Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, April 29, 2017

PROGRAM MUDIK KE HULU BIL.1 TAHUN 2017


Program Mudik Ke Hulu kali pertama tahun ini menyasarkan beberapa orang murid Orang Asli yang tinggal di KOA Bukit Jenok yang terletak di Jenderam Hilir dalam daerah Sepang. Senarai nama murid yang terlibat ialah Norliza binti Isam (Tahun 2), Norasyikin binti Abdullah (Tahun 3) dan Nana binti Rajes (Tahun 6).


Unit HEM dengan kerjasama guru besar, guru kaunseling dan guru Linus telah melakukan kunjung mesra ke rumah murid-murid yang terlibat. Tujuan kunjungan ini adalah sebagai sebahagian daripada program sokongan Jom Ke Sekolah dan Program Intervensi Linus 2.0.


Hasil kunjungan kali ini telah menemukan pelbagai faktor murid tidak datang ke sekolah seperti masalah kesihatan, perpisahan ibu bapa dan kurang motivasi kerana sokongan moral.

Friday, April 28, 2017

CUTI UMUM HARI PEKERJA 2017

Sukacita dimaklumkan bahawa SK Bukit Tampoi (A) akan bercuti selama 1 hari pada ketetapan berikut : -

Tarikh : 1 Mei 2017 (Isnin)
Jenis Cuti : Hari Pekerja (Cuti Umum)

Sehubungan dengan itu, SK Bukit Tampoi (A) akan bercuti mengikut ketetapan di atas. Sekolah akan dibuka semula seperti biasa pada 2 Mei 2017 (Selasa). 

Sekian, harap maklum.

PROGRAM MUDIK KE HULU BIL.2 TAHUN 2017


Program Mudik Ke Hulu kali ini telah menjejaki murid di Tadika KEMAS KOA Bukit Baja (Cyberjaya) dan KOA Bukit Dugang (Dengkil) yang berpotensi untuk menjadi murid Tahun 1 di SK Bukit Tampoi (A) bagi sesi 2018. Kebanyakan ibu bapa murid Orang Asli menghadapi masalah untuk mengisi borang pendaftaran yang dibuat secara atas talian (online) disebabkan oleh beberapa kekangan. 


Justeru itu, pihak sekolah melalui unit HEM dengan kerjasama guru serta kakitangan sedia membantu ibu bapa untuk mengisi borang pendaftaran tersebut dengan syarat mendapat segala maklumat yang diperlukan. Ibu bapa perlu mengisi borang maklumat yang telah disediakan dan menyertakan salinan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak sekolah.

Thursday, April 27, 2017

PROGRAM MUDIK KE HULU BIL.3 TAHUN 2017


Unit HEM dengan kerjasama guru besar, guru kaunseling dan guru Linus telah menjalankan program Mudik Ke Hulu  dan Program Intervensi Linus 2.0 untuk mengesan murid tidak hadir tegar di Kampung Orang Asli (KOA) Kolam Air Bangkung (Dengkil), KOA Bukit Jenok (Jenderam Hilir) dan KOA Bukit Baja (Cyberjaya) di daerah Sepang. Selain daripada itu, program ini juga merupakan program sokongan kepada Program Intervensi Linus 2.0 yang bertujuan untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.


Senarai murid yang terlibat ialah Rajimi bin Apeng (KOA Kolam Air Bangkong), Norashikin bt. Abdullah (KOA Bukit Jenok), Norliza binti Esam (KOA Bukit Baja) dan Ezareen binti Asril (KOA Bukit Baja). Rajimi adalah murid Tahun 4 Semarak, manakala Norashikin dan Ezareen adalah murid Tahun 3 Melati serta Norlliza adalah murid Tahun 2 Mawar.


Terdapat kekangan di mana ada murid berpindah dan tidak menetap di kampung asal tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pentadbiran sekolah. Situasi ini merupakan cabaran utama dan menjadi punca kepada masalah keciciran tidak hadir ke sekolah dan tidak menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.


Friday, April 21, 2017

CUTI PERTABALAN DYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Image result for pertabalan agong 2017

Sayugia dimaklumkan bahawa SK Bukit Tampoi (A) akan bercuti pada 24 April 2017 (Isnin) bagi menghormati dan meraikan Majlis Pertabalan DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang diadakan pada tarikh tersebut. Murid-murid boleh mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan upacara pertabalan di peti televisyen masing-masing. Sekolah akan beroperasi semula seperti biasa pada 25 April 2017 (Selasa). Sekian, harap maklum.

LINTASAN BELANG SK BUKIT TAMPOI (A)


Lintasan belang merupakan salah satu daripada ciri-ciri keselamatan baharu di SK Bukit Tampoi (A). Ia terletak di Lorong Ilmu di antara Blok B dan Blok C. Tujuan lintasan belang ini diwujudkan adalah untuk mengajar murid berkaitan peraturan lalu-lintas dan fungsinya. Ia berfungsi untuk memberi keutamaan kepada murid untuk lalu dengan selamat tanpa berlaku kemalangan.

Lintasan belang ini telah disiapkan pada 20 April 2017 (Khamis) dengan kerjasama En. Azman Shah, Pn. Noor Adida, En. Mohd. Fadzli dan En. Redzuan. Mereka telah bertungkus-lumus dalam menyiapkan lintasan ini untuk mencegah kemalangan daripada berlaku dan menjamin kawasan sekolah menjadi sebuah kawasan yang selamat untuk murid belajar.

