Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label JAKOA. Show all posts
Showing posts with label JAKOA. Show all posts

Sunday, June 30, 2024

PERTANDINGAN TECH4ALL 2024

Pertandingan Tech4All merupakan pertandingan robotik yang dianjurkan oleh Unit Sekolah Jenis Khas (USJK), JPN Selangor pada 20 Jun 2024. Pertandingan ini terbuka kepada semua 11 buah Sekolah Murid Orang Asli Selangor yang diadakan di Pusat latihan JAKOA Kluang, Johor.

SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar 3 orang murid dan 1 orang guru pengiring. Di sana mereka diberikan bengkel tentang pembinaan robotik dan cara mengendalikan robotik tersebut. Kemudian para peserta diberikan masa untuk menyediakan kod untuk mengoperasikan kit robotik tersebut. Seterusnya mereka perlu menggerakkan kit robotik tersebut melalui peta yang disediakan dan melakukan beberapa tugasan lain.

Walaupun pasukan sekolah tidak berjaya mendapat tempat dalam pertandingan itu, namun pengalaman yang ditimba semasa mengikuti bengkel tersebut amat bermakna dan dapat diseberkan kepada murid-murid yang lain. Semoga bengkel ini dapat membuka jalan kepada murid-murid betapa pentingnya kemahiran STEM ketika ini.

Wednesday, November 30, 2022

BANTUAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH BAGI MURID TAHUN 1


Bantuan Pakaian Seragam Sekolah bagi murid Tahun 1 telah diserahkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada 30 November 2022 (Rabu) di Pusat Sumber SK Bukit Tampoi (A). Penyerahan ini telah disampaikan oleh pegawai JAKOA.

Seramai 13 orang murid Tahun 1 yang terlibat. Mereka menerima sepasang kasut dan stokin serta sepasang pakaian seragam sekolah. Ini adalah sebahagian daripada sumbangan yang diberikan kepada murid-murid sekolah oleh JAKOA.

Terima kasih diucapkan kepada JAKOA kerana telah memberikan bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid-murid Tahun 1 SK Bukit Tampoi (A). Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa untuk membeli peralatan sekolah anak-anak mereka.

Monday, October 17, 2022

KUNJUNG BANTU JAKOA SEPANG 2022

 

Kunjung Bantu Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Cawangan Sepang telah dilakukan pada 17 Oktober 2022 (Isnin). Dua orang pegawai JAKOA Sepang yang hadir ialah En. Mohamed Rasaki bin Abdul Majid dan Pn. Nurfazlizah binti Mohamad Sayed. Mereka datang ke SK Bukit Tampoi (A) pada hari ini adalah untuk melihat kehadiran murid-murid Orang Asli ke sekolah.

Sebelum itu, pegawai JAKOA telah membuat kunjungan ke beberapa buah kampung untuk bertemu dengan murid-murid yang tidak hadir ke sekolah. Mereka telah diberi motivasi untuk hadir ke sekolah pada minggu seterusnya. Hasil kunjungan tersebut, kehadiran murid ke sekolah sudah ada peningkatan.

Kerjasama di antara pihak JAKOA dan SK Bukit Tampoi (A) dapat diperkukuhkan lagi dengan mengadakah lebih banyak kunjungan ke rumah murid-murid yang tidak hadir ke sekolah. Melalui kunjungan ini, pelbagai maklumat dapat diperoleh untuk membantu pihak sekolah mengenal pasti masalah yang memerlukan bantuan segera.

Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Setakat hari ini, impak yang ditunjukkan oleh murid-murid sangat positif. Harapan pihak sekolah agar kehadiran murid-murid dapat dikekalkan sehingga penghujung sesi persekolahan tahun ini. Terima kasih kepada JAKOA Sepang kerana telah membantu pihak sekolah mengatasi masalah ketidakhadiran murid di sekolah ini.

Thursday, September 8, 2016

MAJLIS PENUTUPAN MINI ASRAMA 2016

Ucapan Penutupan oleh Guru Besar SK Bukit Tampoi (A)


Setelah 5 hari 4 malam berkampung di SK Bukit Tampoi (A), maka berakhirlah sudah Program Mini Asrama 2016 yang telah bermula pada hari Ahad yang lepas. Seramai 21 orang murid Tahun 6 yang telah terlibat dalam program tersebut. Ribuan terima kasih kepada para pentadbir, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang telah memberikan kerjasama yang baik semasa menjalankan program ini.

