Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label KSSMOA. Show all posts
Showing posts with label KSSMOA. Show all posts

Thursday, November 23, 2023

TAHNIAH NUR AINA BATRISYIA BINTI ABDUL SANI

 

Tahniah diucapkan kepada adik Nur Aina Batrisyia binti Abdul Sani kerana telah berjaya merangkul pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 14 hingga 18 November 2023. Beliau telah mengharumkan nama SK Bukit Tampoi (A) kerana satu-satunya atlet negeri Selangor yang merangkul emas pada kejohanan tersebut. Kontinjen negeri Selangor menduduki tempat ketiga secara keseluruhan pada kejohanan tersebut.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan penyertaan daripada 7 buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. Sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut adalah seperti permainan bola sepak, bola baling, sepak takraw dan olahraga.

Dalam olahraga pula dibahagikan kepada beberapa acara iaitu larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar atlet untuk acara sepak takraw, lontar peluru dan lompat tinggi. Hanya adik Aina sahaja yang berjaya membawa pulang pingat untuk sekolah dalam acara lontar peluru. Tahniah diucapkan kepada adik Aina kerana berjaya mengalahkan atlet-atlet daripada negeri lain.

Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk murid-murid lain agar dapat mencontohi kejayaan beliau dalam acara sukan. Diharapkan agar pihak sekolah dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti untuk mengharumkan nama sekolah di kemudian hari.

Thursday, October 5, 2023

SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2023


Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli telah diadakan pada 3 dan 4 Oktober 2023 yang telah diadakan di Kuala Langat. Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini telah disertai oleh 11 buah Sekolah Orang Asli (SOA) di negeri Selangor.

Pertandingan yang diadakan meliputi sukan bola baling, bola sepak dan sepak takraw serta olahraga bagi murid sekolah rendah. SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai pertandingan bola baling, sepak takraw dan olahraga. Seramai 20 orang murid menyertai pertandingan bola baling yang terdiri daripada pasukan lelaki dan perempuan. Manakala 2 pasukan sepak takraw yang terdiri daripada Pasukan A dan Pasukan B.

Selain daripada itu, pihak sekolah juga turut menghantar pasukan olahraga yang terdiri daripada 10 orang murid lelaki dan perempuan.  Mereka telah menyertai acara larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat tinggi dan lompat jauh. Pertandingan bola baling dan sepak takraw telah diadakan pada 3 Oktober dan olahraga pada 4 Oktober.

Keputusan akhir kejohanan pada kali ini adalah seperti berikut. Sepak takraw Regu A (Naib Johan) dan Regu B (Ketiga), bola baling lelaki (Naib Johan) dan bola baling perempuan (kelima), olahraga (1 emas dan 3 gangsa). Pencapaian keseluruhan pada kejohanan ini adalah Pertama (SK Bukit Bangkong), Kedua (SK Sg Bumbun) dan Ketiga (SK Bukit Tampoi).

Tuesday, October 25, 2022

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (KSSMOA) PERINGKAT KEBANGSAAN 2022

 
Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu. Kejohanan ini berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober 2022 yang mempertandingkan sukan balapan dan padang serta sukan permainan seperti bola sepak, bola baling dan sepak takraw.

SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seramai 6 orang atlet yang terdiri daripada 3 orang atlet lelaki dan 3 orang atlet perempuan. Atlet lelaki adalah atlet sepak takraw yang dianggotai oleh oleh Rosyam Daniel, Mohd Yunus dan Rizky manakala atlet perempuan pula adalah atlet olahraga iaitu Nor Aina, Nur Marissa dan Nur Alisa.

Keputusan akhir kejohanan pada tahun ini adalah atlet kita telah berjaya memperoleh 2 pingat perak dan 1 gangsa. Pingat perak disumbangkan oleh Nor Aina dalam acara lompat jauh dan Nur Alisa dalam acara 100 meter manakala pingat gangsa disumbangkan oleh Nor Aina dalam acara 200 meter.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet dan jurulatih di atas sumbangan pingat yang bermakna untuk negeri Selangor serta berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan. Semoga kejayaan ini akan memberikan inspirasi kepada murid-murid lain untuk berjaya seperti kalian.

Friday, October 7, 2022

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (KSSMOA) PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2022

Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) adalah kejohanan yang khusus diadakan buat Sekolah Khas (Asli) sahaja. Terdapat sebanyak 11 buah Sekolah Kebangsaan (Asli) di negeri Selangor yang terdiri daripada 4 daerah iaitu Hulu Selangor, Kuala Langat, Petaling Utama dan Sepang. Kejohanan pada tahun ini diadakan di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Setelah hampir 2 tahun tidak diadakan disebabkan oleh pandemik Covid-19, KSSMOA telah kembali seperti dahulu. Terdapat 2 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu sukan permainan dan sukan olahraga. Sukan permainan yang dipertandingkan adalah seperti bola sepak, bola baling dan sepak takraw. Manakala sukan olahraga pula terdiri daripada lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, 100 meter dan 200 meter.

Pada tahun ini, SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seramai 12 orang atlet yang terdiri daripada 8 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan. Sukan yang disertai pula adalah sepak takraw, lompat tinggi, lompat jauh, 100 meter dan 200 meter.

Keputusan akhir, atlet SK Bukit Tampoi (A) berjaya memperoleh 4 emas, 2 perak dan 1 gangsa. Pingat emas disumbangkan dalam acara lompat jauh, lompat tinggi, 100 meter dan 200 meter. Pingat perak pula disumbangkan dalam acara sepak takraw dan lompat tinggi. Pingat gangsa disumbangkan dalam acara 200 meter.

