Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, June 3, 2022

KEJOHANAN MERENTAS DESA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

 

Kejohanan Merentas Desa SK Bukit Tampoi (A) Tahun 2022 telah dijalankan pada 3 Jun 2022 (Jumaat) pada pukul 8.00 pagi. Setelah hampir 2 tahun kejohanan ini tidak dapat dilaksanakan kerana pandemik Covid-19. Murid-murid berasa amat gembira kerana akhirnya aktiviti ini dapat dilaksanakan terutamanya murid Tahun 3 yang pertama kali menyertai kejohanan ini.

Sebelum para peserta dilepaskan, mereka perlu melalui aktiviti memanaskan badan dengan menyertai senamrobik yang dipimpin oleh Pn. Hamizan. Selain murid-murid, guru-guru turut sama menyertai senamrobik ini yang bertujuan untuk mengelakkan kekejangan semasa larian.

SK Bukit Tampoi (A) berasa amat berbesar hati dan berterima kasih kepada En. Ilam bin Senin (YDP PIBG) yang sudi hadir untuk merasmikan kejohanan ini. Beliau turut melepaskan para peserta larian pada pagi tadi. Guru-guru yang ditugaskan untuk menjaga titik semak (check point) telah menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.

Walaupun jarak larian pada kali ini dikurangkan sedikit daripada sebelumnya tetapi larian kali ini sedikit mencabar kerana laluan yang dilalui sedang dinaiktaraf. Justeru itu, para peserta perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan tersebut. 

Akhirnya, para peserta berjaya menamatkan larian tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Murid-murid dikumpulkan di kantin bagi memberi peluang semua murid menghabiskan larian mereka. Di samping itu, para peserta disajikan dengan air untuk menghilangkan dahaga daripada larian yang memenatkan.

Setelah semua peserta menamatkan larian, murid-murid dikumpulkan semula di tapak perhimpunan untuk majlis penyampaian hadiah. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YDP PIBG diiringi oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Pemenang tempat pertama kategori lelaki dirangkul oleh adik Rosyam Daniel manakala kategori perempuan dimenangi oleh adik Aina.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang kategori lelaki dan perempuan. Hadiah-hadiah yang disediakan adalah bagi 10 peserta yang menamatkan larian paling awal bagi setiap kategori. Ucapan ribuan terima kasih juga turut diberikan kepada PIBG SK Bukit Tampoi (A) kerana membiayai sebahagian daripada peruntukan kejohanan ini. 

Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru dan staf yang mengambil bahagian dalam memastikan keselamatan dan kelancaran kejohanan berjalan dengan baik. Semoga atlet-atlet yang dilahirkan akan memberi sinar harapan kepada sekolah di pertandingan merentas desa peringkat daerah pula.  #jomstings #jomlibas #skbta


No comments:

Post a Comment