Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Ko-Akademik. Show all posts
Showing posts with label Ko-Akademik. Show all posts

Friday, July 5, 2024

KARNIVAL PENDIDIKAN MURID ORANG ASLI DAN PERIBUMI 2024


Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Negeri Selangor tahun 2024 bawah Inisiatif #57: Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di SK Bukit Lanjan, Damansara Perdana. Sebanyak 11  buah sekolah murid Orang Asli di Selangor telah menyertai karnival tersebut.

SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai beberapa acara yang dipertandingkan iaitu syair, nyanyian solo, nyanyian duet dan tarian tradisional yang melibatkan 12 orang murid. Oleh kerana tempat pertandingan berada dalam kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu-lintas. Pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk bermalam di rumah penginapan yang disewa agar para peserta tidak lewat untuk hadir ke tempat pertandingan.

Walaupun penyertaan pada tahun ini hanya saguhati, namun pencapaian pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Semoga penyertaan pada tahun hadapan lebih baik daripada tahun ini. Terima kasih kepada semua jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menyediakan segala persiapan yang diperlukan untuk ke karnival pada tahun ini. Teruskan usaha kalian agar membuahkan hasil pada tahun akan datang.

Terima kasih kepada Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di atas penganjuran karnival ini kerana memberi peluang kepada murid-murid khususnya murid Orang Asli untuk menyertai aktiviti ko-akademik seperti murid di aliran perdana. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada SK Bukit Lanjan yang menjadi tuan rumah kepada karnival pada tahun ini.

Sunday, June 30, 2024

PERTANDINGAN TECH4ALL 2024

Pertandingan Tech4All merupakan pertandingan robotik yang dianjurkan oleh Unit Sekolah Jenis Khas (USJK), JPN Selangor pada 20 Jun 2024. Pertandingan ini terbuka kepada semua 11 buah Sekolah Murid Orang Asli Selangor yang diadakan di Pusat latihan JAKOA Kluang, Johor.

SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar 3 orang murid dan 1 orang guru pengiring. Di sana mereka diberikan bengkel tentang pembinaan robotik dan cara mengendalikan robotik tersebut. Kemudian para peserta diberikan masa untuk menyediakan kod untuk mengoperasikan kit robotik tersebut. Seterusnya mereka perlu menggerakkan kit robotik tersebut melalui peta yang disediakan dan melakukan beberapa tugasan lain.

Walaupun pasukan sekolah tidak berjaya mendapat tempat dalam pertandingan itu, namun pengalaman yang ditimba semasa mengikuti bengkel tersebut amat bermakna dan dapat diseberkan kepada murid-murid yang lain. Semoga bengkel ini dapat membuka jalan kepada murid-murid betapa pentingnya kemahiran STEM ketika ini.

KARNIVAL FITRAH MURID ORANG ASLI (KAFOA) & KARNIVAL FITRAH KASIH (KAFIKA) SJK TAHUN 2024M/1445H

 

Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA) dan Karnival Fitrah Kasih (KAFIKA) SJK Tahun 2024M/1445H peringkat daerah Sepang telah diadakan pada 20 Jun 2024. Karnival yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran PPD Sepang telah diuruskan oleh SK Bukit Tampoi (A) sebagai tuan rumah pertandingan.

KAFOA telah disertai oleh 3 buah sekolah Murid Orang Asli daerah Sepang manakala KAFIKA pula telah disertai oleh 7 buah sekolah daripada SJK(C) dan SJK(T). Acara yang dipertandingkan pada karnival ini adalah seperti tilawah Al-Quran, hafazan, azan dan iqamah, daei cilik dan nasyid. SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai semua acara yang dipertandingkan.

Impak daripada pertandingan yang disertai oleh SK Bukit Tampoi (A), kita telah mendapat johan bagi 2 kategori iaitu daei cilik kategori lelaki dan perempuan. Tahniah buat adik Putra Adyrian dan Puteri Syamimi Diana dari kelas 5 Dahlia. Selain daripada itu, pasukan kita juga memenangi tempat kedua acara azan dan iqamah dan tempat ketiga acara tilawah, hafazan dan nasyid.

Tahniah buat pasukan sekolah yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah dalam Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA) tahun 2024. Semoga kita dapat memperbaiki kelemahan kita pada tahun ini adan mencapai kecemerlangan yang lebih baik pada tahun hadapan. Terima kasih juga kepada para penyumbang Pusat Zakat Selangor dan Pejabat Parlimen Sepang serta guru-guru dan staf SK Bukit Tampoi (A) yang telah bertungkus-lumus menjayakan karnival tahun ini.


Thursday, November 3, 2022

PERTANDINGAN "ACTION SONG" SEKOLAH MURID ORANG ASLI PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2022

 
Pertandingan "Action Song" Sekolah Murid Orang Asli Peringkat Negeri Selangor 2022 telah diadakan pada 2 November 2022 (Rabu) di Dewan Terbuka SK Bukit Bangkong (A). Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini telah menyaksikan sebanyak 11 buah Sekolah Orang Asli (SOA) di negeri Selangor telah mengambil bahagian.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Pn. Razilah Binti Mohd Rafee (Ketua Penolong Pengarah Kanan) dari Unit Sekolah Jenis Khas, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Turut hadir memeriahkan pertandingan ialah En. Mohd Firdaus Ayak Bin Abdullah (Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Harian) Kementerian Pendidikan Malaysia, En. Shaiful Kahar (JPN), En. Ishak Bin Abdullah (Ketua Pengawai PPD Sepang), pegawai-pegawai dari JPN Selangor dan PPD Sepang.

Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid Sekolah Orang Asli di Selangor yang berumur 9 tahun ke bawah. Pertandingan ini telah dihakimi oleh guru-guru Bahasa Inggeris yang berkaliber dalam bidang masing-masing. Tempat pertama telah dimenangi oleh SK Bukit Bangkong (A), tempat kedua oleh SK Bukit Tadom dan tempat ketiga oleh SK (A) Bukit Cheding. SK Bukit Tampoi (A) hanya berjaya mendapat hadiah sagutihati sahaja pada kali ini. Ini memberikan suntikan motivasi untuk bekerja lebih keras pada masa akan datang. Tahniah diucapkan kepada semua sekolah yang telah berjaya.

Pertandingan ini telah banyak mencungkil bakat murid-murid khususnya Orang Asli yang boleh bercakap dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Semoga pertandingan seperti ini dalam melahirkan tokoh Orang Asli yang berwibawa pada masa hadapan. Kami juga berharap pertandingan seperti ini dapat dikembangkan kepada pertandingan lain seperti Bicara Berirama, Kalam Jamai' dan Robotik.

Terima kasih diucapkan kepada SK Bukit Bangkong (A) di atas penganjuran yang sangat meriah dan gemilang pada tahun ini. Sekalung syabas juga diucapkan kepada KPM, JPN dan PPD yang turut turun padang mengaksikan pertandingan ini dari mula hingga selesai. Terima kasih juga kepada semua Guru Besar dan GPK Kokurikulum yang hadir menyokong pertandingan pada kali ini.