Tahniah diucapkan buat adik Aina (2 emas), Nuralisa (1 emas 1 perak), Marisa (1 emas), Surati (1 gangsa) dan sepak takraw B (1 perak). Mereka telah dipilih mewakili negeri Selangor ke Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu. 

Pasukan Sepak Takraw B

Nur Aina & Nuralisa

Surati & Nor Marisa

Thursday, October 24, 2019

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH ORANG ASLI PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019


Kejohanan Sukan Sekolah Orang Asli (KSSMOA) Peringkat Kebangsaan telah diadakan dari 20 hingga 23 Oktober 2019. Pada tahun ini negeri Pahang telah dipilih sebagai tuan rumah kejohanan tersebut. Tempat pertandingan yang dipilih adalah di Gambang, Kuantan.

Pada kejohanan KSSMOA pada tahun ini, SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai balapan bagi kategori lompat jauh dan sepak takraw. Seramai 2 orang pengurus, 1 orang jurulatih, 8 orang atlet lelaki dan 1 orang atlet perempuan.

Keputusan akhir adalah pasukan sepak takraw berjaya menjadi Naib Johan. Tahniah diucapkan kepada pasukan sepak takraw kerana berjaya membawa nama sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan.

Selain daripada itu, adik Ijasrul bin Ahmad telah dipilih sebagai atlet apit terbaik peringkat kebangsaan pada tahun ini. Beliau telah menunjukkan semangat juang yang tinggi di dalam setiap perlawanan yang disertai.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pegawai dan atlet secara keseluruhannya kerana telah membanggakan SK Bukit Tampoi (A). Jasa yang dicurahkan pada hari ini akan menjadi inspirasi kepada murid-murid lain untuk berjaya pada masa hadapan.





 Naib Johan Sepak Takraw KSSMOA Kebangsaan



Atlet Apit Terbaik Sepak Takraw

Monday, October 14, 2019

MAJLIS PENYAMPAIAN PINGAT DAN SIJIL KSSMOA NEGERI SELANGOR 2019



Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli Peringkat Negeri Selangor telah diadakan pada 7 dan 8 Oktober 2019 yang lalu. Atlet-atlet SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai kejohanan tersebut di dalam beberapa acara. Mereka telah mengambil bahagian di dalam acara balapan dan padang serta sepak takraw.

Keputusan yang diperoleh pada kejohanan tersebut adalah seperti berikut. Johan dan Naib Johan dalam pertandingan sepak takraw. Manakala di dalam acara balapan dan padang kita telah memperoleh 2 emas, 2 perak dan 1 gangsa. Acara yang menyumbangkan pingat adalah lompat jauh (L & P), lompat tinggi (L) dan larian 100m (L).

Atlet-atlet yang telah memenangi acara masing-masing akan mewakili negeri Selangor untuk ke kejohanan KSSMOA peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 21-24 Oktober 2019 di Bukit Gambang Resort, Kuantan.

Thursday, October 10, 2019

KSSMOA SELANGOR 2019 : PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW


Pertandingan Sepak Takraw Kejohanan Sekolah-sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) telah diadakan di Dewan Al-Khawarizmi, SK Sijangkang, Banting pada 8 Oktober 2019 (Rabu). SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar 2 pasukan iaitu Pasukan A dan Pasukan B.

Pasukan A terdiri daripada Muhammad Ghafar, Shafiq, Ilashazin dan Nickles manakala Pasukan B pula terdiri daripada Ijasrul, Razanim, Jonathan dan Suhami.

Keputusan akhir Pertandingan Sepak Takraw KSSMOA 2019 adalah seperti berikut. Johan SK Bukit Tampoi (A) - Pasukan B, Naib Johan SK Bukit Tampoi (A) - Pasukan A dan Tempat Ketiga SK Sg. Judah - Pasukan A.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Sepak Takraw, SK Bukit Tampoi (A) kerana telah merangkul Johan dan Naib Johan pada Pertandingan Sepak Takraw KSSMOA 2019. Kedua-dua pasukan akan mewakili negeri Selangor untuk ke pertandingan KSSMOA peringkat kebangsaan.







Monday, October 7, 2019

KARNIVAL SUKAN SEKOLAH ORANG ASLI MAJLIS SUKAN SEKOLAH SELANGOR 2019


Karnival Sukan Sekolah Orang Asli (KSSMOA) Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2019 telah diadakan pada 7 dan 8 Oktober 2019. Karnival sukan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu sukan olahraga dan sukan permainan.

Sukan olahraga diadakan pada 7 Oktober 2019 (Isnin) di Kolej Mara, Banting manakala sukan permainan diadakan pada 8 Oktober 2019 (Selasa) di beberapa buah tempat yang berasingan mengikut jenis sukan.

Terdapat 4 sukan permainan yang dipertandingkan iaitu permainan bola sepak, bola baling, sepak takraw dan ragbi. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar pasukan olahraga dan permainan sepak takraw.

Keputusan awal yang diperolehi adalah keputusan olahraga. Atlet SK Bukit Tampoi (A) telah memenangi beberapa acara seperti berikut. Johan Lompat Jauh (Lelaki) dimenangi oleh Jonathan Joyce, Johan Lompat Jauh (Perempuan) dimenangi oleh Nurain Amira, Naib Johan 100M (Lelaki) dimenangi oleh Abd Ghafar, Naib Johan Lompat Tinggi (Lelaki) dan Tempat Ketiga Lom[at Jauh (Lelaki) dimenangi oleh Ijasrul.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet yang telah memenangi acara masing-masing. Terima kasih kerana telah mengharumkan nama sekolah di dalam bidang sukan. Teruskan kecemerlangan anda semua di peringkat kebangsaan pula.