Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Wednesday, March 16, 2022

PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN (BAP) SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022

Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) SK Bukit Tampoi (A) telah dijalankan pada 15 Mac 2022 (Selasa). Penyerahan dibuat di tempat terbuka iaitu di luar bilik darjah Tahap 2 bagi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM. Semua ibu bapa perlu melalui tapisan ketat sebelum dibenarkan masuk untuk mengambil bantuan tersebut.

BAP bagi tahun 2022 berjumlah RM 150 bagi seorang murid. Murid yang layak menerima bantuan ini adalah seramai 123 orang daripada 143 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Kelayakan penerima bantuan BAP ini adalah sama seperti tahun sebelum ini iaitu pendapatan keluarga mestilah kurang daripada RM 3000.

Para ibu bapa dan penjaga berasa amat bersyukur kerana telah menerima bantuan tersebut. Dengan bantuan ini dapatlah ibu bapa dan penjaga membeli barangan keperluan persekolahan anak-anak yang akan dibuka beberapa hari sahaja lagi.

Thursday, March 3, 2022

PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 SESI PERSEKOLAHAN 2023/2024

Pendaftaran Murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2023/2024 telah dibuka dari 1 Mac 2022 hingga 30 April 2022. Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Dalam Talian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di laman sesawang https://public.moe.gov.my dalam tempoh tersebut.

Pendaftaran secara dalam talian selepas tarikh tersebut sehingga 15 Disember 2022 adalah dikira sebagai pendaftaran lewat. Selepas 15 Disember 2022, pendaftaran adalah secara manual di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) / Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk kanak-kanak yang akan bersekolah bagi sesi persekolahan 2023/2024.

Kanak-kanak yang layak memohon pendaftaran tahun 1 bagi sesi persekolahan 2023/2024 adalah seperti berikut : -

1. Kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2016 sehingga 1 Januari 2017 untuk kemasukan sesi persekolahan 2023/2024.

2. Kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2017 sehingga 1 Januari 2018 untuk kemasukan sesi persekolahan 2024/2025.

Pendaftaran Tahun 1 Sesi Persekolahan 2023/2024 (Sila klik pautan di bawah ini)

https://public.moe.gov.my/

CUTI AKHIR PENGGAL 3 TAHUN 2021/2022

 Adalah dimaklumkan bahawa, sesi persekolahan tahun 2021/2022 telah berakhir pada 25 Februari 2022 (Jumaat). Murid-murid akan bercuti dari 26 Februari 2022 sehingga 20 Mac 2022 (Ahad).

Sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 (Isnin). Selamat bercuti kepada semua murid SK Bukit Tampoi (A). Sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga.

Semoga kita dapat berjumpa semula pada sesi persekolahan 2022/2023.

Thursday, February 24, 2022

MAJLIS APRESIASI TAHUN 2021

 
Majlis Apresiasi Tahun 2021 telah diadakan pada 24 Februari 2022 (Khamis) bertempat di sekolah ini. Majlis ini diadakan tanpa kehadiran ibu bapa dan penjaga bagi mematuhi pekeliling yang tidak membenarkan orang luar memasuki kawasan sekolah.

Selain daripada itu, tiada majlis rasmi yang diadakan kerana murid-murid tidak boleh berkumpul di sesuatu tempat. Penyampaian sijil dan hadiah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) yang dijalankan di dalam kelas masing-masing.

Memandangkan penyampaian sijil dan hadiah dibuat di kelas masing-masing, maka penjarakan sosial murid sentiasa dipatuhi. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid yang berjaya menerima sijil dan hadiah di atas kecemerlangan masing-masing.

Pihak sekolah turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana telah sudi menaja sijil dan hadiah kepada semua penerima sijil. Semoga kerjasama di antara pihak sekolah dan PIBG sentiasa harmoni dan erat.