Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, October 27, 2023

KARNIVAL KOKURIKULUM 2023


Karnival Kokurikulum telah diadakan pada 25 Oktober 2023 (Rabu) bertempat di SK Bukit Tampoi (A). Karnival kokurikulum yang dianjurkan oleh Unit Badan Beruniform Sekolah telah disertai oleh murid-murid daripada Tahun 4, 5 dan 6. 

Dalam karnival tersebut, murid-murid diajar cara mendirikan dan mengemas khemah, latihan kawad kaki, menyediakan masakan rimba dan latihan ikatan dan simpulan. Fasilitator yang dilantik terdiri daripada guru-guru sekolah ini yang telah diberikan kursus oleh IPGM Kampus Bangi.

Sebelum bermulanya aktiviti tersebut, murid-murid diberikan taklimat ringkas oleh Penyelaras Unit Beruniform Sekolah iaitu Pn. Noraida. Kemudian, murid-murid dibahagikan kepada 5 kumpulan campuran Tahun 4, 5 dan 6. Aktiviti pertama yang dilakukan adalah aktiviti memasang dan mengemas khemah. Setiap kumpulan diberikan 2 buah khemas iglu.

Pada aktiviti kedua, murid-murid menjalani latihan kawad kaki yang dilatih oleh Pn. Nurbakyah dan Pn. Roz'ain Jannah. Mereka diajar cara berkawad asas aiaitu kawad statik (setempat). Seterusnya, mereka beralih kepada aktiviti masakan rimba. Dalam aktiviti tersebut, murid-murid diajar untuk menghidupkan unggun api. Kemudian, mereka diajar cara untuk menghasilkan roti lilit yang dibakar menggunakan unggun api tadi.

Selain daripada itu, mereka turut diajar cara memasak telur di dalam tanah. Pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh murid untuk menghidupkan api dan ada murid yang berjaya menghasilkan roti lilit mereka sendiri.

Aktiviti terakhir adalah aktiviti ikatan dan simpulan yang diajar oleh Cikgu Firdaus Ayak. Beliau telah mengajar beberapa jenis ikatan dan penggunaan ikatan tersebut. Seterusnya, murid-murid diarahkan untuk menghasilkan sebuah gajet iaitu rak pinggan.

Karnival Kokurikulum ini ditutup dengan majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). Hadiah telah diagihkan kepada semua murid yang terlibat dengan program ini. Tahniah diucapkan buat Unit Beruniform Sekolah kerana telah berjaya menganjurkan karnival ini dengan jayanya. Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang.  

Aktiviti Mendirikan Khemah

Aktiviti Kawad Kaki


Aktiviti Masakan Rimba

Aktiviti Ikatan & Simpulan

Majlis Penyampaian Hadiah

No comments:

Post a Comment