Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, October 31, 2023

DUTA SAHSIAH PEMANGKIN PEMBENTUKAN KARAKTER KARAMAH INSANIAH MURID SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023

Majlis Duta Sahsiah Pemangkin Karakter Karamah Insaniah SK Bukit Tampoi (A) tahun 2023 telah diadakan pada 31 Oktober 2023 (Selasa) di tapak perhimpunan SK Bukit Tampoi (A). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PSS) daripada Balai Polis Dengkil. Turut hadir adalah En. Chairi Irsyad selaku YDP PIBG SK Bukit Tampoi (A).

Pada majlis tersebut, adik Rohaizal (Tahun 5) dan adik Putri Syamimi (Tahun 4) telah dipilih oleh pihak sekolah sebagai Duta Sahsiah Sekolah. Tahniah diucapkan kepada mereka berdua. Semoga ia menjadi pemangkin kepada murid-murid lain untuk mencontohi sahsiah baik yang ditunjukkan mereka.

Terima kasih diucapkan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan YDP PIBG SK Bukit Tampoi (A) kerana sudi hadir merasmikan dan memeriahkan majlis tersebut. Diharapkan agar aktiviti seperti ini dapat mewujudkan sahsiah baik di sekolah ini.

MINGGU SOLIDARITI PALESTIN 2023


Minggu Solidariti Palestin 2023 telah diadakan pada 30 Oktober 2023 (Isnin). Majlis tersebut yang diadakan di tapak perhimpunan dimulai dengan ucapan perasmian oleh Pn. Noresah binti Sapari (GPK Pentadbiran).

Kemudian, murid dikumpulkan di bilik Sains untuk menyaksikan tayangan video dan persembahan sajak yang disampaikan oleh murid-murid sekolah. Seterusnya murid-murid masuk ke kelas masing-masing untuk aktiviti mewarna dan melukis poster.

Semoga dengan pelancaran Minggu Solidariti Palestin ini dapat memupuk nilai kasih sayang kepada semua murid tentang pentingnya menjaga keamanan negara. Selain daripada itu, murid-murid dapat menyemai sikap hormat-menghormati di antara kaum lain.

Friday, October 27, 2023

MAJLIS APRESIASI MAHRAJAN ADNI PERINGKAT PPD SEPANG TAHUN 2023

Majlis Apresiasi Mahrajan Adni merupakan majlis anugerah pencapaian murid dalam pertandingan berasaskan Pendidikan Islam yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam PPD Sepang. Majlis ini telah diadakan pada 24 Oktober 2023 bertempat di Dewan SMK Datuk Abu Bakar Baginda. Pada tahun 2023 ini, 2 orang murid SK Bukit Tampoi (A) telah berjaya mendapat tempat ketiga dan keempat bagi kategori MQSS (Murid Orang Asli). 

Tahniah diucapkan buat adik Muhammad Sazali dan adik Affendi Azrill kerana telah mengharumkan nama sekolah pada tahun ini. Semoga lebih ramai murid sekolah ini yang berjaya pada tahun hadapan.

KARNIVAL KOKURIKULUM 2023


Karnival Kokurikulum telah diadakan pada 25 Oktober 2023 (Rabu) bertempat di SK Bukit Tampoi (A). Karnival kokurikulum yang dianjurkan oleh Unit Badan Beruniform Sekolah telah disertai oleh murid-murid daripada Tahun 4, 5 dan 6. 

Dalam karnival tersebut, murid-murid diajar cara mendirikan dan mengemas khemah, latihan kawad kaki, menyediakan masakan rimba dan latihan ikatan dan simpulan. Fasilitator yang dilantik terdiri daripada guru-guru sekolah ini yang telah diberikan kursus oleh IPGM Kampus Bangi.

Sebelum bermulanya aktiviti tersebut, murid-murid diberikan taklimat ringkas oleh Penyelaras Unit Beruniform Sekolah iaitu Pn. Noraida. Kemudian, murid-murid dibahagikan kepada 5 kumpulan campuran Tahun 4, 5 dan 6. Aktiviti pertama yang dilakukan adalah aktiviti memasang dan mengemas khemah. Setiap kumpulan diberikan 2 buah khemas iglu.

Pada aktiviti kedua, murid-murid menjalani latihan kawad kaki yang dilatih oleh Pn. Nurbakyah dan Pn. Roz'ain Jannah. Mereka diajar cara berkawad asas aiaitu kawad statik (setempat). Seterusnya, mereka beralih kepada aktiviti masakan rimba. Dalam aktiviti tersebut, murid-murid diajar untuk menghidupkan unggun api. Kemudian, mereka diajar cara untuk menghasilkan roti lilit yang dibakar menggunakan unggun api tadi.

Selain daripada itu, mereka turut diajar cara memasak telur di dalam tanah. Pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh murid untuk menghidupkan api dan ada murid yang berjaya menghasilkan roti lilit mereka sendiri.

Aktiviti terakhir adalah aktiviti ikatan dan simpulan yang diajar oleh Cikgu Firdaus Ayak. Beliau telah mengajar beberapa jenis ikatan dan penggunaan ikatan tersebut. Seterusnya, murid-murid diarahkan untuk menghasilkan sebuah gajet iaitu rak pinggan.

Karnival Kokurikulum ini ditutup dengan majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). Hadiah telah diagihkan kepada semua murid yang terlibat dengan program ini. Tahniah diucapkan buat Unit Beruniform Sekolah kerana telah berjaya menganjurkan karnival ini dengan jayanya. Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang.  

Aktiviti Mendirikan Khemah

Aktiviti Kawad Kaki


Aktiviti Masakan Rimba

Aktiviti Ikatan & Simpulan

Majlis Penyampaian Hadiah

Monday, October 16, 2023

PENYAMPAIAN HADIAH BULAN SAINS DAN MATEMATIK TAHUN 2023

 

Bulan Sains dan Matematik SK Bukit Tampoi (A) telah diadakan pada bulan September yang lepas. Sepanjang bulan tersebut pelbagai aktiviti Sains dan Matematik telah dijalankan. Pada 16 Oktober 2023 (Isnin) satu majlis penyampaian hadiah telah diadakan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). 

Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan terima kasih diucapkan buat semua murid yang telah mengambil bahagian yang aktif sepanjang program ini berjalan. Semoga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan.

Friday, October 13, 2023

HARI SUKAN NEGARA 2023


Hari Sukan Negara yang dilaksanakan pada setiap minggu kedua bulan Oktober telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A) pada 13 Oktober 2023 (Jumaat). Semua murid dan guru terlibat secara langsung di dalam program tersebut.

Aktiviti yang dilaksanakan pada HSN pada tahun ini adalah aktiviti senamrobik. Tetapi pada kali ini semua murid dan guru melakukan senamrobik dengan menonton di saluran maya menggunakan televisyen pintar.

Sebelum aktiviti senamrobik, satu majlis perasmian telah diadakan yang dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). Dalam ucapan beliau mengingatkan agar semua murid dan guru sentiasa mengekalkan kesihatan fizikal dan mental agar dapat terus belajar dan bekerja dengan penuh iltizam dan dedikasi.

Di seluruh negara, HSN berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober 2023. Ini bermakna semua sekolah khususnya boleh melaksanakan program HSN ini dalam tempoh yang diberikan. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan murid dan guru kekal sihat sejahtera selalu.