Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, April 29, 2022

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & PENUTUPAN PROGRAM IHYA RAMADAN TAHUN 2022

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurniaNya, kita sudah sampai ke penghujung bulan Ramadan. Program Ihya Ramadan telah berlangsung selama hampir sebulan telah ditamatkan pada hari ini. Aktiviti terakhir yang diadakan adalah Majlis Khatam Al-Quran yang disertai oleh semua murid beragama Islam dan para pentadbir serta guru Pendidikan Islam dan beberapa orang guru lain. 

Aktiviti di dalam majlis tersebut dimulai dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan doa khatam al-quran. Seterusnya, acara diteruskan dengan bacaan tazkirah oleh adik Razali (Tahun 5). Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutupan Program Ihya Ramadan yang dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A).

Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah bagi aktiviti dan pertandingan yang diadakan sepanjang program ini dijalankan. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar SKBTA dengan diiringi oleh GPK Pentadbiran. Dengan ini, selesailah sudah Program Ihya Ramadan bagi tahun 2022. Semoga segala aktiviti di dalam program ini dapat memberikan impak yang positif kepada semua murid yang beragama Islam di sekolah ini.

Thursday, April 28, 2022

SUMBANGAN RAMADAN TAHUN 2022

Sumbangan Ramadan merupakan sebahagian daripada Program Ihya Ramadan yang telah dilancarkan sejak awal Ramadan lagi. En. Mohd Fadzli bin Mansor selaku Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) telah berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan tersebut.

Seramai 33 orang murid Orang Asli yang beragama Islam telah menerima sumbangan tersebut. Sumbangan berupa beras, bihun, kicap, susu, gula, minyak masak dan beberapa barangan keperluan harian telah berjaya dikumpul.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang sudi menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Orang Asli di sekolah ini. Semoga sumbangan yang diberikan akan menambah rezeki kalian.

Friday, April 15, 2022

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 SESI 2022


Program Transisi Tahun 1 adalah program yang wajib diikuti oleh murid-murid Tahun 1 yang baharu memulakan sesi persekolahan di arus perdana. Pada tahun 2022 ini seramai 13 orang murid yang telah mendaftar masuk. 

Program ini telah bermula dari 21 Mac 2022 hingga 15 April 2022 iaitu selama 4 minggu. Dalam program ini, murid-murid diberi penerangan tentang maklumat sekolah seperti nama sekolah, bilik darjah, bilik-bilik khas, guru-guru dan rakan-rakan murid yang lain. Murid-murid juga dibiasakan dengan aktiviti sekolah seperti waktu rehat dan waktu pulang dengan mengikut peraturan sekolah.

Murid-murid juga diajar menyanyikan lagu Negaraku, negeri Selangor dan lagu sekolah sebagai persediaan apabila perhimpunan rasmi dibenarkan kelak. Majlis penutupan telah diadakan pada hari terakhir program iaitu pada 15 April 2022 (Jumaat). Turut hadir pada majlis tersebut adalah Guru Besar, GPK Pentadbiran dan GPK Kokurikulum.

Tahniah diucapkan kepada semua murid Tahun 1 Melur yang telah mendaftar masuk ke SK Bukit Tampoi (A) pada tahun ini. Teruskan kecemerlangan kalian dengan mengharumkan nama sekolah. Sekalung terima kasih dan syabas diucapkan kepada jawatankuasa yang terlibat secara langsung dalam menjayakan Program Taransisi Tahun 1 pada kali ini.

PROGRAM IMUNISASI TAHUN 1 SESI 2022

Program Imunisasi Tahun 1 adalah program wajib untuk Tahun 1 di bawah Dasar Program Imunisasi Negara. Program ini telah diadakan pada 15 April 2022 (Jumaat) di SK Bukit Tampoi (A). Program yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang mellibatkan seramai 13 orang murid Tahun 1 Melur.

CUTI PERISTIWA SEMPENA NUZUL AL-QURAN TAHUN 2022

 

Wednesday, April 13, 2022

SUMBANGAN BUKU TULIS 2022

Sumbangan buku tulis telah diberikan kepada 30 orang orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Barangan tersebut telah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) pada 13 April 2022 (Rabu) di sekolah.

Pihak sekolah dengan kerjasama Barokah Jumaat iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan kepada semua murid berkenaan. Murid-murid ini dipilih setelah pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah selesai.

Hasil pemantauan daripada guru kelas dan guru mata pelajaran yang mendapati murid-murid ini masih tidak mempunyai buku tulis walaupun setelah mendapat BAP. Justeru itu, pihak sekolah dengan kerjasama Barokah Jumaat telah memberikan buku latihan secara percuma kepada murid-murid berkenaan.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Barokah Jumaat kerana sudi menjadi penaja kepada aktiviti ini. Jasa tuan hanya Ilahi sahaja yang mampu membalasnya. Semoga terus istiqamah membantu SK Bukit Tampoi (A) dalam membangunkan modal insan dalam murid Orang Asli di sini. 

PROGRAM KASIH RAMADAN TAHUN 2022


Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana dengan limpah kurnianya SK Bukit Tampoi (A) berjaya menyerahkan barangan keperluan harian sempena bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia pada 13 April 2022 (Rabu). Seramai 31 buah keluarga yang beragama Islam yang terdiri daripada murid-murid Prasekolah sehingga Tahun 6.

Sumbangan telah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir secara pandu lalu di sekolah. Barangan keperluan seperti beras, gula, kopi, kicap dan beberapa barangan lain turut diberikan.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pertubuhan Sama Cakna, CO-OP Bank Putrajaya, En. Zamri, Pn. Siti Zaharah dan Pn. Aida Rahayu kerana sudi menaja barangan keperluan kepada para penerima. Kami doakan agar kalian dimurahkan rezeki pada masa akan datang.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat korporat, bank-bank dan individu yang dermawan untuk menyumbang kepada SK Bukit Tampoi (A) pada masa akan datang. Sumbangan anda semua amat diperlukan untuk membantu anak-anak murid sekolah ini merasai nikmat seperti murid-murid di sekolah lain. 

Sumbangan boleh disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Tampoi (A) melalui akaun 8003423591 (CIMB). Sumbangan anda sangat kami hargai.

Monday, April 11, 2022

PERHIMPUNAN MINI SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

 




Perhimpunan rasmi pada setiap hari Isnin secara berkumpul di tapak perhimpunan masih belum dibenarkan lagi. Justeru itu, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk mengadakan perhimpunan mini di dalam kelas sahaja.

Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid terutamanya Tahun 1 yang baharu masuk ke sekolah pada tahun ini. Ia juga memberi pendedahan kepada semua murid untuk menyanyikan lagu Negaraku, negeri Selangor dan lagu sekolah.

Setelah nyanyian 3 buah lagu tersebut, wakil murid daripada Tahap 2 untuk membacakan teks berkaitan Program 5 Minit Antidadah dan murid Tahap 1 akan menjalankan Program Bijak Suku Kata. Aktiviti ini akan diteruskan sehingga perhimpunan rasmi dibenarkan kembali.

PROGRAM 5 MINIT ANTIDADAH TAHUN 2022

Program 5 Minit Antidadah merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SK Bukit Tampoi (A) bagi memberi pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Setiap pagi Isnin murid-murid dipilih secara rawak untuk membacakan teks tentang bahan-bahan penyalahgunaan dadah.

Program ini dijalankan di dalam kelas kerana pihak sekolah masih belum dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan rasmi mingguan. Walau bagaimanapun program ini tetap perlu dilaksanakan. Semoga program ini dapat memberi input dan impak kepada murid-murid sekolah tentang penyalahgunaan dadah.