Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)
Showing posts with label Hari Guru. Show all posts
Showing posts with label Hari Guru. Show all posts

Friday, May 17, 2024

HARI GURU 2024

Sambutan Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Pada tahun ini, SK Bukit Tampoi (A) telah meraikan guru-guru di sekolah pada tarikh tersebut. Sambutan yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan (KKGK) telah diadakan dengan sederhana di sekolah. Turut dijemput adalah Naib Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) yang mewakili YDP PIBG.

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah dimulai dengan majlis perasmian Hari Guru yang dirasmikan oleh En. Yusoh a/l Alip selaku NYDP PIBG SK Bukit Tampoi (A). Sebelum dari itu, dibacakan ucapan daripada Menteri Pendidikan Malaysia dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Teks ucapan dibacakan oleh Pn. Noresah binti Sapari (GPK Pentadbiran) dan Pn. Siti Zahara binti Hayat (GPK Hal Ehwal Murid). Diikuti pula dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar.

Sejurus selepas ucapan perasmian, semua guru menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" dan melafazkan ikrar guru. Lafaz ikrar guru diketuai oleh En. Muhamad Yazie bin Rosli. Selepas selesai majlis perasmian, guru-guru bersiap sedia untuk menyertai aktiviti sukaneka yang telah disediakan oleh KKGK. Di antara aktiviti sukaneka yang dijalankan adalah seperti "Rantai Cikgu Putus", "Alamak...Panjangnya", "Baling-baling Sayang" dan "Derasnya Air".

Kemudian, guru-guru dijemput ke jamuan makan di kantin sekolah yang ditaja sepenuhnya oleh KKGK. Selepas makan, guru-guru didendangkan pula dengan persembahan nyanyian oleh murid-murid mengikut kelas masing-masing. Pelbagai gaya persembahan dipersembahkan oleh murid-murid. Persembahan yang paling menarik perhatian guru-guru adalah persembahan dikir barat yang disampaikan oleh murid-murid tahun 5 Dahlia. Persembahan ini mendapat bimbingan daripada guru kelas mereka iaitu Pn. Sanihah binti Sulaiman.

Pada penghujung sambutan, murid-murid berpusu-pusu untuk menyampaikan hadiah kepada guru-guru mereka. Penyampaian hadiah ini adalah sumbangan ikhlas ibu bapa buat guru-guru yang telah mengajar anak-anak mereka selama ini. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa yang menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh guru-guru di sini. Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia, "Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara MADANI".

Tuesday, May 16, 2023

HARI GURU SK BUKIT TAMPOI (A) 2023

 

Sambutan Hari Guru pada tahun 2023 telah disambut secara sederhana kerana pihak sekolah tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan disebabkan oleh cuaca panas melampau pada ketika ini. Oleh yang demikian, bagi meraikan guru-guru di sekolah, Kelab Guru dan Staf mengadakan jamuan makan dan sumbangan hadiah sempena Hari Guru ini. Guru popular kategori lelaki dinobatkan kepada Cikgu Muhammad Fairuz manakala guru popular kategori perempuan pula disandang oleh Cikgu Nurbakyah.

Namun, pertandingan mewarna turut diadakan untuk murid-murid bagi melahirkan penghargaan kepada guru-guru mereka. Pertandingan mewarna ini hanya dilakukan di dalam kelas masing-masing bagi mematuhi SOP yang diarahkan. Hadiah turut diberikan kepada murid-murid bagi pertandingan mewarna paling cantik.

Selain daripada itu, ada juga murid-murid yang menyediakan hadiah buat guru-guru yang mereka sayangi. Walaupun sedikit namun itu bukanlah ukuran kebahagian guru-guru di Sekolah Orang Asli. Guru-guru sangat mengharapkan agar murid-murid di sini berjaya dalam pelajaran dan dapat meneruskan pengajian sehingga peringkat tertinggi. Pihak SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini dan di seluruh Malaysia.  






