Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, November 27, 2022

PROGRAM "UNITY IN DIVERSITY" 2022


Program "Unity In Diversity" merupakan program yang dianjurkan oleh Yayasan SP Setia dan Yayasan Sukarelawan Siswa. Program ini dijalankan selama 2 hari iaitu dari 26 dan 27 November 2022 di SK Bukit Tampoi (A). Terdapat 4 buah sekolah yang terlibat secara langsung dengan program ini iaitu SK Bukit Tampoi (A), SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih dan SJK(T) Ladang Rinching.

Seramai 60 orang murid yang terdiri daripada murid 4 buah sekolah tersebut yang menggabung 4 jenis buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Orang Asli (SOA), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada murid-murid yang akan ke Sekolah Menengah (SM) yang menggabungkan semua kaum di atas.

Program ini dimulakan dengan aktiviti suai kenal di antara murid-murid yang hadir daripada sekolah-sekolah yang berlainan. Dalam aktiviti ini murid-murid dilatih cara berkomunikasi yang berkesan. Selain daripada itu, murid-murid yang berlainan bangsa dimasukkan ke dalam kumpulan yang sama untuk mengeratkan hubungan dengan rakan baharu.

Pada sebelah petang pula, murid-murid diberikan pendedahan tentang budaya tradisi masyarakat Orang Asli di mana murid-murid didedahkan dengan tarian sewang yang merupakan tarian tradisional masyarakat Orang Asli. Mereka diberikan masa untuk berlatih di dalam kumpulan untuk melakukan tarian tersebut. Dengan bimbingan dan latihan yang berterusan, mereka berjaya melakukan tarian tersebut dengan baik.

Majlis Perasmian Penutupan Program "Unity In Diversity" telah dirasmikan oleh Dato' Zuraidah binti Atan (Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan SP Setia). Turut hadir sama adalah Datuk Yuslina binti  Yunus (Timbalan Pengerusi Yayasan SP Setia, Dr. Wan Ahmad Hazman bin Wan Daud (Timbahan Pengerusi II Yayasan Sukarelawan Siswa), En. Wong Kin Lun (Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa), Pegawai JAKOA, Pegawai PPD Sepang, Pegawai PPD Hulu Langat, wakil guru daripada SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih, SJK(T) Ladang Rinching, sukarelawan siswa dan sukarelawan IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan.

Dalam majlis tersebut, Yayasan SP Setia berbesar hati menyumbangkan 10 buah komputer riba (refurbished) kepada SK Bukit Tampoi (A) untuk kegunaan murid-murid di makmal komputer sekolah. SK Bukit Tampoi (A) sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut. Semoga dengan adanya komputer ini dapat memberikan daya penarik kepada murid untuk menggunakannya. Harapan daripada Program "Unity In Diversity" adalah agar murid-murid dapat mengenali budaya dari bangsa lain supaya mereka dapat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment