Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, March 29, 2018

KARNIVAL SEGAK (SIRI 1) 2018



Program Penilaian Standar Fizikal Kebangsaan (SEGAK) merupakan satu program kecergasan yang dirancang selari dengan Dokumen Standard Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bagi menguji tahap kecergasan murid secara individu. Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah bersetuju untuk mengadakan Karnival SEGAK pada 29 Mac 2018 (Khamis) di dataran perhimpunan. Semua guru PJK telah terlibat di dalam aktiviti tersebut.

Program SEGAK ini meliputi 4 disiplin ujian yang meliputi ujian komposisi badan, daya tahan kardiovaskular, fleksibiliti dan daya tahan kekuatan otot. Ujian komposisi badan mengukur berat dan ketinggian murid bagi mendapatkan Body Mass Index (BMI). Manakala ujian daya tahan kardiovaskular pula menguji kekuatan fungsi jantung dengan cara naik turun bangku selama 3 minit.

Ujian fleksibiliti pula menguji kelenturan badan murid melalui aktiviti jangkauan melunjur. Akhir sekali murid diuji daya tahan kekuatan otot dengan melakukan aktiviti tekan tubi dan ringkuk tubi separa selama 1 minit. Selepas menjalani semua disiplin di atas, markah yang diperoleh akan dikira sama ada melepasi tahap minimum atau gagal.

Wednesday, March 28, 2018

PROGRAM YAYASAN MYKASIH 2018



Yayasan MyKasih merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkunjung ke SK Bukit Tampoi (A) dengan menawarkan tajaan kad debit untuk perbelanjaan wang saku di sekolah sahaja. Kad debit ini hanya boleh digunakan kantin sekolah sahaja, di mana ia digunakan ketika membeli makanan di kantin sekolah.

Jumlah tajaan bagi setiap murid adalah RM30 sebulan. Seramai 51 orang murid yang miskin telah berjaya menerima tajaan tersebut. Mereka terdiri daripada murid-murid dari Tahun 2 hingga 6 sahaja. Namun begitu, pihak yayasan telah bersetuju untuk membuka tawaran kepada murid Tahun 1 pula.

Sumbangan dalam bentuk kad debit merupakan sumbangan baharu pada abad ini. SK Bukit Tampoi (A) diberikan penghormatan dengan penerimaan tajaan ini kerana sekolah ini merupakan sekolah yang terawal menerima sumbangan yang sebegini.

Terima kasih diucapkan kepada Yayasan MyKasih kerana sudi datang dan memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada sekolah kami terutamanya kepada murid-murid miskin. Dengan sumbangan ini murid tidak perlu lagi berlapar ketika waktu persekolahan. Mereka boleh belajar dengan gembira dan senang hati. 


Tuesday, March 27, 2018

PROGRAM PENILAIAN KEPERLUAN DIETETIK



Program Penilaian Keperluan Dietetik telah dijalankan oleh penuntut-penuntut dari Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.  Seramai 18 orang penuntut yang diketuai oleh saudara Muhamad Mustaqim telah hadir untuk membuat penilaian ke atas murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 dari SK Bukit Tampoi (A).

Penilaian ini dijalankan bagi mendapatkan maklumat tentang diet seharian murid-murid di sekolah ini. Penilaian yang dilakukan adalah meliputi maklumat sosiodemografi, antropometri, kebersihan diri, kebolehdapatan makanan, pengambilan makanan dan borang rekod makanan seharian murid.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Islamic Relief Malaysia (IRM) yang sudi menaja kos operasi program tersebut. Maklumat berkaitan diet seharian yang diambil oleh murid sekolah ini akan dianalisa dan dapatan penilaian akan digunakan untuk menambahbaik mutu dan kadar pengambilan makanan yang sesuai dan seimbang bagi setiap murid.


JEYAWARA PENDAFTARAN TAHUN 1 SESI 2019 (SIRI 2)



Jeyawara Pendaftaran Tahun 1 Sesi 2019 (Siri 2) telah dilakukan pada 27 Mac 2018 (Selasa). Kali ini jeyawara telah disertai oleh GPK Hal Ehwal Murid yang menjengah KOA Bukit Dugong kerana di dalam kampung tersebut terdapat sebuah Tabika Kemas. Tabika tersebut mempunyai 24 orang murid yang tinggal di Kampung Orang Asli Bukit Dugang dan kawasan sekitar. 

Maklumat awal yang diperolehi daripada guru tabika terbabit, hanya ada tiga orang murid yang berkemungkinan besar akan mendaftar ke SK Bukit Tampoi (A). Selebihnya akan bersekolah di kawasan yang berhampiran dengan rumah mereka seperti SK Jenderam, SK Jenderam Hilir dan SK Desa Putra.

Wednesday, March 21, 2018

JEYAWARA PENDAFTARAN TAHUN 1 SESI 2019


Pendaftaran murid untuk kemasukan Tahun 1 Sesi 2019 telah mula dibuka secara dalam talian mulai 1 Mac 2018 sehingga 30 April 2018 bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2012 hingga 1 Januari 2013. Permohonan secara dalam talian ini boleh dicapai melalui laman sesawang https://public.moe.gov.my/

SK Bukit Tampoi (A) telah mengambil inisiatif untuk masuk ke Kampung Orang Asli (KOA) yang mempunyai kelas tabika. Terdapat tiga buah kampung yang mempunyai kelas tabika iaitu KOA Kolam Air Bangkong, KOA Bukit Dugang dan KOA Bukit Baja. 

