Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, April 15, 2022

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 SESI 2022


Program Transisi Tahun 1 adalah program yang wajib diikuti oleh murid-murid Tahun 1 yang baharu memulakan sesi persekolahan di arus perdana. Pada tahun 2022 ini seramai 13 orang murid yang telah mendaftar masuk. 

Program ini telah bermula dari 21 Mac 2022 hingga 15 April 2022 iaitu selama 4 minggu. Dalam program ini, murid-murid diberi penerangan tentang maklumat sekolah seperti nama sekolah, bilik darjah, bilik-bilik khas, guru-guru dan rakan-rakan murid yang lain. Murid-murid juga dibiasakan dengan aktiviti sekolah seperti waktu rehat dan waktu pulang dengan mengikut peraturan sekolah.

Murid-murid juga diajar menyanyikan lagu Negaraku, negeri Selangor dan lagu sekolah sebagai persediaan apabila perhimpunan rasmi dibenarkan kelak. Majlis penutupan telah diadakan pada hari terakhir program iaitu pada 15 April 2022 (Jumaat). Turut hadir pada majlis tersebut adalah Guru Besar, GPK Pentadbiran dan GPK Kokurikulum.

Tahniah diucapkan kepada semua murid Tahun 1 Melur yang telah mendaftar masuk ke SK Bukit Tampoi (A) pada tahun ini. Teruskan kecemerlangan kalian dengan mengharumkan nama sekolah. Sekalung terima kasih dan syabas diucapkan kepada jawatankuasa yang terlibat secara langsung dalam menjayakan Program Taransisi Tahun 1 pada kali ini.

PROGRAM IMUNISASI TAHUN 1 SESI 2022

Program Imunisasi Tahun 1 adalah program wajib untuk Tahun 1 di bawah Dasar Program Imunisasi Negara. Program ini telah diadakan pada 15 April 2022 (Jumaat) di SK Bukit Tampoi (A). Program yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang mellibatkan seramai 13 orang murid Tahun 1 Melur.

CUTI PERISTIWA SEMPENA NUZUL AL-QURAN TAHUN 2022

 

Wednesday, April 13, 2022

SUMBANGAN BUKU TULIS 2022

Sumbangan buku tulis telah diberikan kepada 30 orang orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Barangan tersebut telah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) pada 13 April 2022 (Rabu) di sekolah.

Pihak sekolah dengan kerjasama Barokah Jumaat iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan kepada semua murid berkenaan. Murid-murid ini dipilih setelah pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah selesai.

Hasil pemantauan daripada guru kelas dan guru mata pelajaran yang mendapati murid-murid ini masih tidak mempunyai buku tulis walaupun setelah mendapat BAP. Justeru itu, pihak sekolah dengan kerjasama Barokah Jumaat telah memberikan buku latihan secara percuma kepada murid-murid berkenaan.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Barokah Jumaat kerana sudi menjadi penaja kepada aktiviti ini. Jasa tuan hanya Ilahi sahaja yang mampu membalasnya. Semoga terus istiqamah membantu SK Bukit Tampoi (A) dalam membangunkan modal insan dalam murid Orang Asli di sini. 

PROGRAM KASIH RAMADAN TAHUN 2022


Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana dengan limpah kurnianya SK Bukit Tampoi (A) berjaya menyerahkan barangan keperluan harian sempena bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia pada 13 April 2022 (Rabu). Seramai 31 buah keluarga yang beragama Islam yang terdiri daripada murid-murid Prasekolah sehingga Tahun 6.

Sumbangan telah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir secara pandu lalu di sekolah. Barangan keperluan seperti beras, gula, kopi, kicap dan beberapa barangan lain turut diberikan.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pertubuhan Sama Cakna, CO-OP Bank Putrajaya, En. Zamri, Pn. Siti Zaharah dan Pn. Aida Rahayu kerana sudi menaja barangan keperluan kepada para penerima. Kami doakan agar kalian dimurahkan rezeki pada masa akan datang.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat korporat, bank-bank dan individu yang dermawan untuk menyumbang kepada SK Bukit Tampoi (A) pada masa akan datang. Sumbangan anda semua amat diperlukan untuk membantu anak-anak murid sekolah ini merasai nikmat seperti murid-murid di sekolah lain. 

Sumbangan boleh disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Tampoi (A) melalui akaun 8003423591 (CIMB). Sumbangan anda sangat kami hargai.