Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Kokurikulum. Show all posts
Showing posts with label Kokurikulum. Show all posts

Monday, August 19, 2024

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN 2024

Bulan Kemerdekaan 2024 telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Ogos 2024 (Isnin) yang telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Turut sama pada majlis perasmian tersebut adalah GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid dan GPK Kokurikulum.

Tema Bulan Kemerdekaan pada tahun ini adalah "Malaysia MADANI Jiwa Merdeka" membawa makna yang dekat dengan hati murid-murid sekalian. Mereka perlu meningkatkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dalam kelas masing-masing.

Gimik perasmian pada tahun ini adalah mengibarkan Jalur Gemilang yang perlu dikeluarkan daripada bongkah ais. Persembahan yang sangat unik bagi murid-murid di SK Bukit Tampoi (A) ini. Pelbagai aktiviti yang dirancang diadakan di sepanjang program ini berlangsung.

Semoga murid-murid mendapat manfaat daripada program ini. Pada masa yang sama, kuiz kemerdekaan telah dijalankan selepas acara perasmian di tapak perhimpunan. Beberapa orang murid telah dipilih untuk menjawab soalan spontan tersebut. Murid yang berjaya menjawab dengan tepat telah diberikan hadiah.

Friday, July 5, 2024

KARNIVAL PENDIDIKAN MURID ORANG ASLI DAN PERIBUMI 2024


Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Negeri Selangor tahun 2024 bawah Inisiatif #57: Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di SK Bukit Lanjan, Damansara Perdana. Sebanyak 11  buah sekolah murid Orang Asli di Selangor telah menyertai karnival tersebut.

SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai beberapa acara yang dipertandingkan iaitu syair, nyanyian solo, nyanyian duet dan tarian tradisional yang melibatkan 12 orang murid. Oleh kerana tempat pertandingan berada dalam kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu-lintas. Pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk bermalam di rumah penginapan yang disewa agar para peserta tidak lewat untuk hadir ke tempat pertandingan.

Walaupun penyertaan pada tahun ini hanya saguhati, namun pencapaian pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Semoga penyertaan pada tahun hadapan lebih baik daripada tahun ini. Terima kasih kepada semua jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menyediakan segala persiapan yang diperlukan untuk ke karnival pada tahun ini. Teruskan usaha kalian agar membuahkan hasil pada tahun akan datang.

Terima kasih kepada Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di atas penganjuran karnival ini kerana memberi peluang kepada murid-murid khususnya murid Orang Asli untuk menyertai aktiviti ko-akademik seperti murid di aliran perdana. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada SK Bukit Lanjan yang menjadi tuan rumah kepada karnival pada tahun ini.

Friday, May 17, 2024

KEM BAKAT SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (KBSSMOA) TAHUN 2024

Kem Bakat Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KBSSMOA) yang dahulu dikenali sebagai Kejohanan Sukan Murid Orang Asli (KSSMOA) telah diadakan pada 14 dan 15 Mei 2024 bertempat di Bandar Baru Salak Tinggi. Kem yang dianjurkan oleh Unit Bakat dan Sukan PPD Sepang telah disertai oleh 11 buah sekolah Orang Asli daripada 4 buah daerah di negeri Selangor.

Pada tahun ini, sebanyak 4 acara berpasukan dan 6 acara olahraga telah dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, bola baling dan sepak takraw. Manakala bagi acara olahraga terdiri daripada acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, 100m, 200m, 4 x 100m dan 4 x 200m. Unit Kokurikulum telah menghantar atlet untuk menyertai hampir ke semua acara kecuali bola sepak.

Hasil daripada penyertaan tersebut, atlet kita telah berjaya membawa pulang 1 perak dan 3 gangsa iaitu pingat perak daripada acara lompat tinggi perempuan dan gangsa daripada acara bola baling lelaki dan perempuan serta sepak takraw. Pencapaian keseluruahan SK Bukit Tampoi dalam KBSSMOA pada tahun ini adalah pada tempat kelima keseluruhan.

