KERAJAAN menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu sehingga 12 Mei ini dengan memberi sedikit kelonggaran terhadap dua perkara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu hanya membabitkan kebenaran pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) di kampus untuk pulang ke rumah dan kebenaran satu kali perjalanan kepada rakyat yang terkandas di kampung atau tempat lain sebelum PKP fasa pertama dikuatkuasakan.
Pertamanya, beliau berkata, pelajar di kampus yang mana di peringkat awal dahulu mereka tidak dibenarkan pulang, boleh kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sedikit masa lagi.
Menurutnya, proses membawa pelajar itu pulang giat dirancang kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan ia membabitkan jumlah yang besar, iaitu hampir 100,000 pelajar.
Justeru, katanya, kerajaan mesti merancang pergerakan pelajar terbabit dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).
"Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19. Kepada anak kita yang berada di kampus, insya-Allah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga.
"Butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat. Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu. Beri sedikit masa kepada kementerian yang berkaitan untuk menguruskan perkara ini.
"Saya tahu anda semua rindukan anak masing-masing. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat," katanya dalam Perutusan Khas Ramadan secara langsung menerusi RTM, malam ini.
Keduanya, Muhyiddin berkata, bagi yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini.
Beliau berkata, kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.
Katanya, pergerakan ini tentunya akan membabitkan jumlah yang besar, lantaran itu kerajaan giat mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan mereka.
"Seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terbabit boleh mendaftar secara online di aplikasi disediakan PDRM, atau membuat temu janji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
"Adalah penting untuk polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan," katanya.
Menurut beliau, butiran terperinci mengenai perkara ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.
"Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar.
"Kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi Covid-19," katanya.
Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan PKP yang berakhir pada 28 April, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, sehingga 12 Mei.