SELAMAT HARI GURU 2023

 

Wednesday, May 18, 2022

WARNA-WARNI HARI GURU 2022

 

HARI GURU 2022

 

Tanggal 16 Mei 2022 merupakan tarikh keramat bagi semua guru di Malaysia kerana pada hari tersebut merupakan Hari Guru. Memandangkan pada tarikh tersebut adalah cuti ganti bagi Hari Wesak maka SK Bukit Tampoi (A) telah mengadakannya pada 17 Mei 2022 (Selasa).

Sambutan Hari Guru dimulakan dengan nyanyian 3 buah lagu rasmi diikuti dengan ucapan wakil murid dan ucapan Guru Besar. Kemudian lafaz ikrar Hari Guru telah diketuai oleh Cikgu Yazie dengan diikuti oleh semua guru yang lain. Tema Hari Guru pada tahun ini adalah "Guru Tunjang Keluarga Sejahtera".

Ini merupakan sambutan Hari Guru yang sungguh bermakna kerana berjaya diadakan selepas pandemik Covid-19 melanda negara. Begitu juga, murid-murid terutamanya murid-murid Tahun 1 dan Prasekolah kerana pertama kali menyambut Hari Guru bersama-sama guru masing-masing secara langsung. Selamat Hari Guru kepada semua guru SK Bukit Tampoi (A). Semoga kerjaya sebagai guru ini dapat diteruskan dengan penuh motivasi dan iltizam yang tinggi.

Monday, May 6, 2019

SUKANEKA DAN JAMUAN HARI GURU 2019


Sempena Hari Guru 2019, Kelab Guru dan Staf telah menganjurkan aktiviti sukaneka buat semua guru dan staf. Aktiviti ini telah diadakan pada 3 Mei 2019 (Jumaat) bertempat di tapak letak kereta guru denga tema "Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi".

Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan antaranya boling kelapa, isi air ke dalam botol, menyambut belon air dan baling pundi kacang. Aktiviti dijalankan bersama dengan beberapa orang murid yang terpilih. Sebelum itu, semua guru dan staf dibahagikan mengikut empat kumpulan.

Sejurus selepas permainan, semua guru dan staf serta murid-murid telah beredar ke kantin sekolah untuk jamuan makan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tampoi (A) telah sudi menyumbangkan dua biji kek sempena Hari Guru pada tahun ini.

Kemudian, sesi penyampaian hadiah oleh murid-murid kepada guru-guru kesayangan mereka telah diadakan. Sebelum waktu sekolah tamat, guru-guru dihiburkan pula oleh persembahan-persembahan yang dibuat oleh murid-murid. Ada persembahan yang menghiburkan malah ada juga persembahan yang melucukan.

Terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tampoi (A) di atas tajaan kek tersebut dan juga kepada anak-anak didik guru-guru yang bersungguh-sungguh membuat persembahan. Semoga kalian berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan menjadi kenyataan.
















Tuesday, April 30, 2019

HARI GURU 2019


Selamat Hari Guru 2019 kepada semua guru di SK Bukit Tampoi (A) yang telah mencurahkan ilmu dan bakti demi kemenjadian murid di sekolah ini. Jasa dan budi guru-guru sekalian tidak dapat dinilai dengan harta benda. 

Guru yang diibaratkan seperti lilin yang membakar diri adalah perumpaan yang sangat sesuai kerana mereka berbakti tanpa mengira masa dan tempat dengan tidak mengenal bahasa atau warna kulit, tugas guru adalah untuk mendidik murid sehingga pandai membaca dan mengira.

Tema Hari Guru pada tahun ini adalah "Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi". Kini tugas seorang guru lebih mencabar minda, emosi dan tenaga bagi memenuhi inspirasi negara bagi melahirkan modal insan yang lebih cemerlang.

Justeru itu, SK Bukit Tampoi (A) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menganjurkan Hari Guru di peringkat sekolah pada 29 April 2019 (Isnin). Ahli Jawatankuasa PIBG yang baharu dilantik telah hadir bagi menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada guru-guru sekalian. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG.

Ucapan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua AJK PIBG yang sudi hadir ke sekolah dan menyertai perhimpunan menyambut Hari Guru bersama warga sekolah sekalian. Sokongan dan penghargaan yang diberikan kepada kami telah membangkitkan semangat untuk terus mendidik anak bangsa sehingga mereka berjaya.