Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, April 24, 2020

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) 4

MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
KERAJAAN menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu sehingga 12 Mei ini dengan memberi sedikit kelonggaran terhadap dua perkara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu hanya membabitkan kebenaran pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) di kampus untuk pulang ke rumah dan kebenaran satu kali perjalanan kepada rakyat yang terkandas di kampung atau tempat lain sebelum PKP fasa pertama dikuatkuasakan.
Pertamanya, beliau berkata, pelajar di kampus yang mana di peringkat awal dahulu mereka tidak dibenarkan pulang, boleh kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sedikit masa lagi.
Menurutnya, proses membawa pelajar itu pulang giat dirancang kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan ia membabitkan jumlah yang besar, iaitu hampir 100,000 pelajar.
Justeru, katanya, kerajaan mesti merancang pergerakan pelajar terbabit dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).
"Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19. Kepada anak kita yang berada di kampus, insya-Allah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga.
"Butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat. Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu. Beri sedikit masa kepada kementerian yang berkaitan untuk menguruskan perkara ini.
"Saya tahu anda semua rindukan anak masing-masing. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat," katanya dalam Perutusan Khas Ramadan secara langsung menerusi RTM, malam ini.
Keduanya, Muhyiddin berkata, bagi yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini.
Beliau berkata, kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.
Katanya, pergerakan ini tentunya akan membabitkan jumlah yang besar, lantaran itu kerajaan giat mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan mereka.
"Seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terbabit boleh mendaftar secara online di aplikasi disediakan PDRM, atau membuat temu janji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
"Adalah penting untuk polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan," katanya.
Menurut beliau, butiran terperinci mengenai perkara ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.
"Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.
"Kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi Covid-19," katanya.
Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan PKP yang berakhir pada 28 April, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, sehingga 12 Mei.

Wednesday, April 15, 2020

PEMBATALAN UPSR DAN PT3 TAHUN 2020

Saksikan Sidang Media Menteri Kanan... - Kementerian Pendidikan ...

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 adalah dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkata, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid selepas mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.
Beliau berkata, memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan itu yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.
“Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.
“KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tetap diberikan keutamaan.
“Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid,” katanya.

Saturday, April 11, 2020

PELANJUTAN TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) 3

Merujuk kepada perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia sempena pendamik COVID-19 pada 10 April 2020 (Jumaat) semalam, beliau dengan jelas telah menyatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan dua minggu lagi iaitu dari 15 April 2020 hingga 28 April 2020.

Oleh yang demikian, SK Bukit Tampoi (A) masih menutup operasi sekolah pada sepanjang tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, pengajaran dan pembelajaran murid tetap dijalankan seperti biasa secara atas talian. Ibu bapa boleh menggunakan platform Google Classroom (GC) dengan ID yang telah diberikan oleh guru kelas masing-masing.

Selain daripada itu, bagi murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR boleh menonton TV Pendidikan di saluran OKEY dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi dan 1.00 petang hingga 2.00 petang. TV Pendidikan ini adalah kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.