Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Jaringan & Jalinan. Show all posts
Showing posts with label Jaringan & Jalinan. Show all posts

Monday, August 19, 2024

HASIL TUAIAN PERTAMA SISTEM ORGANOPONIK 2024

Tanaman Sistem Organoponik atau lebih dikenali sebagai sistem rumah hijau adalah usaha sama di antara SK Bukit Tampoi (A) bersama MyKasih Foundation dan Urban Hijau. Projek ini telah mendapat tajaan daripada Latin Women Organisation dan Linde.

Projek yang telah dimulai pada Julai 2024 telah membuahkan hasil. Pada 16 Ogos yang lalu, murid-murid dan guru pembimbing bersama En. Irfan daripada Urban Hijau telah bersama-sama memetik hasil pertama daripada projek ini. Hasil pertama ini telah dituai, dibersihkan, ditimbang dan dibungkus oleh murid-murid sekolah ini.

Hasil yang telah siap dibungkus diagihkan kepada murid-murid yang turut serta dalam projek ini. Ini sebagai motivasi kepada mereka agar lebih gigih berusaha untuk meningkatkan produktiviti tanaman mereka. Di samping itu, ia juga memberi semangat kepada murid-murid untuk meneruskan usaha mereka menjaga dan memelihara tanaman mereka agar lebih baik dan terurus.

Terima kasih kepada MyKasih Foundation, Latin Women Organisation, Linde dan Urban Hijau kerana memberi peluang kepada murid-murid sekolah ini menimba ilmu baharu berkaitan pertanian moden agar mereka boleh gunakan untuk menjana pendapatan sendiri pada suatu hari nanti. Diharapkan projek ini dapat diteruskan sehingga murid-murid boleh melaksanakan segala aktiviti pertanian ini sendiri.



Thursday, August 15, 2024

PROGRAMME FUNGI FLOURISH 2024


"Programme Fungi Flourish" adalah program jalinan di antara Kulliyyah of Economics and Management Sciences, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan Solihin Group bersama SK Bukit Tampoi (A). Projek kerjasama ini dilaksanakan untuk menyediakan pondok cendawan tiram kelabu beserta bongkah semaian yang bertujuan untuk memupuk minat bertani dalam kalangan murid-murid sekolah rendah serta dapat meningkatkan pengetahuan dalam menguruskan kewangan.

Projek ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) dengan disaksikan oleh kakitangan Salihin Group, penuntut UIA, penuntut IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, guru-guru serta murid-murid SK Bukit Tampoi (A). Acara perasmian telah diadakan pada 15 Ogos 2024 (Khamis) di kantin sekolah.

Cik Fasalia Ernie binti Samat selaku pengarah projek serta 5 orang penuntut UIA telah bertungkus-lumus untuk menyediakan pondok, memasang jaring hitam dan menyediakan bongkah cendawan yang sudah boleh dituai. Manakala Salihin Group pula berperanan untuk memberi pendidikan berkaitan pengurusan kewangan kepada murid-murid yang terlibat.

Selain daripada itu, turut diundang adalah Cik Afiza (suku Jakun) dan En. Donny (suku Semelai) iaitu penuntut Orang Asli daripada IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis sebagai penceramah motivasi kepada murid-murid SK Bukit Tampoi (A). Mereka memberikan galakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi seperti mereka yang bakal menamatkan pengajian perguruan mereka tidak lama lagi.

Terima kasih diucapkan kepada penuntut UIA Gombak, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan dan Salihin Group kerana telah memilih SK Bukit Tampoi (A) untuk projek ini. Sumbangan kalian sangat bermakna bagi murid-murid sekolah ini kerana minat mereka terhadap pertanian amat mendalam. Semoga murid-murid sekolah ini dapat belajar menguruskan pondok cendawan ini dengan jayanya.


Ucapan Guru Besar


Ucapan Pengurus Projek
(Cik Fasalia Ernie binti Samat)


Ceramah Motivasi
(En. Donny)


Ceramah Motivasi
(Cik Afiza)


Ceramah Kewangan
(Salihin Group)

Tuesday, August 6, 2024

PROGRAM GOTONG-ROYONG LINDE DAN MYKASIH FOUNDATION 2024

Program gotong-royong syarikat Linde dan MyKasih Foundation telah diadakan pada 6 Ogos 2024 (Selasa) bertempat di SK Bukit Tampoi (A). Program ini disertai olah seramai 31 orang daripada syarikat Linde, 1 orang daripada MyKasih Foundation dan 3 orang daripada Urban Hijau.

Tujuan program ini diadakan adalah sebagai sebahagian daripada program CSR syarikat untuk memberi sumbangan kepada komuniti setempat. Aktiviti khusus yang diadakan adalah menyediakan batas pertanian melalui penyediaan medium tanaman yang bersistematik dan menanam pokok yang hasilnya boleh dimakan.

Para sukarelawan Linde telah hadir awal ke sekolah dan berkumpul di kantin sekolah. Sejurus selepas ketibaan pengurus Linde satu taklimat ringkas telah diadakan. Taklimat yang disampaikan oleh En. Irfan daripada Urban Hijau tentang proses kerja yang akan dilakukan pada hari ini.

