Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, May 26, 2019

SENTUHAN KASIH YAYASAN PETRONAS & ISLAMIC RELIEF MALAYSIA 2019


Sentuhan Kasih Yayasan Petronas dan Islamic Relief Malaysia (IRM) 2019 telah diadakan pada 25 Mei 2019 (Sabtu) di Balai Raya KOA Kolam Air Bangkong. Program ini dianjurkan oleh IRM melibatkan 75 buah keluarga dan 25 orang murid SK Bukit Tampoi (A).

Semua murid yang terlibat di dalam program ini telah dibawa membeli pakaian hari raya di AEON Mall Nilai dengan diiringi oleh beberapa orang sukarelawan. Aktiviti ini dijalankan dari pukul 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Kemudian, mereka dibawa ke balai raya untuk majlis penyampaian sumbangan pek Ramadan dan duit raya. Sebelum majlis tersebut bermula para ibu bapa dijemput memilih dan mengambil pakaian bundle yang disediakan di balai raya.

Pada akhir program tersebut, satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan di hadapan balai raya di khemah yang telah disediakan. Menurut pegawai yang menyampaikan ucapan, program ini adalah salah satu program khidmat masyarakat korporat (CSR) untuk membantu golongan miskin, yatim, kurang bernasib baik dan Orang Asli.

Semoga dengan adanya program seperti ini dapat membantu sedikit sebanyak beban keluarga bagi mengharungi bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri yang hampir menjelang tiba. Di dalam bulan yang mulia ini akan memberi keberkatan kepada sesiapa yang bermurah hati.















CUTI SEKOLAH (PENGGAL 1) & CUTI HARI RAYA AIDILFITRI 2019

Sukacita dimaklumkan bahawa sekolah akan mula bercuti pada 25 Mei 2019 (Sabtu) sehingga 10  Jun 2019 (Isnin) sempena Cuti Persekolahan (Penggal 1) dan Cuti Hari Raya Aidilfitri.

Sekolah akan dibuka semula pada 11 Jun 2019 (Selasa). Diharapkan ibu bapa dan penjaga dapat memastikan kehadiran anak masing-masing ke sekolah pada hari tersebut.

MAJLIS SUMBANGAN DUIT RAYA 2019


Pada 24 Mei 2019 (Jumaat) adalah hari terakhir penggal pertama persekolahan. Maka satu Majlis Sumbangan Duit Raya telah diadakan di kantin sekolah. Murid-murid dikumpulkan di sana selepas waktu rehat. 

Majlis ini diadakan saban tahun sebelum cuti hari raya bagi memberi kesempatan kepada guru-guru dan murid-murid meluahkan apa yang terbuku di hati untuk memohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu.

Murid-murid juga diingatkan akan penjagaan keselamatan semasa cuti perayaan di samping berkunjung-kunjungan di antara saudara-mara dan rakan taulan bagi mengeratkan ikatan siratulrahin di antara satu sama lain.

Pada akhir majlis, murid-murid beratur bersalaman dengan semua guru SK Bukit Tampoi (A) di mana guru-guru akan menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua murid sekolah. Sumbangan duit raya adalah sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat korporat serta pengusaha kantin sekolah.








Saturday, May 25, 2019

MAJLIS KHATAM AL-QURAN 2019


Bulan Ramadan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam. Pada bulan ini umat Islam disunatkan membaca Al-Quran pada setiap waktu kerana pahalanya berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

SK Bukit Tampoi (A) juga tidak ketinggalan di mana semua guru akan mengambil giliran untuk membaca Al-Quran setiap hari pada waktu rehat bersama murid-murid Islam di Bilik Pendidikan Islam dan kemuncaknya adalah dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan pada 24 Mei 2019 (Jumaat) di Bilik Pendidikan Islam yang telah dihadiri oleh para pentadbir, guru-guru dan murid-murid yang beragama Islam. Mereka telah bersama-sama memperdengarkan bacaan masing-masing secara bergilir-gilir daripada Surah Ad-Dhuha sehingga Surah Al-Fatihah.

Sejurus selepas khatam bacaan Al-Quran, para hadiran diberikan secucuk bunga telur yang disampaikan oleh Guru Besar. Bunga telur ini telah disediakan oleh Panitia Pendidikan Islam. Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam, para pentadbir, guru-guru dan murid-murid kerana telah berjaya melaksanakan majlis ini dengan jayanya.









MAJLIS SUMBANGAN PEK RAMADAN DAN MAJLIS IFTAR 2019


Sempena bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini, Unit Kebajikan dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam, SK Bukit Tampoi (A) telah mengadakan satu majlis sumbangan pek Ramadan dan Majlis Iftar bagi meraikan murid-murid Orang Asli yang beragama Islam yang seramai 46 orang.

Majlis sumbangan pek Ramadan dan Majlis Iftar telah dirasmikan oleh En. Mohamad Hanapiah bin Abu Bakar daripada Humanitarian Malaysia (MyCare) Cawangan Putrajaya. Turut hadir adalah wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, Pn. Hapiza binti Jusoh (Srikandi Bersatu Sepang), Cik Mazuin (Barokah Jumaat), guru-guru, para ibu bapa dan murid-murid yang diraikan.

Pada tahun ini, pihak sekolah mendapat tajaan daripada Humanitarian Malaysia (MyCare), NGO Srikandi Bersatu Malaysia (SBM), EPCM Meinhardt Sdn. Bhd., Barokah Jumaat, Ahli Parlimen Sepang, En. Mohamad Hanapiah bin Abu Bakar dan En. Mawardi bin Abu Bakar. Sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk bekalan makanan harian, duit raya dan tajaan majlis berbuka puasa.

Jasa dan sumbangan yang tuan-tuan berikan untuk menjayakan majlis ini amat dihargai. Oleh yang demikian, pihak sekolah SK Bukit Tampoi (A) telah menyampaikan sijil penghargaan kepada para penyumbang sebagai ucapan terima kasih di atas sumbangan ikhlas yang telah diberikan. Rezeki itu datangnya daripada Allah, maka Allah sahaja yang layak membalasnya.

Semoga dengan kerjasama ini dapat diteruskan untuk program dan majlis sekolah yang akan datang kerana pihak sekolah amat mengalu-alukan kerjasama daripada organisasi luar bagi membantu sekolah Orang Asli yang kecil bilangan muridnya tetapi memerlukan dana yang banyak untuk menjalankan sesuatu aktiviti sekolah.

Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tampoi (A) yang telah bertungkus-lumus membantu pihak sekolah melancarkan majlis tersebut. Mereka adalah ahli komuniti yang amat komited dalam menjayakan segala aktiviti sekolah ini. 

Selain daripada itu, pihak sekolah turut berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Sepang, para penaja, ibu bapa, guru-guru dan murid-murid yang sudi hadir bagi menjayakan dan memberi sokongan padu kepada pihak sekolah demi untuk membantu anak-anak Orang Asli di sini.


Kehadiran Tetamu Jemputan


Kehadiran Ibu Bapa dan Murid-murid


Pembaca Doa


Ucapan Guru Besar


Ucapan Perasmian


Sumbangan Duit Raya




Sumbangan Pek Ramadan



Pemberian Sijil Penghargaan




Pemberian Pek Ramadan