 SEBELUM

 SEMASA

 SELEPAS

Wednesday, April 19, 2017

PROGRAM CERGAS, CERDAS & SIHAT 2017

Program Cergas, Cerdas Sihat merupakan suatu aktiviti kesihatan yang telah dijalankan pada 19 April 2017 (Rabu) di SK Bukit Tampooi (A). Program yang dikendalikan dengan kerjasama Unit Kantin, Unit RMT, Unit 3K dan Unit PPDa adalah telah bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 1.00 petang. 

Program dimulai dengan aktiviti senamrobik, diikuti oleh aktiviti pertandingan mewarna sehingga waktu rehat. Selepas waktu rehat tamat, program disambung semula dengan aktiviti kuiz kesihatan yang dikendalikan oleh Pn. Rozima. 


Seterusnya diikuti oleh ceramah Pemakanan Sihat yang disampaikan oleh Pegawai Pemakanan dari PKD Salak. Program diakhiri dengan persembahan silap mata yang dipersembahkan oleh En. Mustaqim. 


Program yang telah dijalankan mendapat kerjasama yang baik daripada semua guru dan murid. Banyak infomasi kesihatan disampaikan untuk kebaikan diri dan keluarga. Semoga semua warga sekolah mendapat manfaat yang berguna selepas mengikuti program ini.


Monday, April 10, 2017

PELANCARAN FLYING SQUAD 2017


Unit Kesihatan telah melancarkan Flying Squad pada hari ini di tapak perhimpunan semasa perhimpunan rasmi sekolah. Flying Squad ini telah dirasmikan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A). Objektif penubuhan skuad ini adalah untuk memupuk sikap keprihatinan dan komitmen yang tinggi dalam kalangan warga sekolah tentang pendidikan pencegahan Demam Denggi.

Ia menjadikan murid sebagai ejen perubahan terhadap pencegahan pembiakan nyamuk Aedes di sekolah. Ejen-ejen yang dilantik terdiri daripada Shah Dairel (Tahun 6), Mida (Tahun 5), Nur Ain Amira (Tahun 3), Putri Wulan (Tahun 4), Ilashazin (Tahun 4) dan Norlaila (Tahun 6).

Peranan mereka adalah seperti berikut : -

  1. Mengetahui dan memahami bahaya nyamuk Aedes dan Demam Denggi;
  2. Membantu menjaga kebersihan kawasan sekolah;
  3. Memaklumkan kepada guru sekiranya melihat atau mengetahui tempat pembiakan nyamuk;
  4. Mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah;
  5. Memaklumkan kepada guru jika diri atau rakan-rakan yang demam;
  6. Membuat pemeriksaan nyamuk Aedes dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Semoga dengan wujudnya skuad ini dapat membantu pihak sekolah agar menjadi tempat yang selamat daripada nyamuk Aedes dan bebas Demam Denggi.


PROGRAM INTERVENSI LINUS : PERTANDINGAN LINUS 2017


Unit Pemulihan telah menganjurkan Pertandingan Linus 2017 yang melibatkan murid-murid pemulihan dari Tahun 1 hingga Tahun 3. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti pertandingan menulis Huruf Bergaya, pertandingan Model Pak Atan dan kehadiran penuh bagi bulan Mac. Penyampaian hadiah telah dijalankan pada hari ini dan disampaikan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A). Tahniah diucapkan kepada para pemenang kerana telah menunjukkan kemajuan dalam menguasai kemahiran asas mengira dan membaca.

Senarai nama pemenang.

  • Pertandingan Model Pak Atan
  1. Puteri Rohanes
  2. Juraini
  3. Muhammad Effendi
  4. Shafiq Wang
  5. Shafiq
  6. Zuli
  • Pertandingan Menulis Huruf Bergaya
  1. Siti Suhaidah
  2. Aiman Syah
  3. Ewan
  • Kehadiran Penuh (Mac)
  1. Aiman Syah
  2. Iswad

Saturday, April 8, 2017

PROGRAM GOTONG-ROYONG SK BUKIT TAMPOI (A) 2017


Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tampoi (A) telah mengadakan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekitar sekolah dan di dalam kawasan sekolah. Aktiviti yang dianjurkan oleh PIBG SK Bukit Tampoi (A) telah mendapat sambutan yang baik daripada para ibu bapa dan guru-guru.


Selain daripada itu, PIBG juga telah mendapatkan bantuan jentera jengkaut untuk mengorek tunggul-tunggul pokok, membetulkan kedudukan batu tanda sekolah dan membersihkan kawasan sekitar sekolah. Kami juga telah mendapat bantuan daripada kakitangan Majlis Perbandaraan Sepang (MPS) yang sudi membantu membuang sampah-sarap daripada aktiviti pembersihan kawasan sekolah menggunakan lori-lori yang diperuntukkan.


Sehubungan dengan itu, pihak PIBG dan SK Bukit Tampoi (A) ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih di atas kesudian semua pihak dalam mengembleng tenaga bagi membersihkan kawasan di dalam dan luar sekolah. Terima kasih juga ditujukan kepada AJK PIBG kerana telah berjaya menganjurkan aktiviti gotong-royong pada kali ini serta sumbangan mendapat jentera dan menyediakan makanan dan minuman kepada semua warga kerja.