Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, March 13, 2017

PERTANDINGAN PROGRAM SEPANG GOT TALENT 2017


Pertandingan Sepang Got Talent merupakan sebahagian Program Germs daerah Sepang yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negeri Selangor. Pertandingan tersebut telah diadakan di Tapak Pasar Pekan Salak, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. 


Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti pertandingan choral speaking, poetry, syair dan bercerita. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seorang peserta untuk bertanding di dalam pertandingan bercerita yang dibuka kepada murid sekolah rendah.


Wakil sekolah, iaitu adik Sarah Amanda binti Nah telah berjaya mendapat tempat ke-4 daripada 10 peserta yang menyertai. Tahniah diucapkan kepada beliau kerana telah mengharumkan nama sekolah di dalam pertandingan tersebut. 


KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG MSSD SEPANG 2017


Kejohanan Balapan & Padang MSSD Sepang telah berlangsung di SM Seri Puteri, Cyberjaya. Kejohanan tersebut telah diadakan dari 7 hingga 10 Mac 2017. SK Bukit Tampoi (A) telah mengambil bahagian di dalam kejohanan tersebut.


Seramai 10 orang atlet yang terdiri daripada 5 atlet lelaki dan 5 atlet perempuan bersama 2 orang guru pengiring. Mereka telah mengambil bahagian di dalam acara 200 meter (L/P), Lompat Jauh (L/P), Lompat Tinggi (L/P) dan Lontar Peluru (L/P). Pencapaian terbaik pasukan sekolah adalah tempat keempat di dalam acara lontar peluru perempuan.


Walaupun pasukan sekolah tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat, namun mereka membawa pulang pengalaman dan kenangan berada di dalam kejohanan yang besar seperti itu. Usaha mereka harus dipuji kerana bersungguh-sungguh untuk mencuba nasib bersaing dalam kalangan atlet-atlet sekolah kebangsaan yang hebat.

Thursday, March 9, 2017

PROGRAM INTERVENSI LINUS : MAJLIS PENUTUP PROGRAM KHIDMAT BANTU LINUS 2.0 TAHUN 2017


Program Khidmat Bantu Linus 2.0 merupakan suatu program yang dilaksanakan oleh Unit Linus dengan kerjasama Young Humanitarian Society dari Pusat Asasi UiTM, Dengkil untuk mencapai Linus Sifar menjelang akhir tahun ini. Program ini telah berlangsung seawal bulan Januari hingga Mac 2017. Sepanjang tempoh itu, para pelajar dari pelbagai fakulti di UiTM datang ke SK Bukit Tampoi (A) untuk memberi bimbingan murid-murid Linus membaca dan mengira berdasarkan modul Linus yang dibekalkan.


Seramai 18 orang murid Linus yang terdiri daripada murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 terlibat dalam program tersebut. Manakala fasilitator yang terdiri daripada para pelajar UiTM adalah seramai 35 orang. Mereka datang silih berganti mengikut kumpulan yang telah ditentukan oleh pensyarah penasihat.


Pada majlis penutup ini, pensyarah penasihat, fasilitator pelajar UiTM, para pentadbir, penyelaras Linus, guru pemulihan dan murid Linus telah terlibat di dalam majlis tersebut. Majlis dimulai dengan ucapan aluan daripada GPK Pentadbiran mewakili Guru Besar yang menghadiri mesyuarat di Jabatan Pendidikan Selangor. Kemudian diikuti oleh ucapan pensyarah penasihat dan diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Ketua Jabatan TESL, Pusat Asasi UiTM.


Sebelum acara seterusnya adalah acara penyampaian sijil penghargaan kepada semua fasilitator yang terlibat diikuti oleh penyampaian cenderamata daripada SK Bukit Tampoi (A) kepada Pusat Asasi UiTM. Majlis diakhiri dengan acara bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan.


Terima kasih diucapkan kepada pihak Pusat Asasi UiTM, Dengkil kerana telah sudi mencurahkan bakti bagi menjayakan program kerjasama ini. Program ini berjaya menarik minat murid untuk belajar seterusnya hadir dengan bersemangat setiap kali aktiviti ini diaddakan. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang agar dapat membantu murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran untuk mencapai sasaran Linus Sifar.

Thursday, March 2, 2017

PERMOHONAN KEMASUKAN MURID KE TAHUN 1 KPM AMBILAN 2018/2019

Permohonan ke Tahun 1 bagi ambilan 2018 dan 2019 di sekolah-sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dibuka pada 1 Mac 2017 hingga 30 April 2017. Permohonan dalam talian ini dibuka kepada seluruh negeri Semenanjung Malaysia. Permohonan bagi negeri-negeri di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah secara manual. Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang https://public.moe.gov.my/.


Syarat Kelayakan
  1. Kanak-kanak warganegara Malaysia sahaja.
  2. Lahir pada 2 Januari 2011 sehingga 1 Januari 2012 (Sesi persekolahan tahun 2018)
  3. Lahir pada 2 Januari 2012 sehingga 1 Januari 2013 (Sesi persekolahan tahun 2019)

Tindakan Selepas Mendaftar Secara Dalam Talian (Online)
  1. Mencetak bukti permohonan.
  2. Membuat pengesahan di pejabat sekolah yang dimohon.
  3. Pengesahan perlu dibuat dalam tempoh 1 Mac 2017 hingga 30 April 2017.