Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, March 25, 2020

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) SEHINGGA 14 APRIL 2020

Merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan akan dilanjutkan bermula dari 1 April 2020 sehingga 14 April 2020. Seluruh rakyat Malaysia khususnya Penjawat Awam diminta mematuhi peranan bagi memastikan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini dapat dihentikan.

Sehubungan dengan itu, Surat Edaran JPA rujukan JPA.SARAAN(S) 256/6/31 Jld.6(2) bertarikh 17 Mac 2020 mengenai Arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan Penutupan Premis Kerajaan berserta soalan lazimnya adalah terpakai bagi tempoh lanjutan PKP ini seperti mana pengumuman YAB Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, semua premis kerajaan akan ditutup sepanjang tempoh lanjutan tersebut. Justeru itu, semua guru, kakitangan dan murid sekolah diminta berada di rumah masing-masing seperti yang diarahkan oleh Kerajaan. Walau bagaimanapun, sesi pembelajaran akan diteruskan melalui mod pembelajaran dalam talian (online) atau e-pembelajaran.

Sekian, harap maklum.

Monday, February 24, 2020

PROGRAM JOM KE SEKOLAH TAHUN 2020


Program Jom ke Sekolah merupakan program kolaboratif di antara Kementreian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha untuk menangani masalah disiplin dan salah laku murid. Penglibatan pihak polis di dalam kawasan sekolah adalah melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah di bawah KPM.

Justeru itu, satu Majlis Perasmian Program Jom ke Sekolah telah diadakan di SK Bukit Tampoi (A) pada 17 Februari 2020 (Isnin) di tapak perhimpunan sekolah. Pihak sekolah dengan kerjasama daripada Balai Polis Dengkil telah menjemput Kpl. Hairul Nizam, Kpl. Rusydi Andalus dan Kont. Faisal selaku Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi SK Bukit Tampoi (A) untuk merasmikan majlis tersebut.

Selain daripada ucapan Guru Besar dan ucapan perasmian, gimik perasmian turut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Dalam majlis itu juga turut dilancarkan Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang dilancarkan serentak seluruh Malaysia. Buku ini diterbitkan sebagai panduan kepada pihak sekolah dan PPS untuk bertindak jika berlaku kes-kes yang berkaitan.

Dengan perasmian Program Jom ke Sekolah ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada murid-murid tentang undang-undang yang perlu dipatuhi dan seterusnya menggalakkan murid-murid hadir ke sekolah setiap hari. Semoga maklumat-maklumat yang diberikan dapat disebarluaskan kepada murid-murid dan ibu bapa mereka di rumah.


Sunday, February 16, 2020

PROGRAM ZIARAH CAKNA TAHUN 2020


Pada 10 Februari 2020 (Isnin), Program Ziarah Cakna Tahun 2020 telah berjaya dilancarkan. Program ini telah dilancarkan serentak di seluruh sekolah di Malaysia. Perasmian program yang dilakukan di sekolah ini telah dirasmikan oleh En. Ilam bin Senin, Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) di perhimpunan rasmi sekolah.

Program Ziarah Cakna adalah satu program di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling. Program ini dilaksanakan bagi membantu pihak sekolah mendekati ibu bapa dan penjaga dengan berkunjung ke rumah mereka bagi membina hubungan yang baik di samping mendapatkan maklumat penting berkaitan ketidakhadiran murid ke sekolah dan masalah-masalah lain yang boleh dibantu oleh PIBG dan sekolah.

Program ini akan dilaksanakan sepanjang tahun bukan sahaja yang melibatkan ketidakhadiran murid, malah sebagai sokongan dan penghargaan kepada murid-murid yang berjaya mengharumkan nama sekolah dengan menjuarai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Ini turut boleh dijadikan contoh kepada murid-murid lain yang tinggal di kampung yang sama dan turut boleh disebarkan kepada murid-murid lain di sekolah.





SKUAD PATROL DENGGI SEKOLAH TAHUN 2020


Pada 10 Februari 2020 (Isnin), Majlis Pelancaran Skuad Patrol Denggi Sekolah telah diadakan semasa sesi perhimpunan rasmi sekolah. Majlis ini dirasmikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Seramai 5 orang murid telah dipilih sebagai ahli Skuad Patrol Denggi Sekolah. Walau bagaimanapun semua guru dan murid terlibat sama secara tidak langsung sebagai ejen pembasmi Denggi di SK Bukit Tampoi (A). 

Unit Kebersihan bertanggungjawab untuk melatih dan menyelaras aktiviti dan tugas kepada ahli-ahli skuad. Skuad yang telah dipilih ini akan bertindak sebagai individu yang bertanggungjawab memberikan pendidikan kepada rakan-rakan yang lain berkaitan dengan langkah-langkah pencegahan awal nyamuk Aedes seperti mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk, membersihkan kawasan bilik darjah dan melaporkan kepada Guru Kesihatan kes-kes demam Denggi yang berlaku di sekolah.

Skuad Patrol Denggi ini diharapkan dapat membantu guru-guru menjaga dan mengawal kebersihan persekitaran bilik darjah agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mereka juga diharapkan agar dapat menyampaikan maklumat-maklumat tentang bahaya penyakit Denggi kepada rakan-rakan mereka di kelas mahupun di rumah. Semoga SK Bukit Tampoi (A) ini terhindar daripada penyakit Denggi yang boleh membawa maut.





PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN TAHUN 2020


Pada 7 Februari 2020 (Jumaat), satu majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi 2020 serta penyerahan buku akaun Bank Rakyat telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A). Penerahan buku akauan dilakukan oleh AJK PIBG bagi murid-murid yang telah menghantar borang permohonan pada bulan Disember yang lalu. Buku ini diberikan khas oleh Bank Rakyat kepada 100 orang murid terawal sahaja.

Majlis ini bermula dengan sesi taklimat kepada ibu bapa, penjaga dan seterusnya diikuti dengan penyerahan BAP sebanyak RM100 bagi setiap murid di dalam kelas anak masing-masing. Penyerahan BAP ini dilakukan oleh guru kelas kepada ibu bapa dan penjaga. Bantuan Awal Persekolahan ini diberikan kepada murid warganegara Malaysia dan berpendapatan isirumah kurang daripada RM3000.

Diharapkan melalui penyerahan Bantuan Awal Persekolahan ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak seperti membeli buku, alat tulis dan sebagainya.