Murid Tahun 6 yang mengikuti program


Terima kasih juga diucapkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tampoi (A) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di atas sumbangan kewangan bagi menjayakan program yang sudah tentu memerlukan dana yang besar untuk membiayai peruntukan makanan dan minuman sepanjang program ini. Tanpa sumber kewangan sudah tentu program ini tidak akan berjaya.

Pn. Siti Najlaa mempengerusikan majlis


Selain daripada itu, ribuan terima kasih kepada para penyumbang peribadi mahupun organisasi yang prihatin dengan kebajikan Orang Asli terutamanya dalam bidang pendidikan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para ibu bapa yang terlibat kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada guru-guru kami untuk menjaga anak-anak tuan puan yang sanggup berjauhan dengan mereka demi kesejahteraan masa depan anak-anak mereka.

Amanat daripada Guru Besar


Besarlah harapan kami agar program yang kita jalankan ini dapat menghasilkan murid yang berdikari, tabah, berdisiplin dan berpelajaran. Matlamat program ini untuk mengekalkan kehadiran 100% bagi murid Tahun 6 sepanjang peperiksaan UPSR berjalan telah tercapai dengan jayanya. Program ini wajar diteruskan lagi demi masa depan Orang Asli yang berpendidikan pada masa akan datang.


Wajah-wajah ceria murid Tahun 6 yang telah berjaya menamatkan program

Sunday, September 4, 2016

PROGRAM MINI ASRAMA DAN RESTU ILMU 2016


Program Mini Asrama adalah sebuah program khusus bagi sekolah Orang Asli bagi memastikan murid datang ke sekolah terutamanya menjelang peperiksaan penting seperti UPSR. Mereka akan ditempatkan di sekolah selama tempoh peperiksaan berlangsung.


Pada tahun ini, seramai 21 orang murid Tahun 6 telah dipilih untuk program tersebut. Pendaftaran adalah pada hari Ahad (4 September 2016). Bersempena dengan program tersebut, pihak sekolah telah mengadakan Majlis Restu Ilmu yang turut dijalankan pada hari yang sama. Majlis ini dijalankan sejurus majlis perasmian Program Mini Asrama.


Majlis perasmian Program Mini Asrama telah disempurnakan oleh Ongen Anak Chinak @ Osman bin Abdullah (Batin KOA Kolam Air Bangkung). Turut hadir bersama beliau ialah Riduan Sia bin Abdullah (Pengerusi JKKK Batu 28, Jenderam Hilir dan Bukit Jenuk). Bersama-sama di dalam majlis tersebut adalah guru besar, guru penolong kanan, guru-guru dan para ibu bapa dan penjaga murid Tahun 6 SK Bukit Tampoi (A).


Dalam majlis tersebut, Tok Batin turut menyampaikan sumbangan daripada YB Tuan Shahrom bin Dato' Sharif (ADUN Dengkil) yang berupa satu set alat tulis kepada semua murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Malangnya Yang Berhormat Tuan Shahrom tidak dapat hadir kerana urusan peribadi.

Wednesday, August 24, 2016

KEM PECUTAN AKHIR UPSR 2016


Kem Pecutan Akhir UPSR 2016 adalah satu inisiatif Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membantu murid-murid Orang Asli meningkatkan pemahaman dan jati diri terutamanya dalam bidang pendidikan. Mereka diberi pendedahan tentang teknik-teknik menjawab soalan UPSR format baharu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang disampaikan oleh guru-guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.


Kem ini telah diadakan di Kem El-Azzhar, Morib selama 3 hari 2 malam bermula pada 23 hingga 25 Ogos 2016. Seramai 5 orang murid SK Bukit Tampoi (A) telah dipilih bersama dengan seorang guru pengiring. Mereka adalah Airil Afizzy, Aizah, Anisya, Fazeliani dan Rani dari kelas Tahun 6 Siantan. Manakala guru pengiring ialah Cikgu Mohd. Firdaus Ayak bin Abdullah.