Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, June 26, 2023

MESYUARAT AGUNG PIBG SK BUKIT TAMPOI (A) KALI KE-30 TAHUN 2023

Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-30 bagi tahun 2023 telah diadakan pada 24 Jun 2023 (Sabtu). Seramai 52 orang ibu bapa dan guru-guru hadir pada mesyuarat kali ini. Turut hadir pada mesyuarat pada kali ini adalah Tok Batin Awang bin Jantan, Batin KOA Bukit Dugang dan Tok Batin Osman bin Abdullah, Batin KOA Kolam Air Bangkong.

Majlis dimulai dengan ucapan Guru Besar, Yang Dipertua PIBG dan ucapan perasmian. Mesyuarat tahun ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Luqman bin Abdullah, Penolong Pegawai PPD Sepang yang diundang oleh PIBG. Terima kasih diucapkan kepada PPD Sepang kerana sudi merasmikan mesyuarat pada kali ini. 

Sejurus selepas acara perasmian, mesyuarat dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi mesyuarat. Diikuti dengan pengesahan minit mesyuarat lalu dan perkara berbangkit. Kemudian bendahari PIBG membentangkan kewangan PIBG bagi tahun 2022/2023. Seterusnya mesyuarat diteruskan dengan perbincangan usul. Pada tahun ini, hanya 1 usul yang dikemukan oleh ibu bapa iaitu usul tentang menyediakan tempat menunggu buat ibu bapa yang mengambil anak dari sekolah.

Di akhir mesyuarat, diadakan pelantikan Ahli Jawatankuasa PIBG yang baharu bagi menggantikan AJK PIBG 2022/2023 yang telah dibubarkan. Ahli Jawatankuasa baharu ini diketuai oleh En. Chairi selaku Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) 2023/2024. Semoga AJK PIBG yang baharu ini dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu pihak sekolah menyelesaikan isu yang berbangkit. Tahniah diucapkan kepada semua AJK yang baharu dilantik.

Tuan Haji Luqman bin Abdullah
(Penolong Pegawai PPD Sepang)

En. Ilam bin Senin
(YDP PIBG)

En. Mohd Fadzli bin Mansor
(Guru Besar SK Bukit Tampoi (A)

En. Ismail bin Ibrahim
(Pembaca Doa)

En. Muhammad Yazie bin Rosli
(Juruacara Majlis)

Cenderamata PIBG kepada AJK Ibu Bapa
Cenderamata PIBG kepada AJK Guru 
Cabutan Bertuah

LAWATAN PEGAWAI PERHUBUNGAN SEKOLAH 2023

Lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) telah dilakukan pada 22 Jun 2023 (Khamis). 2 orang pegawai PPS dari Balai Polis Dengkil telah hadir bagi memberikan kata-kata semangat agar murid-murid kekal hadir ke sekolah. Aktiviti ini diadakan adalah untuk memberi ingatan agar murid-murid gemar datang ke sekolah. Mereka juga diberikan galakan untuk sentiasa mengekalkan disiplin diri yang tinggi dan sentiasa jujur ketika melakukan sebarang aktiviti. Semoga dengan kehadiran pegawai PPS ini dapat membantu meningkatkan kehadiran di sekolah ini.

KEJOHANAN MERENTAS DESA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023

Kejohanan Merentas Desa SK Bukit Tampoi (A) bagi tahun 2023 telah diadakan pada 23 Jun 2023 (Jumaat). Ini merupakan kejohanan merentas desa yang pertama selepas 2 tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik melanda negara. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kejohanan ini dapat diadakan kembali di sekolah ini.

Sehari sebelum kejohanan ini diadakan, murid-murid telah diberikan latihan mengenal laluan yang akan mereka lalui. Pada pagi sebelum larian, semua warga sekolah telah bersama-sama mengikuti aktiviti gogorama iaitu aktiviti memanaskan badan. Sejurus selepas itu, murid-murid dibawa ke garisan permulaan untuk memulakan acara. 

Acara perasmian telah dilakukan oleh En. Muhammad bin Ismail, GPK Hal Ehwal Murid. Murid-murid dilepaskan secara bergilir-gilir bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Mereka melalui laluan di KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong. Di sepanjang laluan, mereka diawasi oleh guru-guru yang diletakkan di beberapa check point yang telah ditetapkan.

Larian yang mengambil masa lebih kurang 30 minit ini menyaksikan telah berakhir dengan jayanya tanpa kemalangan. Semua murid dapat menghabiskan larian dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada Unit Kokurikulum kerana berjaya menganjurkan kejohanan merentas desa pada kali ini. Semoga kita bertemu kembali pada tahun hadapan.

Wednesday, June 7, 2023

PENDIDIKAN STEM BAGI KOMUNITI ORANG ASLI 2023

 

Pendidikan STEM bagi Komuniti Orang Asli adalah program yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 6 dan 7 Jun 2023 yang bertempat di SK Bukit Tampoi (A). Seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 5 dan 6 telah menyertai program tersebut.

Mereka telah dibahagikan kepada 2 kumpulan yang diselia oleh 6 orang fasilitator dan 11 orang penuntut Sarjana Sains. Kumpulan pertama akan melaksanakan projek Biomimicry yang bertempat di bilik komputer dan kumpulan kedua akan melaksanakan projek kereta solar di bilik Sains.

Murid-murid berasa sangat teruja kerana diberi peluang untuk mereka cipta robot Biomimicry dan kereta solar mereka sendiri. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh fasilitator, akhirnya mereka berjaya menyiapkan projek dan dapat membuat uji lari terhadap projek masing-masing.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pensyarah, fasilitator dan penuntut Sarjana Sains kerana memberi peluang kepada anak murid kami untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam diri mereka. Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan untuk pendidikan STEM yang lain pula.

PELANCARAN BULAN BAHASA 2023


Pelancaran Bulan Bahasa 2023 telah dibuat pada 6 Jun 2023 (Selasa). Program ini berlangsung dari 6 Jun hingga 23 Jun 2023. Pelancaran Bulan Bahasa ini telah disempurnakan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) di Pusat Sumber Sekolah.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah dirancang di sepanjang program ini berlangsung. Di antara aktiviti yang dirancang adalah teka silang kata, mencari perkataan dan pelbagai aktiviti menarik yang lain. Semoga dengan Bulan Bahasa ini dapat menarik minat murid untuk membaca dan meningkatkan minat untuk belajar bahasa dengan betul.