Tahniah diucapkan kepada semua Unit Kokurikulum, guru-guru dan atlet-atlet yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat dan seterusnya menaikkan nama sekolah di peringkat negeri Selangor. Walaupun pencapaian tahun ini sedikit menurun, namun kesemua atlet kita berjaya mendapat sekurang-kurangnya sijil penyertaan yang boleh dimasukkan ke dalam sistem PAJSK sekolah.

Friday, April 26, 2024

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 telah disambut pada 26 April 2023 (Jumaat) di SK Bukit Tampoi (A). Semua guru dan murid berpakaian baju Melayu penuh warna-warni di samping pakaian raya bagi murid-murid Orang Asli yang bukan beragama Islam. Sambutan ini bertujuan untuk memeriahkan perayaan yang disambut orang Islam untuk mengenali budaya agama masing-masing.

Sambutan hari raya ini dimulai dengan pertandingan mewarna dan mereka kad raya masing-masing dilakukan oleh murid Tahap 1 dan Tahap 2. Kemudian murid-murid dihimpunkan di kantin sekolah untuk pertandingan pakaian raya tercantik yang terbuka kepada murid-murid Tahap 1. Diikuti pula dengan pertandingan nyanyian dan tarian bertemakan lagu raya yang disampaikan secara berkumpulan oleh murid-murid Tahap 2.

Di akhir sambutan, murid-murid dijamu dengan makanan yang dihidangkan sempena hari raya seperti ketupat, rendang, sate dan pelbagai kuih-muih raya. Sambutan hari raya tahun ini agak meriah dengan kehadiran tetamu undangan iaitu En. Muhammad bin Ismail dan En. Muhammad Fairuz bin Abdul Aziz mantan GPK Hal Ehwal Murid dan GPK Kokurikulum telah berpindah sekolah. Murid-murid mengambil peluang ini untuk bersalam-salaman dengan mereka kerana tidak dapat berbuat demikian sebelum ini.

Terima kasih kepada En. Muhammad dan En. Muhammad Fairuz kerana sudi hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Bukit Tampoi (A) pada tahun ini. Semoga jasa baik tuan-tuan akan sentiasa dikenal oleh guru-guru dan murid-murid sekolah ini. Sambutan hari raya tahun ini berjaya mencapai objektifnya dengan semua warga sekolah bergembira dengan suasana dan sambutan yang hebat. Semoga sambutan seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Friday, April 19, 2024

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2024


Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah telah diadakan pada 19 April 2024 (Jumaat). Kejohanan ini telah disertai oleh 70 orang murid yang terdiri daripada murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6.Para peserta telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori B10 dan B12.

Murid-murid dikumpulkan seawal pukul 8.00 pagi untuk membuat aktiviti senaman ringan melalui aktiviti senamrobik. Kemudian, murid-murid diberikan taklimat oleh En. Ismail bin Ibrahim selaku penyelaras kejohanan dan seterusnya mereka dibawa ke pintu pagar utama untuk pemulaan larian.

Pada pukul 8.20 pagi para peserta dilepaskan secara berperingkat dengan didahului dengan murid perempuan dan diikuti oleh murid lelaki. Acara pelepasan dilakukan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Jarak larian adalah sejauh 3 km melalui KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong.

Para peserta perlu melalui terowong, jalan berbukit, jalan berlopak serta melalui kebun getah dan kelapa sawit. Guru-guru pula ditugaskan untuk mengawal lalu lintas serta "check point". Setiap peserta perlu melalui semua "check point" dan mengambil penanda sebagai bukti peserta telah melalui tempat tersebut. Jumlah penanda yang perlu dikumpulkan adalah 4 unit.

Peserta pertama yang sampai ke garisan penamat adalah adalah adik Nur Farisa (Tahun 4) dengan catatan masa 28 minit. Larian telah selesai setangah jam kemudian. Seterusnya murid-murid dibenarkan untuk rehat di kantin sekolah. Majlis penutupan telah diadakan selepas waktu rehat di kantin sekolah. Penyempaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A).

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang berjaya mendapat pingat. Mereka akan mewakili sekolah untuk ke peringkat daerah yang dijangka diadakan pada 24 dan 25 Mei 2024 bertempat di Bagan Lalang, Sepang. Teruskan kecemerlangan kalian untuk mengharumkan nama sekolah pula.