Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, November 27, 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG PIBG SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

Program Gotong-royong PIBG SK Bukit Tampoi (A) telah dijalankan pada 26 November 2022 (Sabtu). Program gotong-royong yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Tampoi (A) ini diadakan bagi memberi tumpuan kepada kebersihan di dalam bilik darjah. Aktiviti pembersihan yang dilakukan di dalam bilik darjah ini adalah seperti membersihkan tingkap dan kipas serta menyusun semula buku-buku di dalam meja murid.

Selain daripada itu, ada di antara guru kelas yang mengambil inisiatif untuk memasang langsir dan mengecat kelas masing-masing supaya bilik darjah kelihatan lebih ceria dan kondusif. Ibu bapa di kelas prasekolah pula lebih tertumpu kepada kebersihan dan kekemasan di luar bilik darjah. Terdapat ibu bapa yang mencabut rumput di dalam pasu bunga dan ada juga yang mencantas pokok agar kelihatan sama dan sekata.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan SP Setia dan Yayasan Sukarelawan Siswa yang membantu dari segi pengurusan dan penyediaan peralatan pembersihan seperti penyapu, penyodok, plastik dan tong sampah. Mereka juga menaja makanan dan minuman kepada warga SK Bukit Tampoi (A) yang terlibat dalam gotong-royong tersebut.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan SP Setia, Yayasan Sukarelawan Siswa, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong pada kali ini. Semoga dengan menjalankan aktiviti ini secara berkala dapat memberi impak yang berkesan terhadap pembelajaran murid di dalam dan di luar bilik darjah.

No comments:

Post a Comment