Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, May 14, 2018

PEMERIKSAAN KESIHATAN DAN SUNTIKAN IMUNISASI


Pemeriksaan kesihatan dan pemberian suntikan imunisasi telah dijalankan di SK Bukit Tampoi (A) oleh pegwai-pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Salak pada 14 Mei 2018 (Isnin). Murid-murid yang terlibat di dalam pemeriksaan ini terdiri daripada murid Tahun 1 dan Tahun 6 sahaja.

Seramai 17 orang murid Tahun 1 telah diperiksa oleh pegawai-pegawai perubatan yang hadir. Kemudian mereka diberikan suntikan imunisasi oleh pegawai-pegawai perubatan tersebut. Manakala seramai 15 orang murid Tahun 6 telah melalui pemeriksaan kesihatan oleh pegawai-pegawai perubatan itu.

Oleh kerana jumlah murid yang hadir pada hari ini kurang memuaskan, maka pihak PKD Salak telah memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa mereka akan kembali semula ke sekolah untuk membuat pemeriksaan lanjut dan memberikan suntikan imunisasi kepada murid-murid yang tidak hadir pada hari ini.





Tuesday, May 8, 2018

KEM BESTARI SOLAT SIRI 1 / 2018


Kem Bestari Solat (KBS) Siri 1/2018 telah berjaya diadakan pada 7 Mei 2018 (Sabtu) bertempat di Bilik Pendidikan Islam, SK Bukit Tampoi (A). Kem yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam ini telah disertai seramai 37 orang murid yang beragama Islam daripada Tahun 1 hingga Tahun 6.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti cara mengambil wuduk, syarat-syarat solat, rukun-rukun solat dan cara solat yang betul. Murid turut diajar tentang teori dan amali berkaitan solat berjemaah.

Syukur alhamdulillah kerana semua murid memberikan kerjasama yang baik dan memahami akan kewajipan mereka sebagai umat Islam tentang kepentingan solat terutamanya solat berjemaah. Diharapkan agar kem ini dapat diteruskan agar murid Orang Asli akan lebih bertaqwa.









CUTI KHAS PILIHANRAYA UMUM KE-14 TAHUN 2018

Sempena Pilihanraya Umum Ke-14 tahun 2018, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara pada hari seperti berikut : -


Tarikh
Jenis Cuti
09 Mei 2018 (Rabu)
10 Mei 2018 (Khamis)
11 Mei 2018 (Jumaat)
Cuti Khas Pilihanraya
Cuti Khas Pilihanraya
Cuti Khas Pilihanraya

Sekolah akan dibuka semula pada 14 Mei 2018 (Isnin). Diharapkan agar ibu bapa/penjaga dapat memastikan kehadiran anak-anak ke sekolah pada hari tersebut.

Monday, May 7, 2018

PROGRAM DIET ATTACK 2018


Program Diet Attack merupakan program komuniti Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini dikendalikan oleh 20 orang penuntut UKM yang diketuai oleh saudara Muhamad Mustaqim bin M. Zapawi dari Program Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan UKM Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti yang dirancang telah berjaya dijalankan seperti Sing and Dance With Us, Stay Alive, Choose Wise, Eat Right dan Find and Fit Me. Murid yang terlibat di dalam program ini terdiri daripada murid-murid dari Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 yang seramai 48 orang.

Di akhir program, satu Majlis Perasmian Penutupan telah diadakan di Makmal Sains. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Roslee bin Rajikan (Timbalan Naib Canselor Pelajar dan Alumni UKM), Pn. Rohaya binti Hussin (Pegawai SIP PPD Sepang), En. Azman Shah bin Mohd Yunus (GPK Pentadbiran), Mohamad Syakir bin Mohd. Sarib (Pegawai IRM), para pensyarah program, pegawai IRM dan guru-guru penolong kanan SK Bukit Tampoi (A).

Sejurus selepas majlis perasmian, wakil dari UKM, IRM dan SK bukit Tampoi (A) telah merasmikan program dengan menanam tiga batang pokok buah-buahan sebagai simbolik perasmian. Ia juga sebagai suatu galakan kepada semua murid agar menggalakkan murid untuk lebih banyak makan buah-buahan. Program telah selesai pada pukul 1.15 petang.

SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan ribuan terima kasih kepada UKM dan IRM kerana sudi menganjurkan program yang bermakna kepada murid-murid kami. Program ini berjaya mencapai matlamatnya kerana murid-murid yang turut serta mampu menerangkan semula apa yang telah dilaksanakan, malah mereka berjanji untuk mengamalkan pemakanan yang sihat.












KEM MOTIVASI TAHUN 6 DI AGROTEK GARDEN CHALET RESORT


Kem Motivasi Tahun 6 sesi 2018 telah diadakan pada 4 dan 5 Mei 2018 di Agrotek Garden Chalet Resort yang terletak di Hulu Langat, Selangor. Kem 2 hari 1 malam ini telah disertai oleh 3 buah sekolah angkat UEM Edgenta iaitu SK Jenderam, SK Bukit Tampoi (A) dan SK Sg. Rawang.

Seramai 140 orang murid dari 3 buah sekolah tersebut telah menyertai kem motivasi tersebut. SK Jenderam adalah tuan rumah bagi kem pada kali ini yang telah melantik Exact Training Consultant sebagai pengendali semua aktiviti  di dalam kem ini.

Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti aktiviti Ice Breaking & Mind Setting, Membina Menara Impian, River Trekking dan Refleksi Minda Untuk Kecemerlangan. Para peserta menunjukkan minat dan semangat yang tinggi sepanjang aktiviti dijalankan. Diharapkan agar para peserta kem dapat membawa balik pengalaman dan azam yang baharu demi kecemerlangan masa hadapan yang lebih gemilang.

Terima kasih diucapkan kepada Pn. Faridah Hanim binti Othman dari UEM Edgenta kerana sudi menjadikan sekolah kami sebagai sekolah angkat syarikat dan menaja keseluruhan kem motivasi tahun ini. Syabas juga diucapkan kepada SK Jenderam kerana telah berjaya menganjurkan Kem Motivasi Tahun 6 pada tahun 2018 ini dengan jayanya.