Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, November 30, 2023

PROGRAM CELIK STEM 2023


Program Celik STEM bersama The Institution of Engineers Malaysia (IEM) telah diadakan di pejabat IEM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor pada 29 November 2023 (Khamis). Seramai 16 orang murid dengan diiringi oleh 4 orang guru pengiring telah hadir ke ibu pejabat IEM. Mereka telah disambut oleh kakitangan IEM yang sedia menunggu di sana.

Guru-guru dan murid-murid telah dibawa melawat ke sekitar ibu pejabat IEM. Kemudian mereka dibawa melihat booth-booth pemeran yang disediakan oleh IEM. Di antara booth tersebut adalah booth mekanikal, kereta solar, kimia, robotik dan elektrikal. Murid-murid juga turut diberi peluang untuk menghasilkan hasil tangan mereka sendiri.

Pada akhir lawatan, mereka ditempatkan di auditorium untuk majlis penutupan. Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Jurutera IEM yang turut menyampaikan hadiah cenderamata kepada guru-guru pengiring. Terima kasih diucapkan kepada IEM kerana sudi menjemput murid-murid SK Bukit Tampoi (A) untuk melihat sendiri ibu pejabat IEM dan hasil kerja STEM yang boleh dilakukan oleh murid-murid di sekolah mahupun di rumah. Semoga kita dapat terus menjalinkan kerjasama ini di masa yang lain pula.


Kehadiran yang disambut oleh pegawai IEM


Lawatan ke booth pameran


Majlis penutupan

AKTIVITI SUKAN RAKYAT BERSAMA UKM TAHUN 2023

 


Aktiviti Sukan Rakyat bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di SK Bukit Tampoi (A) pada 29 November 2023 (Rabu). Seramai 10 orang pelajar daripada Fakulti Pendidikan UKM telah menyertai aktiviti tersebut bersama murid-murid daripada Tahun 4, 5 dan 6.

Pelbagai aktiviti sukan rakyat telah dijalankan bersama murid-murid bertempat di gelanggang dan di padang. Aktiviti sukan rakyat yang dimainkan adalah seperti galah panjang, ceper, lastik getah, tuju selipar, boling buah kelapa dan bola sepak memakai kain sarung.

Murid-murid yang menyertai aktiviti ini bersama sangat seronok kerana dapat bermain sambil belajar permainan sukan rakyat ini. Ini merupakan pendedahan awal kepada murid-murid tentang permainan sukan rakyat yang diperkenalkan semula kepada murid-murid. 

Terima kasih kepada para pelajar daripada Fakulti Pendidikan kerana sudi menjalankan aktiviti ini bersama murid-murid di SK Bukit Tampoi (A). Semoga banyak lagi aktiviti atau program yang boleh dijalankan bersama murid-murid supaya dapat memberikan pendedahan tentang pelbagai aktiviti yang boleh menarik kehadiran serta dapat meningkatkan minat belajar murid-murid di sini. 


Lastik Getah


Galah Panjang


Ceper


Boling Buah Kelapa


Tuju Selipar


Bola Sepak Memakai Kain


Majlis Penutupan


Aktiviti Memanaskan Badan


Persiapan Sebelum Aktiviti

Tuesday, November 28, 2023

MINGGU ANTIDADAH SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023

Minggu Anti Dadah SK Bukit Tampoi (A) telah diadakan pada 27 November hingga 1 Disember 2023. Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan Cawangan Sepang telah mengadakan ceramah kesedaran antidadah serta pameran bahan-bahan yang digunakan oleh penagih untuk menagih dadah. 

Tujuan pameran ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran tentang penyalahgunaan dadah dan kesannya kepada individu, keluarga dan masyarakat. Selain daripada itu, ia dapat memberikan maklumat berkaitan hukuman yang dikenakan kepada pesalah jika didapati bersalah.

Selain daripada aktiviti ceramah dan pameran, murid-murid turut menyertai pertandingan mewarna dan melukis poster sebagai gambaran bahawa kita boleh hidup bahagia tanpa menggunakan bahan terlarang. Semoga dengan adanya aktiviti berkala ini diadakan setiap tahun dapat membanteras penyalahgunaan dadah dari awal lagi.

Terima kasih diucapkan kepada AADK Cawangan Sepang kerana sudi hadir memberikan ceramah kesedaran dan mengadakan pameran kesedaran dadah di sekolah ini. Kehadiran tuan-tuan sangat memberi makna kepada anak-anak murid kami di sini. Semoga jalinan ini dapat diteruskan untuk tahun yang akan datang. 

"HIDUP BAHAGIA TANPA DADAH"

Thursday, November 23, 2023

PEMERIKSAAN KESIHATAN 2023

Pemeriksaan Kesihatan telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan daerah (PKD) pada 22 November 2023. Pemeriksaan ini dijalankan buat Tahun 1 dan Tahun 6 yang meliputi suntikan imunisasi bagi Tahun 1 dan pemeriksaan am bagi Tahun 6.

Rutin pemerikaan ini dijalankan setiap tahun untuk menilai tahap kesihatan murid-murid agar membesar dengan sihat dan normal. Selain daripada pemeriksaan kesihatan para jururawat turut membuat tunjuk ajar tentang cara mencuci tangan dengan betul dan berkesan.

Diharapkan agar semua murid SK Bukit Tampoi (A) dapat mengekalkan kesihatan masing-masing. Pihak sekolah sentiasa membantu menyediakan makanan yang berkaitan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disedikan oleh KPM. Selain daripada itu, pihak sekolah mengalu-alukan pihak korporat untuk menghulurkan sumbangan untuk membantu anak-anak murid kami mendapat makanan yang berkhasiat dan sihat.

