Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, December 14, 2022

PROGRAM "SINCERELY SETIA" 2022


Program Sincerely Setia merupakan sebuah program anjuran Yayasan SP Setia dengan kerjasama SK Bukit Tampoi (A), SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih dan SJK(T) Ladang Rinching. Seramai 88 orang murid dengan guru-guru pengiring serta ibu bapa turut hadir dalam program tersebut.

Program ini adalah kesinambungan daripada Program Unity In Diversity yang telah diadakan pada bulan November tahun ini di SK Bukit Tampoi (A). Program ini adalah program lawatan sambil belajar ke Midvalley Megamall, Kuala Lumpur. Tempat yang dikunjungi oleh murid-murid ini adalah di GSC Cinema dan Toy Eight.

GSC Cinema telah berbesar hati untuk menaja tayangan perdana kepada semua ahli rombongan secara percuma beserta minuman dan bertih jagung. Tayangan percuma tersebut bertajuk Mechamato The Movie. Tayangan bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Selesai menonton wayang, kami dihidangkan dengan makan tengah hari dan solat Zohor.

Sejurus selesai rehat, kami dibawa ke Toy Eight iaitu sebuah tempat mengasah kemahiran pelbagai murid-murid. Pelbagai aktiviti yang boleh dimainkan oleh murid meliputi kemahiran interpersonal, intrapersonal, kinestatik, muzik, visual, matematik, bahasa dan naturalis. Antara aktiviti yang dilakukan oleh muri-murid adalah seperti melukis, membina arca, membaca, bermain alat muzik, membuat origami dan lain-lain lagi.

Murid-murid sangat teruja dan berminat dengan lawatan yang dianjurkan oleh Yayasan SP Setia pada tahun ini. Pihak SK Bukit Tampoi (A) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan SP Setia, GSC Cinema dan Toy Eight kerana sudi memberi peluang kepada anak-anak murid sekolah ini untuk menyertai lawatan sambil belajar. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan program yang lebih menarik dan bermakna.

Saturday, December 10, 2022

CUTI PENGGAL 3 SESI 2022/2023


PROGRAM BEG SAIYID ABDULLAH R.A. DAN DAPUR BONDA KHADIJAH R.A. 2022


Sumbangan beras Dapur Bonda Khadijah telah diterima SK Bukit Tampoi (A) pada 9 Disember 2022 (Jumaat). Sebanyak 72 kampit beras 5kg telah disumbangkan kepada anak-anak murid di sekolah ini yang terdiri daripada keluarga miskin tegar. Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga miskin tegar menyediakan makanan kepada keluarga.

Selain daripada itu, Dapur Bonda Khadijah juga telah mendermakan sebuah jam bagi setiap kelas agar warga sekolah sentiasa cakna dengan ketepatan masa semasa berada di sekolah. Setiap sumbangan beras disertakan juga dengan beg Mr DIY  untuk memudahkan murid membawa beras pulang ke rumah masing-masing.

Dapur Bonda Khadijah adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu murid-murid sekolah khususnya untuk Sekolah Orang Asli (SOA). Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang sangat memberi makna buat keluarga SK Bukit Tampoi (A). Semoga tuan mendapat rahmat dan dimurahkan rezeki.

Thursday, December 8, 2022

PROGRAM PRAPERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM TAHUN 2022

Program Praperkhemahan Unit Beruniform SK Bukit Tampoi (A) telah dilaksanakan pada 7 dan 8 Disember 2022 di sekolah. Tujuan praperkhemahan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada program perkhemahan sebenar yang dijangka diadakan pada bulan Januari 2023.

Praperkhemahan ini diadakan selama dua hari bagi memberi masa yang mencukupi kepada murid-murid untuk belajar dan memahami kepentingan setiap aktiviti yang dilakukan. Di antara aktiviti yang dilakukan adalah seperti aktiviti memasak, ikatan tali, memasang khemah dan kawad kaki.

Pada hari kedua, murid-murid membuat latihan kawad kaki. Aktiviti wajib iaitu pemasangan khemah turut dilaksanakan, murid diajar cara memasang dan membuka khemah dengan langkah yang betul.

Aktiviti ini mampu mempersediakan murid untuk program perkhemahan yang akan diadakan nanti.