Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, September 25, 2022

WALS SCHOOL VISIT TO SK BUKIT TAMPOI (A) YEAR 2022

 
World Association of Lessson Study (WALS) telah datang ke SK Bukit Tampoi (A) pada 23 September 2022 (Jumaat). WALS merupakan sebuah komuniti yang dianggotai oleh pensyarah, pengkaji, guru dan individu yang ada kaitan dengan dunia pendidikan serta individu yang berminat dengan lesson study.

Pada tahun 2022 ini, Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beberapa buah institusi pendidikan sekitar Lembah Kelang telah dipilih seperti Tadika Tunas UKM, SK Presint 5(1), SMK Dato Shahardin, Kolej Matrikulasi, SK Bukit Tampoi (A), SM Pendidikan Khas dan Genius Pintar.

Seramai 29 orang peserta telah hadir ke SK Bukit Tampoi (A) yang terdiri daripada peserta dari negara Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun, Indonesia dan Malaysia. Mereka hadir untuk melihat dan mengkaji pembelajaran murid di pelbagai jenis sekolah yang telah dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Kehadiran para peserta telah dialu-alukan dengan Tarian Sewang yang dipersembahkan oleh Tampoi Angles diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Kemudian pegawai SISC+ telah memberikan taklimat berkaitan tentatif program lawatan tersebut. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang melihat pembelajaran murid kelas Bahasa Inggeris dan Matematik.

Selepas melihat pembelajaran murid, mereka telah mengadakan sesi refleksi tentang pembelajaran murid tersebut. Setelah selesai sesi refleksi, para peserta dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari. Para peserta khususnya daripada luar negara amat teruja untuk mencuba makanan tempatan.

Sebagai tuan rumah, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada UKM, JPN, PPD, Pegawai SISC+, Guru Model dan guru-guru yang telah menjayakan lawatan WALS ini. Kami amat berbangga kerana telah dipilih sebagai sekolah yang dilawati. WALS ini adalah program status antarabangsa. Semoga program ini dapat diteruskan buat sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan mutu pembelajaran murid di sekolah.

Thursday, September 22, 2022

SUMBANGAN SMART TV SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022


Sumbangan Smart TV SK Bukit Tampoi (A) telah diterima daripada Maybank Banting di bawah Program Sekolah Digital. Program Sekolah Digital adalah kerjasama di antara Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum untuk meningkatkan penggunaan sumber digital di sekolah.

Maybank Banting telah sudi menyumbang dua buah televisyen yang mempunyai fungsi Android berukuran 55 inci. Televisyen ini akan ditempatkan di dalam kelas untuk digunakan oleh guru dan murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pihak SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan daripada Maybank Banting kerana sudi menyumbangkan smart tv kepada sekolah ini. Semoga warga sekolah dapat memanfaatkan sumbangan ini dengan sebaik mungkin.

Wednesday, September 21, 2022

SUMBANGAN KIT ROBOTIK DARIPADA SASBADI & YAYASAN MYKASIH 2022

 
Sumbangan Kit Robotik telah diterima daripada Sasbadi dan Yayasan MyKasih yang telah disampaikan oleh En. Afiq kepada En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar). SK Bukit Tampoi (A) telah menerima 5 kit robotik untuk murid-murid Tahap 1.

Kit robotik ini akan gunakan oleh sekumpulan murid yang akan dilatih untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Sasbadi pada setiap tahun. Ini merupakan persediaan awal kumpulan ini untuk belajar dan mengaplikasikan kit robotik ini sebaik mungkin. 

Selain daripada kit robotik, pihak Sasbadi turut memberikan latihan asas kepada 2 orang guru yang telah dipilih. En. Khairul Budiman dan Pn. Roz'ain Jannah ditugaskan untuk memilih dan membimbing sekumpulan murid sehingga boleh mewakili sekolah ke pertandingan robotik tahun hadapan.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sasbadi dan Yayasan MyKasih kerana sudi menyumbangkan kit robotik ini kepada pihak sekolah. Semoga kit robotik dapat meningkatkan minat murid Orang Asli lebih meminati bidang STEM.