Unit Hal Ehwal Murid telah pergi ke KOA Kolam Air Bangkong untuk mempromosikan pendaftaran murid Tahun 1 bagi murid yang akan bersekolah di SK Bukit Tampoi (A) pada tahun hadapan. Pihak sekolah telah menyerahkan dokumen maklumat diri pemohon kepada guru tadika terbabit. Selain daripada mengisi maklumat diri, ibu bapa juga diminta untuk menyertakan beberapa dokumen penting sebagai rujukan. 

Promosi seperti ini perlu dilakukan oleh sekolah kami kerana info yang ingin disampaikan kepada kumpulan sasaran kadang-kala tidak sampai kepada mereka. Pihak sekolah telah membentangkan kain rentang di hadapan sekolah sebagai info awal kepada ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah. 

Selain daripada itu, pihak sekolah juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada AJK PIBG melalui media sosial agar dapat disebarluaskan kepada ahli keluarga dan masyarakat kampung masing-masing. Semoga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk mempromosikan pendaftaran murid Tahun 1 Sesi 2019 membuahkan kejayaan.



Thursday, March 8, 2018

PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 SESI 2019


JADUAL UJIAN BULAN MAC 2018

Tarikh
Masa
Perkara
12 Mac 2018
(Isnin)
08.40 pagi – 09.55 pagi
(1 jam 15 minit)
BM (Pemahaman)
10.10 pagi – 10.30 pagi
Rehat
11.00 pagi – 12.15 tengah hari
(1 jam 15 minit)
BM (Penulisan)
13 Mac 2018
(Selasa)
08.10 pagi – 09.25 pagi
(1 jam 15 minit)
BI (Pemahaman)
10.10 pagi – 10.30 pagi
Rehat
11.00 pagi – 12.15 tengah hari
(1 jam 15 minit)
BI (Penulisan)
14 Mac 2018
(Rabu)
08.10 pagi – 09.10 pagi
(1 jam)
Matematik (Kertas 1)
10.10 pagi – 10.30 pagi
Rehat
11.00 pagi – 12.00 tengah hari
(1 jam)
Matematik (Kertas 2)
15 Mac 2018
(Khamis)
08.10 pagi – 09.10 pagi
(1 jam)
Sains (Kertas 1)
10.10 pagi – 10.30 pagi
Rehat
11.00 pagi – 12.00 tengah hari
(1 jam)
Sains (Kertas 2)

Monday, March 5, 2018

PENGGANTIAN TIANG TM




Terima kasih diucapkan kepada TM Malaysia kerana telah membaiki dan menggantikan tiang lama. Pihak TM telah membaiki talian telefon sekolah yang telah sekian lama tidak berfungsi. Setelah dilaporkan pihak sekolah, kakitangan penyelenggaraan TM telah datang untuk membaiki talian yang telah rosak dan menggantikan telefon yang baharu.



Pihak TM juga telah menggantikan tiang telefon yang lama dengan yang baharu. Selain daripada itu, tiang yang menghadang papan tanda sekolah juga turut dialihkan ke tempat baharu. Terima kasih diucapkan kepada TM kerana telah sudi menceriakan lagi kawasan sekolah kami.

JAPAN INTERNATIONAL COOPERATION AGENCY (MYJICA) 2018


Japan International Cooperation Agency (MYJICA) adalah satu program yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang telah berlangsung selama 1 hari pada 3 Mac 2018 (Sabtu) bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.



SK Bukit Tampoi (A) telah diundang untuk menyertai program tersebut melalui kolaborasi dengan Islamic Relief Malaysia (IRM). Seramai 28 orang murid yang terpilih telah menyertai program tersebut yang terdiri daripada murid-murid Tahap 2 dengan diiringi oleh 2 orang guru. Manakala pihak IRM telah sudi menyediakan pengangkutan dan makanan dan minuman untuk para peserta.




PetroSains yang telah diundang khas telah menyediakan beberapa aktiviti yang menarik khas untuk murid-murid. Mereka telah memberi peluang kepada peserta untuk membuat projek masing-masing dalam masa yang telah ditetapkan.




Kemudian, para peserta dibawa melawat ke Jabatan Sains Forensik UKM. Di sana, mereka diberi penerangan tentang peranan unit tersebut dalam membantu Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes-kes berat yang sukar untuk diselesaikan. Selain daripada itu, peserta turut diberi peluang untuk melakukan pengesanan cap jari masing-masing sebagai pengalaman dan kenangan.





Para peserta yang mengikuti program ini telah menunjukkan minat yang mendalam tentang mata pelajaran Sains. Mereka sudah mula berminat untuk mempelajari mata pelajaran Sains kerana mereka dapati bahawa banyak aktiviti yang menarik yang dapat mereka perolehi dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh guru dan sekolah.






Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak UKM khususnya kepada Dr. Sri Pawita Al Bakri kerana sudi menjemput sekolah kami dalam menyertai program yang sungguh berguna ini. Turut tidak dilupakan adalah pihak IRM terutama kepada En. Mohamad Syakir Sarib dan rakan-rakannya kerana sudi menyediakan pengangkutan dan makan minum kami sepanjang berada di sana. Semoga kerjasama ini dapat dieratkan dan dipanjangkan ke program-program yang lebih menarik dan memberi impak yang positif kepada murid-murid SK Bukit Tampoi (A).