Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, August 30, 2019

JADUAL PERSEKOLAHAN SEWAKTU PEPERIKSAAN UPSR 2019

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Berikut adalah jadual peperiksaan sewaktu peperiksaan UPSR 2019 bagi Tahun 4 dan Tahun 5.

Tarikh
Hari
Murid Yang Perlu Hadir
04 September 2019
Rabu
Tahun 5 sahaja
05 September 2019
Khamis
Tahun 4 sahaja
10 September 2019
Selasa
Tahun 5 sahaja
11 September 2019
Rabu
Tahun 4 sahaja

3. Murid-murid Prasekolah dan Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) direhatkan pada tarikh-tarikh tersebut.

4. Segala kerjasama dan perhatian yang diberikan amat dihargai.

Sekian, terima kasih.

Thursday, August 29, 2019

MAJLIS SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN PERDANA UPSR 2019


Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Perdana UPSR 2019 telah berlangsung pada 29 Ogos 2019 (Khamis) di Bilik Pendidikan Islam. Majlis ini telah dihadiri oleh para pentadbir, guru, murid dan ibu bapa.

Majlis ini diadakan adalah untuk memohon restu dan keberkatan daripada Allah Taala sempena peperiksaan UPSR 2019 yang akan dihadapi oleh murid-murid Tahun 6 pada minggu hadapan. Seramai 31 orang murid Tahun 6 akan memduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Sebelum solat hajat dimulakan, En. Azman Shah bin Mohd. Yunus (GPK Pentadbiran) mewakili Guru Besar telah menyampaikan amanat dan nasihat kepada murid-murid dan guru-guru yang hadir. Selepas selesai solat hajat, majlis diteruskan dengan aktiviti membaca surah Yasin yang diketuai oleh Ustaz Anwar bin Mohd. Salleh.

Sejurus selesai solat hajat dan bacaan Yasin guru-guru dijemput untuk menjamah sarapan yang disediakan oleh guru-guru sendiri. Doa kami agar dipermudahkan segala urusan peperiksaan UPSR terutama kepada murid-murid Tahun 6 SK Bukit Tampoi (A). Semoga kejayaan mengiringi kalian pada hujung tahun nanti. Selamat maju jaya kepada semua.










Thursday, August 22, 2019

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN 2019


Bulan Ogos amat sinonim dengan bulan kemerdekaan Malaysia. Justeru itu, satu majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan telah diadakan pada 22 Ogos 2019 (Khamis) di SK Bukit Tampoi (A). Penganjur bagi majlis ini ialah Panitia Sejarah.

Majlis dimulai dengan senamrobik kemerdekaan yang disertai oleh semua guru dan murid di tapak perhimpunan. Kemudian mereka menyanyikan lagu kemerdekaan bersama-sama. 

Selepas itu, satu perarakan beramai-ramai telah diadakan di luar kawasan sekolah. Perarakan dimulakan dari terowong KOA Bukit Tampoi sehingga pintu pagar sekolah. Semua murid dan guru berasa teruja kerana dapat berarak di sekitar kampung sambil menyanyikan lagu kemerdekaan.

Majlis pelancaran ini dapat dijalankan dengan lancar dan disempurnakan dengan baik. Ia dijalankan bagi memupuk semangat kebangsaan di dalam diri anak murid sekalian. Ia mengingatkan akan penderitaan dan pengorbanan perajurit-perajurit tanah air yang terkorban demi mempertahankan kemerdekaan tanah tumpah darah kita.











SUMBANGAN SUSU ANMUM UNTUK PRASEKOLAH 2019


Anmum adalah salah satu syarikat pengeluar susu tepung yang terkemuka di Malaysia. Pihak syarikat telah sudi untuk menyumbangkan susu peket kepada beberapa pihak yang memerlukan. Pihak sekolah amat bertuah kerana dipilih sebagai salah satu penerima sumbangan.

Pada 19 Ogos 2019 (Isnin), En. Azmin telah sudi menyumbangkan 2 kotak susu yang mengandungi 18 peket susu tepung Anmum kepada murid-murid Prasekolah SK Bukit Tampoi (A). Susu ini akan diberikan kepada semua murid Prasekolah pada setiap hari.