Peringkat yang pertama, mereka perlu menyediakan batas tanaman dengan menggunakan bata-bata yang sedia ada. Kemudian mereka perlu menggemburkan tanah pada batas tersebut. Pada peringkat yang kedua, medium tanaman perlu ditaburkan secara berlapis seperti tanah, serbuk kayu, daun kering dan baja kompos.

Pada peringkat yang ketiga, mereka telah menanam anak-anak pokok pada batas tanaman yang telah disediakan sebelum itu. Akhir sekali tanaman tersebut perlu disiram akan tanah menjadi lembap dan pokok boleh terus hidup.

Terima kasih kepada syarikat Linde, MyKasih Foundation dan Urban Hijau di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program gotong-royong di sekolah ini. Murid-murid dan guru-guru akan meneruskan projek ini dengan menjaya tanaman tersebut sehingga mengeluarkan hasil. Semoga projek ini dapat memberikan manfaat kepada warga sekolah nanti.

SUMBANGAN PAKAIAN SUKAN BOLA SEPAK VIVO TAHUN 2024

Vivo Malaysia dengan kerjasama daripada MyKasih Foundation telah menyerahkan 15 set pakaian sukan bola sepak kepada 15 orang murid SK Bukit Tampoi (A). Penyerahan set pakaian tersebut telah disampaikan oleh wakil daripada Vivo Malaysia dengan disaksikan oleh wakil MyKasih Foundation.

Sumbangan tersebut adalah hasil jualan produk Vivo sempena Euro 2024. Sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada sekolah-sekolah yang terpilih sebagai penerima. Sumbangan tersebut terdiri daripada sepasang kasut bola, sepasang stokin, sin pad dan sepasang jersi bola sepak.

Terima kasih diucapkan kepada Vivo Malaysia dan MyKasih Foundation kerana memilih SK Bukit Tampoi (A) sebagai salah satu penerima sumbangan tersebut. Sumbangan ini akan kami gunakan sebaik mungkin untuk pertandingan bola sepak yang disertai. Semoga Vivo Malaysia dan MyKasih Foundation lebih gemilang pada masa akan datang.

Friday, July 5, 2024

SINCERELY, SETIA SPECIAL CELEBRATION : WORLD ENVIRONMENT DAY 2024


Sincerely, Setia Special Celebration : World Environment Day
2024 telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di Club 360, Setia Ecohill, Semenyih, Selangor yang dianjurkan oleh SP Setia Foundation. Seramai 15 orang murid dan 2 orang guru pengiring telah dijemput untuk menyertai program tersebut. Selain daripada SK Bukit Tampoi (A), terdapat juga sekolah angkat di bawah SP Setia Foundation iaitu SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih dan SJK(T) Ladang Rinching.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah disertai oleh semua murid seperti ice breaking, South Creek@Setia Ecohill dan latihan dalam kumpulan. Murid-murid sangat teruja dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh penganjur. Selain daripada itu, mereka dapat berkenalan di antara murid-murid dari sekolah-sekolah angkat SP Setia Foundation.

Terima kasih kepada SP Setia Foundation kerana sudi menjemput SK Bukit Tampoi (A) untuk menyertai program yang sangat bermakna buat anak-anak murid kami. Mereka sangat gembira kerana dapat pergi ke Club 360, Ecohill Semenyih yang sangat indah dan luar biasa. Semoga dengan penyertaan murid-murid sekolah ini dapat menimba pengalaman yang sangat bermakna dalam kehidupan mereka.

Tuesday, May 21, 2024

PROGRAM STEM BERSAMA UPM 2024

Program STEM bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diadakan pada 21 Mei 2024 (Selasa) di SK Bukit Tampoi (A). Program ini adalah kerjasama di antara Fakulti Kejuruteraan, UPM dan murid-murid Tahap 2 SK Bukit Tampoi (A). Seramai 18 orang pelajar dan 2 orang pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan UPM telah tampil untuk memberikan tunjuk ajar berkaitan STEM.


Program ini dimulai dengan sesi perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Noor Ain binti Kamsani selaku penasihat Kelab IEEESB UPM. Perkongsian beliaun adalah berkaitan kepentingan pendidikan STEM kepada manusia. Seterusnya perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Maryam binti Mohd Isa juga berkaitan kepentingan pendidikan STEM.

Seterusnya murid-murid dibahagikan kepada 2 kumpulan yang ditempatkan di tempat yang berasingan iaitu di Bilik Komputer dan Bilik Sains. Murid-murid dibimbing oleh fasilitator (pelajar UPM) tentang menggunakan aplikasi komputer dalam memberikan arahan kepada sesuatu sistem. Ini merupakan asas kepada pengaturcaraan robotik bagi murid-murid sekolah rendah.

Murid-murid sangat terhibur kerana dapat mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pembelajaran mereka. Program ini dapat meningkatkan minat murid-murid terhadap STEM yang merupakan dasar kerajaan untuk meningkatkan pembudayaan STEM dalam kalangan murid-murid sekolah.

Terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Noor Ain binti Kamsani, Prof. Madya Dr. Maryam binti Mohd Isa serta pelajar-pelajar Fakulti Kerujuteraan UPM kerana sudi menjalinkan kerjasama dengan SK Bukit Tampoi (A) dalam Program STEM pada tahun ini. Semoga perkongsian daripada kalian dapat dimanfaatkan buat guru-guru dan murid-murid di sekolah ini. Bak kata pepatah "Nak seribu daya, tak nak seribu dalih".