TAHNIAH NUR AINA BATRISYIA BINTI ABDUL SANI

 

Tahniah diucapkan kepada adik Nur Aina Batrisyia binti Abdul Sani kerana telah berjaya merangkul pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 14 hingga 18 November 2023. Beliau telah mengharumkan nama SK Bukit Tampoi (A) kerana satu-satunya atlet negeri Selangor yang merangkul emas pada kejohanan tersebut. Kontinjen negeri Selangor menduduki tempat ketiga secara keseluruhan pada kejohanan tersebut.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan penyertaan daripada 7 buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. Sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut adalah seperti permainan bola sepak, bola baling, sepak takraw dan olahraga.

Dalam olahraga pula dibahagikan kepada beberapa acara iaitu larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar atlet untuk acara sepak takraw, lontar peluru dan lompat tinggi. Hanya adik Aina sahaja yang berjaya membawa pulang pingat untuk sekolah dalam acara lontar peluru. Tahniah diucapkan kepada adik Aina kerana berjaya mengalahkan atlet-atlet daripada negeri lain.

Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk murid-murid lain agar dapat mencontohi kejayaan beliau dalam acara sukan. Diharapkan agar pihak sekolah dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti untuk mengharumkan nama sekolah di kemudian hari.

SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023

 

Sambutan Hari Kanak-kanak SK Bukit Tampoi (A) telah diadakan pada 21 November 2023 (Isnin). Pada tahun ini sambutan tersebut disambut secara sederhana kerana tiada penaja yang sudi menaja sambutan tersebut. Dengan dana sumbangan daripada PIBG SK Bukit Tampoi (A) hanya mampu untuk mendapatkan nasi dan ayam goreng sahaja.

Walau bagaimanapun, kami tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Sekurang-kurangnya murid-murid kami dapat juga berasa diraikan pada hari tersebut. Terima kasih di atas sumbangan PIBG yang sudi memberikan dana walaupun mempunyai dana yang sedikit pada tahun ini.

Kepada dermawan yang ingin menyumbang, boleh berhubung dengan pihak sekolah melalui nombor seperti yang tertera di laman blog ini. Semoga anak-anak kami mendapat penajaan pada tahun hadapan.

Thursday, November 16, 2023

SUMBANGAN BEG SEKOLAH YAYASAN MAHA KARUNA TAHUN 2023

 

SK Bukit Tampoi (A) telah menerima sumbangan beg sekolah oleh Yayasan Maha Karuna di bawah Program Educare. Pada tahun ini, pihak sekolah telah menerima sebanyak 50 buah beg sekolah untuk kegunaan anak-anak SK Bukit Tampoi (A) pada tahun hadapan.

Senarai 50 orang murid yang menerima sumbangan tersebut telah disaring pada peringkat sekolah terlebih dahulu agar memberi peluang kepada semua murid untuk mendapatkan bantuan pakaian sekolah. Pihak sekolah akan berusaha untuk mendapatkan sumbangan pakaian sekolah untuk semua murid agar mereka hadir dan meneruskan persekolahan mereka.

Terima kasih kepada Yayasan Maha Karuna kerana sudi meneruskan Program Educare di SK Bukit Tampoi (A) pada tahun ini. Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang supaya kemenjadian murid dapat dibentuk untuk menjadi "Anak Baik Lagi Cerdik" di sekolah ini. Kepada mereka yang ingin menyumbang, boleh merujuk laman web rasmi sekolah ini untuk sebarang pertanyaan.

Monday, November 6, 2023

JEMPUTAN UNTUK MENYAKSIKAN PERTANDINGAN MALAYSIA CHEM-E CAR TAHUN 2023

SK Bukit Tampoi (A) telah menerima jemputan untuk menyaksikan pertandingan Malaysia Chem-E Car tahun 2023 di UiTM Shah Alam. Pertandingan ini merupakan pertandingan peringkat antarabangsa di antara universiti-universiti seluruh Asia Tenggara. Ia telah dianjurkan oleh The Institutions Of Enginering Malaysia (IEM). Sebanyak 19 buah universiti yang telah mengambil bahagaian dala pertandingan tersebut.

Seramai 4 orang murid Tahun 5 telah dipilih untuk hadir bersama 1 orang guru pengiring untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Pertandingan tersebut adalah pertandingan merekacipta kenderaan yang menggunakan hanya tenaga kimia untuk menggerakkan kenderaan tersebut dan menyasarkan bola yang berada di tengah gelanggang sama ada masuk gol atau menjatuhkan pin.

Walaupun, buka semua peserta dapat menggerakkan kenderaan masing-masing. Ia adalah satu cabaran yang besar untuk menggerakkan dan memberhentikan kenderaan pada jarak tertentu. Semoga pertandingan ini dapat memberikan inspirasi kepada murid-murid untuk meminati bidang STEM kelak.

Seterusnya kami, dibawa melawat ke makmal untuk melihat para peserta membuat persediaan pasukan masing-masing. Di sana, setiap pasukan bertungkus-lumus untuk memastikan kenderaan yang dibina dapat berfungsi dengan baik dan menepati syarat yang telah ditetapkan penganjur. Kemudian, kami turut dibawa ke kelas di mana para penuntut UiTM belajar serta bilik kuliah yang boleg menempatkan seraamai 300 orang dalam satu-satu masa.

Terima kasih diucapkan kepada pihak IEM kerana sudi menjemput kami menyaksikan pertandingan tersebut. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih juga kepada UiTM kerana sudi menerima kunjungan kami ke sana. Semoga satu hari nanti ada murid-murid sekolah ini yang berjaya menjejakkan kami ke UiTM.