Semoga dengan pemberian susu ini akan dapat membantu murid Prasekolah untuk kekal sihat dan cergas. Terima kasih kepada Anmum dan En. Azmin di atas pemberian tersebut.



MAJLIS SUMBANGAN DAGING KORBAN 2019


Sempena Hari Raya Aidiladha, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah mengagihkan 37 bungkus daging korban kepada semua murid Orang Asli di SK Bukit Tampoi (A). Maka, satu Majlis Sumbangan Daging Korban telah diadakan di Bilik Pendidikan Islam. 

En. Luqman selaku wakil daripada IRM telah sudi mengagihkan daging-daging korban itu kepada semua murid yang hadir. Turut hadir adalah En. Azman Shah sebagai GPK Pentadbiran. Selebihnya diagihkan kepada ibu bapa yang tinggal berdekatan dengan murid-murid yang layak.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Islamic Relief Malaysia kerana sudi memilih SK Bukit Tampoi (A) sebagai penerima sumbangan daging korban pada tahun ini. Semoga semua penerima dapat merasai daging korban yang amat jarang mereka rasai. 





Friday, August 9, 2019

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KWAPM 2019


Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) diwujudkan adalah untuk memberi bantuan kepada murid Darjah 1 hingga Darjah 6 (Sekolah Rendah) dan Tingkatan 1 (Sekolah Menengah). Jumlah bantuan yang diberikan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM100 seorang.

Pada tahun ini, SK Bukit Tampoi (A) telah menerima sebanyak 97 orang murid yang layak diberikan bantuan tersebut. Mereka terdiri daripada 17 orang (Data Sekolah), 78 orang (eDamak) dan 2 orang (eKasih). Oleh yang demikian, satu majlis penyerahan bantuan KWAPM telah diadakan pada 8 Ogos 2019 (Khamis) dari pukul 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Sambutan daripada ibu bapa terhadap penyerahan bantuan ini amat menggalakkan. Walau bagaimanapun masih terdapat segelintir murid terutama bagi murid yang kerap tidak hadir ke sekolah tidak mendapat bantuan yang diberikan. Ini disebabkan oleh maklumat yang disampaikan oleh guru-guru di sekolah tidak dipanjangkan kepada mereka. 

Bantuan yang disalurkan adalah melalui pemindahan akaun bank. Justeru itu, murid yang menerima bantuan tersebut perlu membuka dan mengaktifkan akaun masing-masing sebelum bantuan ini dapat diberikan. Walau bagaimanapun, masih terdapat sebahagian kecil yang tidak dapat membuka buku akauan seperti yang diminta atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, pihak sekolah memberi kelonggaran untuk memberi bantuan tersebut dalam bentuk wang tunai kepada mereka.

Bantuan KWAPM ini diberikan dalam tempoh masa yang terhad iaitu sehingga 16 Ogos 2019 (Jumaat). Ibu bapa atau penjaga boleh mendapatkan bantuan tersebut di pejabat sekolah pada waktu pejabat. Selepas daripada itu, jika terdapat lebihan atau bantuan yang tidak dituntut pihak sekolah akan memulangkan semula bantuan tersebut kepada pihak kementerian.





Tuesday, August 6, 2019

PROGRAM SAINS BERSAMA UPM SIRI 2 TAHUN 2019


Program Sains Bersama UPM Siri 2 telah diadakan pada 1 Ogos 2019 (Khamis) di Makmal Sains, SK Bukit Tampoi (A). Ini adalah program kesinambungan kepada progran siri 1 yang telah diadakan pada bulan Mei yang lalu.

Beberapa orang pensyarah dan mahasiswa telah hadir sebagai penceramah dan fasilitator kepada murid-murid yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4 dan 5 sahaja. Mereka diajar dan diberi pendedahan tentang hasil kajian dan eksperimen yang mereka telah jalankan pada siri 1.

Selain daripada itu, UPM telah bekerjasama dengan pihak Maybank untuk menaja makanan dan hadiah kepada semua murid. Pihak sekolah turut menyediakan sijil penghargaan kepada UPM sebagai menghargai sumbangan mereka kepada sekolah.