Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, August 20, 2023

KARNIVAL PENDIDIKAN SEKOLAH ORANG ASLI, PERINGNKAT NEGERI SELANGOR, 2023

 

    Karnival Pendidikan Sekolah Orang Asli, Peringkat Negeri Selangor telah diadakan pada 18 Julai 2023 (Selasa) di Sekolah Kebangsaan (Asli) Bukit Komandol, Jenjarom. Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini melibatkan 11 buah Sekolah Orang Asli (SOA) di negeri Selangor. 

    Berbeza dengan tahun lepas, tahun ini pertandingan dibuka kepada murid-murid tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) dan terdapat 5 acara yang dipertandingkan iaitu:
 - bercerita (Bahasa Melayu)
 - Bercerita (Bahasa Inggeris)
 - Nyanyian solo (Bahasa Inggeris)
 - Puisi (Bahasa Inggeris)
 - Action Song

    SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai 4 daripada 5 pertandingan yang dipertandingkan. Sekolah tidak menghantar wakil bagi menyertai Pertandingan Puisi (Bahasa Inggeris). Penglibatan yang aktif dari semua Sekolah Asli di Negeri Selangor memeriahkan Karnival pada kali ini. Murid-murid kelihatan begitu teruja dan gembira sepanjang Karnival berlangsung. SK Bukit Tampoi (A) hanya berjaya mendapat tempat ketiga bagi pertandingan Nyanyian solo yang disampaikan oleh Zaifriel Bin Zaidi Ahmad. Manakala bagi 3 pertandingan yang lain, SK Bukit Tampoi (A) hanya mendapat tempat saguhati. 

    Karnival ini telah banyak memberi pendedahan dan meningkatkan keyakinan diri di samping mencungkil bakat murid-murid khususnya Orang Asli. Keupayaan mereka bercerita dan bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu dan Inggeris terutamanya amatlah membanggakan. Keberanian mereka untuk tampil ke hadapan harus dipuji. Tahniah buat semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam Karnival ini. Semoga pertandingan seumpama ini dapat diteruskan dalam melahirkan tokoh Orang Asli yang berwibawa pada masa hadapan.

Terima kasih diucapkan kepada SK (Asli) Bukit Komandol sebagai tuan rumah bagi Karnival yang telah dikendalikan dan dijalankan dengan sangat sempurna dan sistematik.  Sekalung syabas juga diucapkan kepada KPM, JPN dan PPD yang turut turun padang mengaksikan pertandingan ini dari mula hingga selesai.

Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris


Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu

Tempat saguhati bagi Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.


Nyanyian Solo, Tempat ke-3


Pertandingan Action Song, tempat saguhati

Bergambar kenangan di SK (A) Bukit Komandol.




Thursday, July 27, 2023

PENYERAHAN BANTUAN KWAPM DAN SUMBANGAN MCBRIDE MALAYSIA 2023


Penyerahan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) telah dilaksanakan pada 25 Julai 2023 (Selasa) pada pukul 12 tengah hari di SK Bukit Tampoi (A). Seramai 100 orang murid yang telah dikenal pasti layak untuk menerima bantuan tersebut. Ramai ibu bapa yang hadir ke sekolah untuk menerima bantuan tersebut.

Pada masa yang sama, pihak sekolah turut menerima sumbangan daripada McBride Malaysia berupa barangan mandian untuk semua murid di sekolah ini. Barangan mandian tersebut telah diserahkan oleh wakil McBride Malaysia kepada GPK Hal Ehwal Murid untuk disampaikan kepada murid-murid pada hari tersebut.

Terima kasih kepada McBride Malaysia dan MyKasih Foundation kerana sudi memberikan sumbangan tersebut kepada warga SK Bukit Tampoi (A). Sumbangan kalian amat bermakna dan bermanfaat kepada murid-murid di sini. Semoga kerjasama ini dapat dikekalkan dan diperluaskan untuk program atau aktiviti lain pula. 

Sumbangan McBride Malaysia


Peyerahan Bantuan KWAPM

JEMPUTAN KE KARNIVAL STEM SK DESA PUTRA 2023

Karnival STEM peringkat daerah Sepang telah dianjurkan oleh SK Desa Putra pada 25 Julai 2023 (Selasa). Karnival yang dirasmikan oleh Pegawai PPD Sepang turut menjemput SK Bukit Tampoi (A) untuk menyertai kuiz yang dianjurkan pada karnival tersebut.

SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seramai 8 orang murid dengan diiringi oleh 2 orang guru pengiring. Walau bagaimanapun, peserta sekolah kita gagal ke pusingan yang seterusnya. Namun begitu, ini adalah pendedahan awal kepada murid-murid dan guru-guru tentang program STEM yang akan dilaksanakan di sekolah kelak.

Program STEM yang dirancang merupakan program Kefahaman Melalui Rekabentuk yang terkandung di dalam Program Sekolah Transformasi 2025 (TS25). Program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama beberapa panitia dalaman sekolah serta turut melibatkan badan sukarela lain. Semoga program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Monday, July 17, 2023

PROGRAM NILAM 2023

Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilancarkan pada 10 Julai 2023 (Isnin) oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Pelancaran ini dibuat bagi mewar-warkan kepada warga sekolah bahawa amalan membaca perlu diteruskan pada setiap masa.

Program yang dianjurkan oleh Unit Pusat Sumber Sekolah (PSS) akan berlangsung sehingga tamat sesi persekolahan 2023/2024. Ini bermakna bahasa murid membaca adalah salah satu cara untuk menambah ilmu pengetahuan selain daripada belajar di dalam kelas semata-mata.

Justeru itu, Program NILAM ini harus dijadikan pemangkin untuk meningkatkan amalan membaca agar ia menjadi budaya di mana sahaja. Jadikanlah budaya membaca ini suatu amalan supaya ilmu pengetahuan dapat diperolehi dan diamalkan untuk menjadikan kita anak yang bijak lagi cerdik.

Tuesday, July 11, 2023

PROGRAM SAYANGI BUKU TEKS 2023

Program Sayangi Buku Teks telah dilancarkan secara rasminya pada 11 Julai 2023 (Selasa). Unit Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) menganjurkan program ini adalah untuk memupuk semangat sayangkan buku teks agar murid-murid dapat menggunakannya dengan cermat dan baik serta menjaga buku teks ini sebaik mungkin agar tidak koyak atau rosak.

Program ini telah dirasmikan oleh En. Muhammad bin Ismail, GPK Hal Ehwal Murid di tapak perhimpunan sekolah. Pada majlis pelancaran ini, murid-murid turut melafazkan ikrar agar bersama-sama bertanggungjawab dalam memelihara dan menjaga buku teks ini sebaik mungkin supaya ia dapat digunakan selama mungkin oleh murid-murid lain.

Diharapkan agar program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan dapat menyemaikan sikap sayang akan buku teks dan menghargai pemberian orang lain.Murid-murid diingatkan agar sentiasa menghormati buku teks kerana ia merupakan salah satu sumber ilmu. Justeru itu, adalah menjadi tanggunggungjawab semua murid untuk menjaganya dengan baik.