Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, December 21, 2020

PENYERAHAN SUMBANGAN PAKAIAN SEKOLAH NESTLE CARE DAN EMPIRE PROJECT 2020


Sesi persekolahan telah berakhir pada 18 Disember 2020 (Jumaat) dengan penuh cabaran dan dugaan. Pada tahun ini, Malaysia telah dilanda pandemik Covid-19 yang sangat berbahaya kepada semua terutamanya kanak-kanak. Justeru itu, sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali agar penyakit ini tidak merebak di dalam kawasan sekolah.

Nestle dengan kerjasama Empire Project iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program Nestle Care telah memberikan sumbangan kepada beberapa buah sekolah terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk menerima bantuan berupa peralatan dan pakaian sekolah bagi golongan keluarga murid kategori B40.

SK Bukit Tampoi (A) adalah salah sebuah sekolah yang telah dipilih untuk menerima bantuan tersebut. Maka, satu majlis penyerahan bantuan telah diadakan oleh Nestle Product Sdn. Bhd. bertempat di Surian Tower, Mutiara Damansara sebagai simbolik penyerahan kepada semua sekolah yang terpilih. Seramai 50 orang murid telah disenaraipendek sebagai penerima bantuan tersebut.

Pihak SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Empire Project dan Nestle Product Sdn. Bhd. kerana sudi memilih sekolah kami sebagai salah satu penerima bantuan tersebut. Kami amat mengalu-alukan sumbangan seperti ini untuk membantu golongan B40 terutama sekali bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal di bandar seperti sekolah kami. Sumbangan ini adalah amat bermakna bagi sekolah kami yang amat memerlukan ini.

MAJLIS GRADUASI PRASEKOLAH TUNAS MURNI SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2020


Sesi persekolahan kini sudah sampai ke penghujungnya. Begitu juga dengan murid-murid Prasekolah SK Bukit Tampoi (A). Mereka telah berjaya mengharungi perjuangan belajar semasa pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara Malaysia kini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua murid prasekolah yang akan memasuki Tahun 1 pada tahun 2021 nanti. Justeru itu, pihak pengurusan prasekolah telah mengadakan majlis graduasi secara pandu lalu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis tersebut telah diadakan di dalam prasekolah, di mana ibu bapa dihadkan kepada seorang bagi setiap murid. Murid-murid telah diberikan jambangan bunga, goodies bag dan fail peribadi murid untuk dibawa pulang. Selain daripada itu, murid-murid diberi peluang untuk memakai jubah dan bergambar untuk dijadikan kenangan semasa berada di Prasekolah SK Bukit Tampoi (A).

Tokoh Murid Cemerlang 6 Tahun pada tahun 2020 telah diberikan kepada adik M. Afif Adam dan M. Aniq Haziq manakala Tokoh Murid Cemerlang 5 Tahun pula telah diberikan kepada adik Chrishanaira Shuneesa. Tahniah diucapkan kepada mereka semua.

Terima kasih diucapkan kepada pengurusan Prasekolah SK Bukit Tampoi (A) kerana telah berjaya mengadakan majlis graduasi dengan mematuhi SOP yang ketat. Kejayaan mengadakan majlis tersebut menjadi pendorong kepada murid-murid untuk meneruskan sesi persekolahan mereka di Tahun 1 pada tahun hadapan.



Thursday, December 10, 2020

PENGUATKUASAAN PEMAKAIAN KASUT SEKOLAH MURID TAHUN 2021

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa prihatin akan keperluan ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu. Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, Mesyuarat Profesional KPM Bil.39/2020 bertarikh 17 Disember 2020 telah memutuskan bahawa, mulai tahun 2021, semua murid dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam atau berwarna putih serta stoking mengikut warna kasut yang dipakai. 

Keputusan yang dibuat oleh KPM ini boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2020 berkenaan Penguatkuasaan Pemakaian Kasut dan Stoking Hitam Atau Putih Oleh Murid Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2021. Sila klik pada pautan di bawah ini.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2020

Tuesday, December 8, 2020

PERTANDINGAN KEBUN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 2020


Pada hari ini, 8 Disember 2020 (Selasa), beberapa kakitangan daripada Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah hadir untuk membuat penilaian dan pemarkahan bagi Pertandingan Kebun Komuniti yang dianjurkan oleh MP Sepang. Pertandingan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu komuniti, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk memupuk semangat pertanian dalam diri individu untuk kegunaan seharian. Dengan menggunakan pelbagai kaedah pertanian dari tradisional sehingga moden. Di peringkat sekolah, murid-murid diberikan pendedahan tentang teknik penanaman yang betul agar dapat diaplikasikan di rumah.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh Yayasan MyKasih, Manulife Insurance Holding Berhad, Universiti Putra Malaysia, PIBG, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang telah terlibat secara langsung di dalam menjayakan projek pertanian ini. Setakat ini, kita telah berjaya menuai hasil tanaman sebanyak 3 kali yang melibatkan sayur-sayuran seperti sawi, bayam, pak choi dan kailan. 

Selain daripada itu, kita juga telah berjaya menanam beberapa jenis sayur berbuah seperti petola, kacang panjang, timun, labu air, bendi dan terung. Semua hasil pertanian dibahagikan kepada semua pihak yang terlibat untuk dinikmati bersama. Semoga pertanian ini dapat diteruskan untuk kelestarian di SK Bukit Tampoi (A) ini.