Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Komuniti. Show all posts
Showing posts with label Komuniti. Show all posts

Monday, August 15, 2022

PROGRAM LAWATAN SEKOLAH BIMBINGAN LESSON STUDIES (WALS) 2022 - HARI KEDUA

 
Program Lawatan Sekolah Bimbingan Lesson Studies (WALS) 2022 diteruskan lagi pada 11 Ogos 2022. Pada hari kedua ini, para peserta telah diberikan penjelasan tentang Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru model yang telah diubahsuai berdasarkan imput yang diberikan semalam.

Seterusnya Dr. Arif Hidayat pula telah menjelaskan tentang apa yang perlu dilakukan oleh para peserta semasa PdP sedang berlangsung dan etika yang perlu dipatuhi oleh para peserta iaitu para peserta perlu mengubah bunyi telefon bimbit kepada mode getar, meletakkan beg di tempat yang disediakan dan tidak boleh mengganggu murid-murid menjalankan aktiviti.

Pada awal PdP, kelihatan murid-murid agak bingung kerana terdapat ramai pelawat yang ingin mellihat mereka belajar. Seketika kemudian, barulah kelihatan murid-murid melakukan aktiviti seperti di dalam kelas biasa. Semasa murid-murid menjalankan aktiviti, ketika itulah para peserta mencatat perkara yang dilakukan oleh murid-murid dan penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk menggalakkan penglibatan murid-murid supaya lebih aktif.

Setelah selesai PdP, para peserta diminta untuk berbincang dalam kumpulan mengenai kelakuan atau aktiviti yang telah murid jalankan semasa PdP sebentar tadi. Seterusnya, wakil daripada setiap kumpulan akan tampil ke hadapan untuk membentangkan hasil dapatan daripada perbincangan kumpulan tadi. Pelbagai pendapat dan idea yang dilontarkan bagi menceritakan perihal murid semasa PdP.

Pada akhir program, Dr. Arif Hidayat telah membuat rumusan yang sangat tepat dan jelas bagi menceritakan tentang perjalanan proses lesson studies yang telah berlaku pada haru ini. Penjelasan yang disampaikan oleh beliau sangat konsisten dengan apa yang telah dilakuksan oleh murid-murid sebentar tadi. 

Program WALS kali ketiga ini diakhiri dengan majlis penutupan yang telah dirasmikan oleh En. Razlee bin Muhammad (Ketua Penolong Pengarah BPG). Beliau amat berterima kasih di atas kerjasama di antara UKM dengan institusi yang terlibat dalam menjayakan program WALS pada tahun ini. Semoga program ini dapat diteruskan di semua institusi yang terlibat di tempat masing-masing.

Tuesday, December 17, 2019

HARI SUKARELAWAN MALAYSIA 2019


Hari Sukarelawan Malaysia 2019 telah disambut di SK Bukit Tampoi (A) pada 7 Disember 2019 (Sabtu). Program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melibatkan Persatuan Belia Orang Asli Sepang, sukarelawan UKM, penduduk KOA Bukit Tampoi (A) dan KOA Kolam Air Bangkong.

Program Sukarelawan ini diadakan serentak dengan majlis pelancaran program pada peringkat kebangsaan yang diadakan di Kampung Sungai Merab, Kajang. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YB Syed Sadik (Menteri Belia dan Sukan) sendiri.

Aktiviti yang dijalankan oleh para sukarelawan di SK Bukit Tampoi (A) adalah mengecat sekeliling pagar sekolah. Semua peralatan dan cat disumbangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Aktiviti tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari sahaja.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Tok-tok Batin, Persatuan Belia Orang Asli Sepang dan sukarelawan UKM yang telah memilih sekolah kami bagi menjalankan aktiviti sukarelawan ini.










Monday, November 11, 2019

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PROGRAM SOKONGAN DIDIKAN EDRA TAHUN 2019


Majlis penyerahan sumbangan Program Sokongan Didikan Edra bagi tahun 2019 telah diadakan di SK Bukit Changgang pada 11 November 2019 (Selasa). Majlis ini bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. SK Bukit Changgang telah dipilih sebagai penganjur kepada majlis ini pada tahun ini.

Tetamu yang dijemput pada majlis tersebut adalah Pengurus Kuala Langat Power Plant Sdn. Bhd., Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, pegawai PPD Kuala Langat dan pegawai PPD Sepang. Turut hadir adalah Guru Besar-Guru Besar sekolah yang terlibat.

Terdapat 5 buah sekolah dari daerah Kuala Langat dan 1 buah sekolah dari daerah Sepang telah dipilih oleh Edra Power Holding Sdn. Bhd. Sekolah-sekolah dari daerah Kuala Langat adalah SK Bukit Changgang, SK Rancangan Tanah Belia, SK Labohan Dagang, SK Bukit Tadom (A) dan SK Olak Lempit. Manakala sekolah dari daerah Sepang adalah SK Bukit Tampoi (A).

Setiap sekolah telah menghantar 1 orang guru dan 4 orang murid Tahun 5 untuk menerima sumbangan pada majlis tersebut. Sumbangan yang diterima adalah cek di antara RM3000 hingga RM5000 bergantung kepada sekolah. Selain daripada itu, setiap murid Tahun 5 akan menerima sumbangan beg sekolah dan baucer kasut Bata.

Sebagai tuan rumah, SK Bukit Changgang menerima tambahan RM5000 berupa barangan pengajaran dan pembelajaran. Sekolah tersebut telah memilih untuk mendapatkan sebuah Papan Pintar (Smart Board) yang diletakkan di Makmal Komputer sekolah. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu pihak sekolah merancang dan menjalankan program-program sekolah yang amat memerlukan dana sumbangan dari pihak luar.








EMPATHISING EVENT 2019


Empathising Event merupakan program yang dianjurkan oleh Kelab Ariston, Universiti Heriot Watt bagi mengukuhkan pembelajaran murid di dalam bilik darjah. Program ini dijalankan pada 8 November 2019 (Jumaat) dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Program ini telah melibatkan murid-murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Walau bagaimanapun, kehadiran murid tidak memuaskan kerana hujan pada awal pagi yang menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah.

Walaupun begitu, program ini tetap terus dijalankan seperti yang dirancang. Aktiviti yang dijalankan berjaya menarik minat murid-murid untuk terus hadir ke sekolah serta melibatkan diri untuk turut serta di dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan.

Terima kasih kepada Kelab Ariston yang sudi bekerjasama dengan SK Bukit Tampoi (A) untuk memberikan pendidikan di luar bilik darjah bagi memberi dimensi baharu dalam skop pembelajaran masa kini. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan aktiviti yang lebih menarik lagi.