Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Friday, May 17, 2024

KEM BAKAT SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI (KBSSMOA) TAHUN 2024

Kem Bakat Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KBSSMOA) yang dahulu dikenali sebagai Kejohanan Sukan Murid Orang Asli (KSSMOA) telah diadakan pada 14 dan 15 Mei 2024 bertempat di Bandar Baru Salak Tinggi. Kem yang dianjurkan oleh Unit Bakat dan Sukan PPD Sepang telah disertai oleh 11 buah sekolah Orang Asli daripada 4 buah daerah di negeri Selangor.

Pada tahun ini, sebanyak 4 acara berpasukan dan 6 acara olahraga telah dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, bola baling dan sepak takraw. Manakala bagi acara olahraga terdiri daripada acara lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, 100m, 200m, 4 x 100m dan 4 x 200m. Unit Kokurikulum telah menghantar atlet untuk menyertai hampir ke semua acara kecuali bola sepak.

Hasil daripada penyertaan tersebut, atlet kita telah berjaya membawa pulang 1 perak dan 3 gangsa iaitu pingat perak daripada acara lompat tinggi perempuan dan gangsa daripada acara bola baling lelaki dan perempuan serta sepak takraw. Pencapaian keseluruahan SK Bukit Tampoi dalam KBSSMOA pada tahun ini adalah pada tempat kelima keseluruhan.

Tahniah diucapkan kepada semua Unit Kokurikulum, guru-guru dan atlet-atlet yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat dan seterusnya menaikkan nama sekolah di peringkat negeri Selangor. Walaupun pencapaian tahun ini sedikit menurun, namun kesemua atlet kita berjaya mendapat sekurang-kurangnya sijil penyertaan yang boleh dimasukkan ke dalam sistem PAJSK sekolah.

Friday, April 19, 2024

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2024


Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah telah diadakan pada 19 April 2024 (Jumaat). Kejohanan ini telah disertai oleh 70 orang murid yang terdiri daripada murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6.Para peserta telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori B10 dan B12.

Murid-murid dikumpulkan seawal pukul 8.00 pagi untuk membuat aktiviti senaman ringan melalui aktiviti senamrobik. Kemudian, murid-murid diberikan taklimat oleh En. Ismail bin Ibrahim selaku penyelaras kejohanan dan seterusnya mereka dibawa ke pintu pagar utama untuk pemulaan larian.

Pada pukul 8.20 pagi para peserta dilepaskan secara berperingkat dengan didahului dengan murid perempuan dan diikuti oleh murid lelaki. Acara pelepasan dilakukan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Jarak larian adalah sejauh 3 km melalui KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong.

Para peserta perlu melalui terowong, jalan berbukit, jalan berlopak serta melalui kebun getah dan kelapa sawit. Guru-guru pula ditugaskan untuk mengawal lalu lintas serta "check point". Setiap peserta perlu melalui semua "check point" dan mengambil penanda sebagai bukti peserta telah melalui tempat tersebut. Jumlah penanda yang perlu dikumpulkan adalah 4 unit.

Peserta pertama yang sampai ke garisan penamat adalah adalah adik Nur Farisa (Tahun 4) dengan catatan masa 28 minit. Larian telah selesai setangah jam kemudian. Seterusnya murid-murid dibenarkan untuk rehat di kantin sekolah. Majlis penutupan telah diadakan selepas waktu rehat di kantin sekolah. Penyempaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A).

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang berjaya mendapat pingat. Mereka akan mewakili sekolah untuk ke peringkat daerah yang dijangka diadakan pada 24 dan 25 Mei 2024 bertempat di Bagan Lalang, Sepang. Teruskan kecemerlangan kalian untuk mengharumkan nama sekolah pula.

Thursday, November 23, 2023

TAHNIAH NUR AINA BATRISYIA BINTI ABDUL SANI

 

Tahniah diucapkan kepada adik Nur Aina Batrisyia binti Abdul Sani kerana telah berjaya merangkul pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 14 hingga 18 November 2023. Beliau telah mengharumkan nama SK Bukit Tampoi (A) kerana satu-satunya atlet negeri Selangor yang merangkul emas pada kejohanan tersebut. Kontinjen negeri Selangor menduduki tempat ketiga secara keseluruhan pada kejohanan tersebut.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan penyertaan daripada 7 buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. Sukan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut adalah seperti permainan bola sepak, bola baling, sepak takraw dan olahraga.

Dalam olahraga pula dibahagikan kepada beberapa acara iaitu larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat jauh dan lompat tinggi. SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar atlet untuk acara sepak takraw, lontar peluru dan lompat tinggi. Hanya adik Aina sahaja yang berjaya membawa pulang pingat untuk sekolah dalam acara lontar peluru. Tahniah diucapkan kepada adik Aina kerana berjaya mengalahkan atlet-atlet daripada negeri lain.

Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat untuk murid-murid lain agar dapat mencontohi kejayaan beliau dalam acara sukan. Diharapkan agar pihak sekolah dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti untuk mengharumkan nama sekolah di kemudian hari.

Friday, October 13, 2023

HARI SUKAN NEGARA 2023


Hari Sukan Negara yang dilaksanakan pada setiap minggu kedua bulan Oktober telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A) pada 13 Oktober 2023 (Jumaat). Semua murid dan guru terlibat secara langsung di dalam program tersebut.

Aktiviti yang dilaksanakan pada HSN pada tahun ini adalah aktiviti senamrobik. Tetapi pada kali ini semua murid dan guru melakukan senamrobik dengan menonton di saluran maya menggunakan televisyen pintar.

Sebelum aktiviti senamrobik, satu majlis perasmian telah diadakan yang dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). Dalam ucapan beliau mengingatkan agar semua murid dan guru sentiasa mengekalkan kesihatan fizikal dan mental agar dapat terus belajar dan bekerja dengan penuh iltizam dan dedikasi.

Di seluruh negara, HSN berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober 2023. Ini bermakna semua sekolah khususnya boleh melaksanakan program HSN ini dalam tempoh yang diberikan. Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk memastikan murid dan guru kekal sihat sejahtera selalu.

Thursday, October 5, 2023

SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2023


Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli telah diadakan pada 3 dan 4 Oktober 2023 yang telah diadakan di Kuala Langat. Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini telah disertai oleh 11 buah Sekolah Orang Asli (SOA) di negeri Selangor.

Pertandingan yang diadakan meliputi sukan bola baling, bola sepak dan sepak takraw serta olahraga bagi murid sekolah rendah. SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai pertandingan bola baling, sepak takraw dan olahraga. Seramai 20 orang murid menyertai pertandingan bola baling yang terdiri daripada pasukan lelaki dan perempuan. Manakala 2 pasukan sepak takraw yang terdiri daripada Pasukan A dan Pasukan B.

Selain daripada itu, pihak sekolah juga turut menghantar pasukan olahraga yang terdiri daripada 10 orang murid lelaki dan perempuan.  Mereka telah menyertai acara larian 100m, 200m, lontar peluru, lompat tinggi dan lompat jauh. Pertandingan bola baling dan sepak takraw telah diadakan pada 3 Oktober dan olahraga pada 4 Oktober.

Keputusan akhir kejohanan pada kali ini adalah seperti berikut. Sepak takraw Regu A (Naib Johan) dan Regu B (Ketiga), bola baling lelaki (Naib Johan) dan bola baling perempuan (kelima), olahraga (1 emas dan 3 gangsa). Pencapaian keseluruhan pada kejohanan ini adalah Pertama (SK Bukit Bangkong), Kedua (SK Sg Bumbun) dan Ketiga (SK Bukit Tampoi).