Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, December 4, 2018

PENGAMBILAN PELAPORAN PENTAKSIRAN SEKOLAH RENDAH 2018


Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2018 telah diumumkan pada 29 November 2018 (Khamis) di SK Bukit Tampoi (A). Suatu majlis penyerahan keputusan UPSR, Pentaksiran Psikometrik, Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan sijil berhenti sekolah telah dibuat pada tarikh yang sama. Pada majlis tersebut Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar SKBTA) telah menyampaikan amanat beliau kepada semua murid Tahun 6 yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil daripada PPD Sepang, YDP PIBG, GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid, Setiausaha UPSR dan guru-guru Tahun 6. Keputusan keseluruhan pada tahun ini sedikit menurun tetapi ada peningkatan bagi beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.

Tahniah kepada calon yang berjaya dan jangan berputus asa bagi yang belum menguasai tahap minimum. Ini baru permulaan bagi suatu perjalanan yang masih jauh. Masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan pada masa akan datang. Teruskan usaha dan perjuangan di peringkat sekolah menengah pula. Semoga masa depan anda semua berjaya mengejar cita-cita masing-masing.









Thursday, November 22, 2018

MAJLIS ASPRESIASI 2018


Majlis Aspresiasi yang dahulunya dikenali sebagai Hari Anugerah Kecemerlangan telah berjaya diadakan di Dewan SK Bukit Tampoi (A). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Adhif Syan bin Abdullah (ADUN Dengkil). Turut hadir ialah En. Kenneth Lee (wakil Majlis Perbandaran Sepang), En. Mohd. Rosli bin Badri (wakil PPD Sepang) dan En. Ilam bin Senin (YDP PIBG). 

Majlis dimulai dengan ucapan Guru Besar yang diikuti oleh ucapan YDP PIBG. Seterusnya ucapan perasmian oleh YB Adhif Syan bin Abdullah. Di dalam ucapan beliau telah berjanji untuk memberikan bantuan kepada sekolah dan kampung bagi menaiktaraf kemudahan sekolah.

Sejurus selepas ucapan perasmian, beliau telah sudi untuk menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid-murid prasekolah. Kemudian beliau sempat beramah-mesra dengan para tetamu dan bergambar bersama guru-guru dan staf serta peserta Kedap.


Para Tetamu Jemputan


Ucapan Guru Besar


Ucapan YDP PIBG


Ucapan ADUN Dengkil


Penyampaian Sijil dan Hadiah oleh ADUN Dengkil








Penyampaian Sijil dan Hadiah oleh Wakil MP Sepang



Penyampaian Sijil dan Hadiah oleh Wakil PPD Sepang



Persembahan Murid

HI-TEA GURU & STAF SKBT(A) 2018


Sepanjang tahun 2018, pentadbir, guru-guru dan staf sokongan telah bertungkus-lumus menjayakan setiap program dan aktiviti di SK Bukit Tampoi (A) tanpa berkira masa, tenaga dan wang yang telah diberikan. 

Bagi mengurangkan tekanan dan menghiburkan hati semua, Kelab Kebajikan Guru dan Staf telah menganjurkan sebuah Majlis Hi-Tea di Restoran Syabu-Syabu yang terletak di Cyberjaya. Memandangkan jumlah guru dan staf tidak ramai, maka pihak kelab hanya menempah sebahagian daripada restoran terbabit.

Restoran yang menyajikan makanan steamboat dan barbeque ini telah diadakan bermula pada pukul 2.00 petang hingga pukul 5.00 petang. Sebagai menghargai sumbangan dan jasa guru-guru dan staf, pihak kelab telah menyediakan beberapa buah hadiah.

Walaupun majlis yang diadakan ini sederhana, namun tetap meriah dengan semua pihak memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan majlis tersebut. Terima kasih kepada kepimpinan Kelab Kebajikan Guru dan Staf kerana telah berjaya mengadakan majlis tersebut.









PROGRAM HARI KANAK-KANAK & SLAMAT AIK JADIK 2018


Program Hari Kanak-kanak telah dilaksanakan oleh SK Bukit Tampoi (A) pada 21 November 2018 (Rabu) di Dewan Sekolah. Tujuan program ini diadakan adalah untuk meraikan dan menghargai sumbangan kanak-kanak dengan memberikan kek dan hadiah kepada semua murid.

Dalam waktu yang sama sambutan Slamat Aik Jadik juga turut diadakan bagi meraikan murid-murid yang menyambut hari lahir bagi bulan Julai hingga Disember. Suatu acara memotong kek yang dibuat di dalam majlis tersebut. Kemudian, majlis penyampaian hadiah bagi Tokoh Murid, Pengawas Sekolah, Ketua dan Penolong Kelas serta Kehadiran Murid 100% telah diadakan.

Di samping itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) yang merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah sudi menyumbangkan hadiah, makanan dan pakaian seragam sekolah kepada 130 orang murid sekolah ini. Pakaian seragam sekolah meliputi 2 pasang baju dan seluar, 1 pasang kasut dan stokin serta 1 buah beg dan alat tulis.

Di akhir program murid-murid dihiburkan pula oleh persembahan badut yang dijemput khas oleh pihak sekolah. Murid-murid berasa amat gembira kerana buat pertama kali disajikan dengan persembahan badut. Selain persembahan, semua murid diberi sebiji belum oleh badut tersebut.

Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada pihak penaja, guru-guru, staf sokongan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Pengorbanan semua pihak bagi memastikan program ini berjaya dilaksanakan.