAJLIS PEMBUGARAN PROGRAM NILAM 2018


Majlis Pembugaran Program NILAM 2018 telah dirasmikan pada 22 Januari 2018 (Isnin) di tapak perhimpunan sekolah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A). Gimik perasmian pada tahun ini adalah acara memotong kek dengan logo NILAM tertera di atas kek. Majlis ini telah dianjurkan oleh Unit Pusat Sumber Sekolah dengan memberi penerangan berkaitan Program NILAM yang diberi nafas baharu.


Program NILAM yang terkini akan menggunakan sistem pemberian Mata Ganjaran yang baharu. Mata Ganjaran yang baharu ini terdiri daripada dua jenis iaitu Mata Ganjaran Bahan Buku dan Mata Ganjaran Bahan Bukan Buku. Selain daripada itu, pengiktirafan NILAM juga telah diubah kepada sistem Bintang. Selain daripada itu, murid-murid yang aktif membaca akan diiktiraf dan diberi markah Ekstra Kurikulum mengikut Bintang yang diperolehi.


Oleh yang demikian, murid-murid harus mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan markah Ekstra Kurikulum yang digunakan di dalam Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang kini dimasukkan ke dalam Penilaian Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) mulai tahun 2016.

Monday, February 20, 2017

PELANCARAN PROGRAM NILAM 2017

Program NILAM merupakan suatu program galakkan murid membaca. Program ini terbuka kepada semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Mereka cuma perlu menulis laporan bahan bacaan yang telah dibaca dan disahkan oleh guru.


Pelancaran program ini telah dibuat semasa perhimpunan rasmi pada hari ini. En. Azman Shah bin Mohd. Yunus (PK Pentadbiran) telah merasmikan pelancaran program NILAM tersebut. Dengan perasmian program tersebut, maka semua murid boleh mula membaca apa-apa bahan bacaan seperti buku cerita, majalah, jurnal, artikel dan sebagainya.


Unit Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang merupakan penyelaras program telah menyediakan hadiah yang menarik bagi menggalakkan murid untuk membaca. Hadiah akan disampaikan pada akhir tahun semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Semoga semua murid SK Bukit Tampoi (A) mengambil peluang ini untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan minat membaca murid.