Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, February 1, 2024

MAJLIS APRESIASI SESI 2023/2024

Majlis Apresiasi Sesi 2023/2024 telah diadakan pada 31 Januari 2024 di SK Bukit Tampoi (A). Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada semua murid dalam bidang Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum. Majlis ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Lukman bin Abdullah, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sepang.

Majlis penyampaian sijil dan hadiah dimulai dengan prasekolah yang diikuti oleh pencapaian akademik terbaik mengikut kelas serta penyampaian duta sahsiah dan kehadiran cemerlang. Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian pencapaian cemerlang kokurikulum dan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pengawas sekolah, pengawas PSS, pengawas SPBT, dan skuad patrol denggi serta sijil tamat persekolahan bagi Tahun 6.

Terima kasih kepada PPD Sepang, pentadbir sekolah, guru-guru, AJK PIBG dan ibu bapa yang hadir bagi memeriahkan majlis di samping memberikan sokongan dan motivasi kepada anak-anak agar meneruskan kecemerlangan di SK Bukit Tampoi (A). Harapan kami agar majlis seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk menghargai murid-murid yang cemerlang dalam bidang kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum.

Monday, January 29, 2024

KEMPEN CEGAH BULI DAN GANGGUAN SEKSUAL TAHUN 2024

 

Kempen Cegah Buli dan Gangguan Seksual telah lancarkan secara rasminya pada 29 Januari 2024 (Isnin) di SK Bukit Tampoi (A). Kempen ini diadakan bertujuan untuk memberi peringatan kepada semua warga sekolah agar menjauhi aktiviti yang tidak bermoral ini.

Majlis menandatangan memorandum benci buli dan gangguan seksual telah dibuat oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) semasa perhimpunan mingguan sekolah. Murid-murid turut membaca ikrar agar menghindari buli dan gangguan seksual ini.

Terima kasih kepada Cikgu Mohd Firdaus Ayak selaku Guru Bimbingan Sekolah Rendah melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah melancarkan kempen tersebut. Harapan kami agar murid-murid sedar akan peranan mereka apabila berdepan dengan situasi yang kurang menyenangkan semasa di rumah, sekolah atau tempat awam.

Friday, January 26, 2024

PROGRAM GENIUSFIT USIM 2024


Program Geniusfit telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A) dengan kerjasama daripada penuntut dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Kelab Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P), USIM telah dilaksanakan pada 26 Januari 2024 (Jumaat) di makmal Sains.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan tentang penjagaan kesihatan diri murid-murid sekolah. Seramai 25 orang ahli Kelab Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) dan 2 orang kakitangan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM.

Di dalam program ini diselitkan dengan aktiviti explorace meliputi aktiviti seperti menggosok gigi, membasuh tangan, khasiat makanan, origami dan teka lukisan. Sejurus tamat aktiviti explorace, murid-murid diraikan dengan penyampaian hadiah.

Terima kasih diucapkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Kelab Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P), USIM kerana sudi mengunjungi sekolah kami dengan mengadakan aktiviti kesihatan seperti ini. Program ini banyak memberikan manfaat tentang penjagaan kesihatan oleh murid-murid di sini. Semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Friday, January 19, 2024

BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN TAHUN 2024


Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun 2024 telah berjaya dilaksanakan pada 19 Januari 2024 (Jumaat) di SK Bukit Tampoi (A). Seramai 113 orang murid daripada Tahun 1 hingga 6 telah menerima bantuan tersebut. Ibu bapa dan penjaga telah hadir untuk mengambil bantuan tersebut. 

Bantuan tersebut telah mula diagihkan pada pukul 11.00 pagi. Sebelum daripada itu, ibu bapa dan penjaga berhimpun di Bilik Sains untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar).

Semoga dengan bantuan ini dapat digunakan dengan bermanfaat terutamanya untuk membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak. Bagi mengurangkan beban keluarga, pihak sekolah telah berjaya mendapatkan bantuan kasut dan beg sekolah. 

Pihak sekolah juga sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan pakaian sekolah. Diharapkan agar usaha pihak sekolah untuk mendapatkan sumbangan tersebut berjaya. Kepada pihak yang ingin menyumbang boleh hubungi pihak sekolah ditalian 03-82112403.

Thursday, January 18, 2024

PROGRAM SKUAD HIJAU (STEM+5R)

Program Skuad Hijau (STEM+5R) adalah program kerjasama SK Bukit Tampoi (A) dengan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 30 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan 6 dijemput hadir ke UKM untuk mengikuti program tersebut.

Program yang dijalankan pada 17 Januari 2024 (Rabu) telah memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kepentingan pendidikan STEM dan program 5R (kitar semula). Pelbagai aktiviti menarik mengikut station yang ditetapkan. Murid diberi   tunjuk ajar tentang kitar semula barangan plastik untuk dijadikan pasu dan menghasilkan barangan kraftangan yang cantik.

Terima kasih diucapkan kepada Dr. Diyana binti Mahmud di atas jemputan dan memilih SK Bukit Tampoi (A) sebagai peserta dalam program ini. Kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan di sekolah bersama dengan murid-murid di sekolah ini.