Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, November 23, 2023

TAHNIAH NUR AINA BATRISYIA BINTI ABDUL SANI

 

Tahniah diucapkan kepada adik Nur Aina Batrisyia binti Abdul Sani kerana telah berjaya merangkul pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 14 hingga 18 November 2023. Beliau telah mengharumkan nama SK Bukit Tampoi (A) kerana satu-satunya atlet negeri Selangor yang merangkul emas pada kejohanan tersebut. Kontinjen negeri Selangor menduduki tempat ketiga secara keseluruhan pada kejohanan tersebut.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan penyertaan daripada 7 buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. Sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut adalah seperti permainan bola sepak, bola baling, sepak takraw dan olahraga.

Dalam olahraga pula dibahagikan kepada beberapa acara iaitu larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar atlet untuk acara sepak takraw, lontar peluru dan lompat tinggi. Hanya adik Aina sahaja yang berjaya membawa pulang pingat untuk sekolah dalam acara lontar peluru. Tahniah diucapkan kepada adik Aina kerana berjaya mengalahkan atlet-atlet daripada negeri lain.

Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk murid-murid lain agar dapat mencontohi kejayaan beliau dalam acara sukan. Diharapkan agar pihak sekolah dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti untuk mengharumkan nama sekolah di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment