Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, May 11, 2024

MESYUARAT AGUNG PIBG SK BUKIT TAMPOI (A) KALI KE-31 TAHUN 2024


Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-31 tahun 2024 telah diadakan pada 11 Mei 2024 (Sabtu) di makmal Sains SK Bukit Tampoi (A). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En. Yusoh a/l Alip selaku Ahli Majlis Zon Arked, Dengkil. Beliau merupakan Ahli Majlis yang berketuruan Orang Asli suku Temuan.Selain daripada itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Tok Batin KOA Bukit Tampoi dan Kolam Air Bangkong, Pengerusi JKKK KOA Kolam Air Bangkong serta wakil daripada Jakoa Daerah Sepang. 

Mesyurat yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu dimulai dengan ucapan daripada En. Mohd Fadzli bin Mansor Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Kemudian diikuti oleh ucapan daripada En. Chairi Ersyad bin Arshad Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) dan diakhiri dengan ucapan perasmian oleh En. Yusoh a/l Alip Ahli Majlis Zon Arked, Dengkil.

Sejurus selepas ucapan perasmian, mesyuarat agung PIBG pun dimulai dengan ucapan pengerusi iaitu YDP PIBG. Seterusnya diikuti oleh pengesahan minit mesyuarat agung tahun lepas dan pembentangan penyata kewangan PIBG. Pada akhir mesyuarat pengerusi telah membaca tiga usul yang telah dicadangkan iaitu mengekalkan ahli jawatankuasa PIBG yang sedia ada, melantik En. Yusoh a/l Alip dan En. Mansor bin Binjen sebagai ahli jawatankuasa PIBG serta menebang pokok mati di sekitar kawasan sekolah. Semua usul telah diterima dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa PIBG untuk tindakan selanjutnya.

Setelah selesai mesyuarat agung, acara yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa iaitu acara cabutan bertuah. Hadiah cabutan bertuah pada kali ini ditaja sepenuhnya oleh PIBG. Sebanyak 28 buah hadiah cabutan bertuah yang  disediakan untuk diberikan kepada ibu bapa yang bertuah. Mesyuarat telah selesai lebih kurang pukul 11.00 pagi.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Majlis Zon Arked kerana sudi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Tampoi (A) kali ke-31 tahun 2024. Selain daripada itu, ucapan terima kasih juga ditujukan buat ahli jawatankuasa PIBG yang telah berjaya mengekalkan jawatan sedia ada dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan telus. Tidak dilupakan juga kepada Tok-tok Batin, Pengerusi JKKK, wakil Jakoa, guru-guru dan ibu bapa yang hadir untuk menjayakan mesyuarat agung pada tahun ini. Semoga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan. 

No comments:

Post a Comment