Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, November 21, 2019

MAJLIS APRESIASI 2019


Majlis Apresiasi adalah majlis yang diadakan bagi menghargai dan meraikan kejayaan murid-murid yang cemerlang di dalam bidang akademik. Semua murid yang diraikan kejayaan termasuklah murid-murid prasekolah yang akan menamatkan sesi persekolahan pada tahun ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Mohd. Rosli bin Badri (Pegawai Kanan Unit Sekolah Rendah) dari Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil daripada Pejabat Wakil Rakyat Parlimen Sepang, Pegawai Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Tok-Tok Batin (Kampung Orang Asli), YDP dan AJK PIBG.

Aturcara pertama pada majlis tersebut adalah ucapan daripada Guru Besar, YDP PIBG dan seterusnya ucapan perasmian oleh Pegawai Kanan PPD Sepang. Seterusnya adalah acara penyampaian hadiah kepada murid-murid prasekolah.

Majlis berehat seketika bagi memberi peluang untuk para tetamu dan hadirin menjamah jamuan yang disediakan. Sejurus selepas itu, majlis disambung kembali dengan acara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang cemerlang bagi mata pelajaran masing-masing. Hadiah telah disampaikan oleh En. Farid Anwar bin Shaari (GPK Kokurikulum) dan Batin Changkek Anak Dabal (Tok Batin KOA Bukit Tampoi).

Kemudian penyampaian hadiah disambung semula oleh Pegawai Kanan PPD Sepang bagi penerima-penerima kehadiran penuh dan terbaik bagi kelas masing-masing. Di akhir majlis, penyampaian cenderamata kepada murid-murid Tahun 6.

Pihak sekolah merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PPD Sepang, Pejabat Ahli Parlimen Sepang, Pejabat JAKOA Sepang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Tampoi (A) di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan majlis tersebut pada tahun ini. Jasa baik tuan-tuan amat kami hargai dengan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

















  

HI-TEA AKHIR TAHUN 2019


Sesi persekolahan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan telah menganjurkan satu Majlis Hi-Tea untuk meraikan dan mengenang jasa guru-guru dan kakitangan yang telah bertungkus-lumus sepanjang tahun 2019 ini.

Majlis tahun ini telah diadakan di Hype Hotel yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan yang dihadiri oleh semua guru dan kakitangan. Majlis diadakan pada 20 November 2019 (Rabu) dari pukul 2.30 petang hingga 5.00 petang. Ia telah dirasmikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar).

Selepas selesai jamuan, acara penyampaian hadiah telah yang dipengerusikan oleh En. Mohd. Fadzli bin Mansor. Acara penyampaian hadiah ini adalah untuk menghargai usaha dan kerja buat guru-guru bagi menjayakan program dan aktiviti di dalam Unit HEM.

Selain daripada jamuan hi-tea, majlis ini juga diadakan sebagai majlis perpisahan buat Pn. Nicollete Anak Gabriel Puem yang akan berpindah ke negeri Sarawak pada tahun hadapan. Pihak sekolah berasa amat sedih di atas kehilangan seorang guru senior yang banyak pengalaman. Justerut itu, Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan telah menyedia dan menyerahkan hadiah cenderamata kepada beliau sebagai kenangan dari SK Bukit Tampoi (A).

Semoga Cikgu Nicollete berbahagia dan ceria bertugas di negeri kelahiran sendiri untuk menyemai bakti kepada anak bangsa sendiri. Di akhir majlis, beliau telah menyampaikan cenderamata buat semua guru dan kakitangan yang hadir sebagai tanda kenangan dan terima kasih daripada beliau.














Thursday, November 14, 2019

HARI KANAK-KANAK & PROGRAM SLAMAT AIK JADIK 2019


Sambutan Hari Kanak-kanak dan Program Slamat Aik Jadik SK Bukit Tampoi (A) telah berjalankan pada 13 November 2019 (Rabu) di Kantin Sekolah. Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan semasa sambutan tersebut. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti pertandingan mewarna, pakaian beragam dan pertandingan karaoke.

Selain daripada sambutan Hari Kanak-kanak, diadakan juga Program Slamat Aik Jadik di mana murid-murid yang menyambut hari lahir dari bulan Jun hingga Disember diraikan dengan acara memotong kek.

Di akhir sambutan diadakan pula majlis penyampaian hadiah. Majlis penyampaian hadiah adalah untuk menghargai kehadiran terbaik setiap kelas, pengawas sekolah dan Tokoh Kanak-kanak. Turut menerima hadiah adalah pencapaian murid-murid dalam bidang kokurikulum meliputi kelab dan persatuan, badan beruniform serta sukan dan permainan. 

Selain daripada itu, Unit Kokurikulum juga turut memberi hadiah saguhati kepada pemain-pemain sepak takraw yang telah berjaya memenangi pingat perak pada Kejohanan Sukan Sekolah Orang Asli (KSSMOA) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Gambang, Kuantan.