Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, January 29, 2018

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2018


Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2018 telah diadakan pada 29 Januari 2018 (Isnin) bertempat di kelas Tahun 1 hingga Tahun 6. Penyerahan BAP yang bernilai RM100 ini telah diserahkan oleh guru kelas kepada ibu bapa atau penjaga. 

BAP merupakan bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Mereka yang layak adalah terdiri daripada keluarga yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah sahaja. Dahulu bantuan ini dikenali sebagai Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M).

Harapan pihak kerajaan agar bantuan ini dapat digunakan untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak. Semoga bantuan yang disalurkan akan dapat menggalakkan murid untuk hadir ke sekolah.




Penyerahan Tahun 1


Penyerahan Tahun 2


Penyerahan Tahun 3


Penyerahan Tahun 4


Penyerahan Tahun 5


Penyerahan Tahun 6

Monday, January 22, 2018

MAJLIS PEMBUGARAN PROGRAM NILAM 2018


Majlis Pembugaran Program NILAM 2018 telah dirasmikan pada 22 Januari 2018 (Isnin) di tapak perhimpunan sekolah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A). Gimik perasmian pada tahun ini adalah acara memotong kek dengan logo NILAM tertera di atas kek. Majlis ini telah dianjurkan oleh Unit Pusat Sumber Sekolah dengan memberi penerangan berkaitan Program NILAM yang diberi nafas baharu.


Program NILAM yang terkini akan menggunakan sistem pemberian Mata Ganjaran yang baharu. Mata Ganjaran yang baharu ini terdiri daripada dua jenis iaitu Mata Ganjaran Bahan Buku dan Mata Ganjaran Bahan Bukan Buku. Selain daripada itu, pengiktirafan NILAM juga telah diubah kepada sistem Bintang. Selain daripada itu, murid-murid yang aktif membaca akan diiktiraf dan diberi markah Ekstra Kurikulum mengikut Bintang yang diperolehi.


Oleh yang demikian, murid-murid harus mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan markah Ekstra Kurikulum yang digunakan di dalam Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang kini dimasukkan ke dalam Penilaian Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) mulai tahun 2016.

MAJLIS PELANTIKAN PEMIMPIN SEKOLAH 2018


Majlis Pelantikan Pemimpin Sekolah telah diadakan pada 22 Januari 2018 (Isnin) di tapak perhimpunan sekolah. Pemimpin sekolah yang dilantik terdiri daripada Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Sijil Pelantikan Pengawas telah diserahkan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A).


Pada tahun 2018 ini Ketua Pengawas Sekolah ialah adik Nur Natasha Syahadah bt. Muhammad Alwi manakala Penolong Ketua Pengawas Sekolah ialah adik Arif Haziq bin Pen. Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah ialah adik Nazua Syahkira bt. Sikin @ Omar manakala Penolong Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah ialah adik Jairil Anak Jenny. 


Tahniah diucapkan kepada semua Pengawas Sekolah dan Pengawas PSS yang telah dilantik. Semoga mereka dapat menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan amanah. Majlis pelantikan ini telah dianjurkan dengan kerjasama Unit Disiplin dan Unit Pusat Sumber Sekolah.

KEJOHANAN MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH 2018


Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah telah diadakan pada 12 Januari 2018 (Jumaat). Semua murid Tahun 4, 5 dan 6 telah mengambil bahagian di dalam kejohanan ini. Kejohanan yang dianjurkan oleh Unit Sukan di bawah Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) telah dirasmikan oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A).


Seramai 8 orang pemenang yang terdiri daripada 4 orang peserta lelaki dan 4 orang peserta perempuan telah dipilih untuk mewakili sekolah di dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSD Sepang. Kejohanan tersebut akan diadakan di SMK Pantai Sepang Putra, Bagan Lalang pada 23 dan 24 Januari 2018.


Mereka yang terpilih telah menjalani latihan di sekitar kawasan sekolah di bawah jurulatih En. Mohd. Firdaus Ayak dan En. Anwar setiap hari. Semoga latihan yang dijalankan memberi impak yang positif ketika kejohanan tersebut.


















Wednesday, January 10, 2018

BANTUAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH OLEH BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)



Sesi persekolahan tahun 2018 telah bermula. SK Bukit Tampoi (A) telah mula menerima banyak bantuan daripada  Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Yayasan Selangor. Kelengkapan sekolah yang disumbangkan terdiri daripada pakaian sekolah, beg, kasut dan alat tulis.

Seramai 153 orang murid yang terdiri daripada murid Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 5 telah menerima bantuan tersebut. Penerima bantuan adalah dalam kalangan murid miskin serta berpendapatan rendah dan sederhana. 

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang kerana telah memilih sekolah kami untuk menyalurkan bantuan berupa kelengkapan persekolahan kepada anak murid di sini. bantuan ini dapat meringankan beban terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Sekolah kami amat memerlukan bantuan dari segi kemudahan prasarana sekolah, peralatan pengajaran dan pembelajaran dan dana kewangan bagi memberi peluang kepada warga sekolah menikmati peluang belajar yang sempurna seperti murid di sekolah lain.