Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Merentas Desa. Show all posts
Showing posts with label Merentas Desa. Show all posts

Friday, April 19, 2024

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2024


Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah telah diadakan pada 19 April 2024 (Jumaat). Kejohanan ini telah disertai oleh 70 orang murid yang terdiri daripada murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6.Para peserta telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori B10 dan B12.

Murid-murid dikumpulkan seawal pukul 8.00 pagi untuk membuat aktiviti senaman ringan melalui aktiviti senamrobik. Kemudian, murid-murid diberikan taklimat oleh En. Ismail bin Ibrahim selaku penyelaras kejohanan dan seterusnya mereka dibawa ke pintu pagar utama untuk pemulaan larian.

Pada pukul 8.20 pagi para peserta dilepaskan secara berperingkat dengan didahului dengan murid perempuan dan diikuti oleh murid lelaki. Acara pelepasan dilakukan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Jarak larian adalah sejauh 3 km melalui KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong.

Para peserta perlu melalui terowong, jalan berbukit, jalan berlopak serta melalui kebun getah dan kelapa sawit. Guru-guru pula ditugaskan untuk mengawal lalu lintas serta "check point". Setiap peserta perlu melalui semua "check point" dan mengambil penanda sebagai bukti peserta telah melalui tempat tersebut. Jumlah penanda yang perlu dikumpulkan adalah 4 unit.

Peserta pertama yang sampai ke garisan penamat adalah adalah adik Nur Farisa (Tahun 4) dengan catatan masa 28 minit. Larian telah selesai setangah jam kemudian. Seterusnya murid-murid dibenarkan untuk rehat di kantin sekolah. Majlis penutupan telah diadakan selepas waktu rehat di kantin sekolah. Penyempaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A).

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang berjaya mendapat pingat. Mereka akan mewakili sekolah untuk ke peringkat daerah yang dijangka diadakan pada 24 dan 25 Mei 2024 bertempat di Bagan Lalang, Sepang. Teruskan kecemerlangan kalian untuk mengharumkan nama sekolah pula.

Monday, June 26, 2023

KEJOHANAN MERENTAS DESA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023

Kejohanan Merentas Desa SK Bukit Tampoi (A) bagi tahun 2023 telah diadakan pada 23 Jun 2023 (Jumaat). Ini merupakan kejohanan merentas desa yang pertama selepas 2 tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik melanda negara. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kejohanan ini dapat diadakan kembali di sekolah ini.

Sehari sebelum kejohanan ini diadakan, murid-murid telah diberikan latihan mengenal laluan yang akan mereka lalui. Pada pagi sebelum larian, semua warga sekolah telah bersama-sama mengikuti aktiviti gogorama iaitu aktiviti memanaskan badan. Sejurus selepas itu, murid-murid dibawa ke garisan permulaan untuk memulakan acara. 

Acara perasmian telah dilakukan oleh En. Muhammad bin Ismail, GPK Hal Ehwal Murid. Murid-murid dilepaskan secara bergilir-gilir bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Mereka melalui laluan di KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong. Di sepanjang laluan, mereka diawasi oleh guru-guru yang diletakkan di beberapa check point yang telah ditetapkan.

Larian yang mengambil masa lebih kurang 30 minit ini menyaksikan telah berakhir dengan jayanya tanpa kemalangan. Semua murid dapat menghabiskan larian dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada Unit Kokurikulum kerana berjaya menganjurkan kejohanan merentas desa pada kali ini. Semoga kita bertemu kembali pada tahun hadapan.

Wednesday, June 29, 2022

KEJOHANAN MERENTAS DESA MSSD SEPANG TAHUN 2022

 

Kejohanan Merentas Desa MSSD Sepang telah diadakan pada 28 Jun 2022 bertempat di Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi. SK Bukit Tampoi (A) turut menghantar enam orang atlet sekolah bagi menyertai kejohanan tersebut.

Ini merupakan kejohanan pertama diadakan selepas hampir dua tahun tidak dapat diadakan. Walaupun jarak larian pada kali ini dipendekkan, namun atlet kita masih belum mampu menandingi atlet sekolah-sekolah lain.

Jadikan ini sebagai pengalaman untuk ke pertandingan pada masa akan datang. Semoga kejohanan seperti ini dapat dijalankan pada tahun akan datang demi melahirkan atlet yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

#jomsting #jomlibas


Friday, June 3, 2022

KEJOHANAN MERENTAS DESA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

 

Kejohanan Merentas Desa SK Bukit Tampoi (A) Tahun 2022 telah dijalankan pada 3 Jun 2022 (Jumaat) pada pukul 8.00 pagi. Setelah hampir 2 tahun kejohanan ini tidak dapat dilaksanakan kerana pandemik Covid-19. Murid-murid berasa amat gembira kerana akhirnya aktiviti ini dapat dilaksanakan terutamanya murid Tahun 3 yang pertama kali menyertai kejohanan ini.

Sebelum para peserta dilepaskan, mereka perlu melalui aktiviti memanaskan badan dengan menyertai senamrobik yang dipimpin oleh Pn. Hamizan. Selain murid-murid, guru-guru turut sama menyertai senamrobik ini yang bertujuan untuk mengelakkan kekejangan semasa larian.

SK Bukit Tampoi (A) berasa amat berbesar hati dan berterima kasih kepada En. Ilam bin Senin (YDP PIBG) yang sudi hadir untuk merasmikan kejohanan ini. Beliau turut melepaskan para peserta larian pada pagi tadi. Guru-guru yang ditugaskan untuk menjaga titik semak (check point) telah menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.

Walaupun jarak larian pada kali ini dikurangkan sedikit daripada sebelumnya tetapi larian kali ini sedikit mencabar kerana laluan yang dilalui sedang dinaiktaraf. Justeru itu, para peserta perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan tersebut. 

Akhirnya, para peserta berjaya menamatkan larian tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Murid-murid dikumpulkan di kantin bagi memberi peluang semua murid menghabiskan larian mereka. Di samping itu, para peserta disajikan dengan air untuk menghilangkan dahaga daripada larian yang memenatkan.

Setelah semua peserta menamatkan larian, murid-murid dikumpulkan semula di tapak perhimpunan untuk majlis penyampaian hadiah. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YDP PIBG diiringi oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Pemenang tempat pertama kategori lelaki dirangkul oleh adik Rosyam Daniel manakala kategori perempuan dimenangi oleh adik Aina.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang kategori lelaki dan perempuan. Hadiah-hadiah yang disediakan adalah bagi 10 peserta yang menamatkan larian paling awal bagi setiap kategori. Ucapan ribuan terima kasih juga turut diberikan kepada PIBG SK Bukit Tampoi (A) kerana membiayai sebahagian daripada peruntukan kejohanan ini. 

Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru dan staf yang mengambil bahagian dalam memastikan keselamatan dan kelancaran kejohanan berjalan dengan baik. Semoga atlet-atlet yang dilahirkan akan memberi sinar harapan kepada sekolah di pertandingan merentas desa peringkat daerah pula.  #jomstings #jomlibas #skbta