Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, June 19, 2022

MESYUARAT AGUNG PIBG SK BUKIT TAMPOI (A) 2022


Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-29 bagi tahun 2022 telah diadakan pada 18 Jun 2022 (Sabtu) bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Ini merupakan mesyuarat kali pertama diadakan secara bersemuka di kantin sekolah setelah hampir dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19.

Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh En. Ahmad Azri bin Zainal Nor (Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI). Selain dijemput sebagai perasmi mesyuarat agung, beliau juga turut merasmikan gelanggang sepak takraw baharu yang ditaja oleh MBI. Pada majlis ini juga, beliau turut menghulurkan sumbangan khas kepada PIBG SK Bukit Tampoi (A) sebanyak lima ribu ringgit untuk membantu pihak sekolah.

Kehadiran ibu bapa dan penjaga pada mesyuarat kali ini sangat menggalakkan. Turut hadir memeriahkan majlis adalah En. Muhammad Razaki (Pegawai Jakoa Sepang), Tok Batin dari KOA Kolam Air Bangkong dan KOA Bukit Baja serta Pengerusi Jawatankuasa KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong. 

Mesyuarat agung tahun ini berjalan lancar dengan ahli mesyuarat memberikan pandangan dan pendapat untuk membangunkan sekolah ini. Pada akhir mesyuarat, para hadirin berpeluang untuk mendapatkan cabutan bertuah yang disediakan khususnya kepada ibu bapa yang hadir.

Semoga dengan terlaksananya mesyuarat agung ini dapat membantu pihak sekolah menyelesaikan beberapa masalah yang timbul dengan kerjasama semua pihak. Kerjasama ini amat penting bagi menjamin proses pengajaran dan pembelajaran murid dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada para jemputan, guru-guru dan ibu bapa kerana sudi datang pada mesyuarat agung tahun ini demi menjadikan sekolah ini sekolah yang gemilang dan murid yang terbilang. Sampai kita berjumpa lagi pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment